Selasa, 20 Disember 2011

Juara Solehah buat julung kali


(DARI kiri) juara Solehah, Amie Sofia Ahmad, Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar (kedua) dan Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim bersama hadiah masing-masing di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TUJUAN Amie Sofia Ahmad, 25, menyertai program realiti Solehah terbitan TV AlHijrah adalah untuk menjadikan ia sebagai platform menimba ilmu.
Namun siapa sangka, Amie Sofia, bukan sahaja berpeluang mengumpul ilmu selama 13 minggu daripada program yang bermula pada 23 September lalu, malah dia turut dilimpahi rezeki yang tidak diduga.
Sebagai juara Solehah yang berlangsung di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu, anak bongsu daripada enam beradik itu menerima sebuah kereta Proton Saga FLX 1.3, wang tunai RM30,000, trofi, hadiah perabot bernilai RM10,000 serta pakej umrah.
Amie Sofia yang merupakan anak kepada pengarah Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, berdasarkan prestasinya sepanjang program berlangsung dia hanya berani mengimpi kedudukan di tangga kedua atau ketiga.
"Sungguh, saya tidak duga akan jadi juara, sebab semua peserta hebat berbanding saya. Sebab itu jugalah, saya hanya impikan tempat kedua atau ketiga sahaja.
"Apa pun saya bersyukur. Saya ingat nak bagi kereta pada mama dan akan guna wang kemenangan untuk sambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling di Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun depan," katanya yang menerima hadiah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Amie Sofia yang berpengalaman sebagai guru hafazan dan pendidikan Islam di Institusi Al-Quran Kuala Lumpur yang juga pemegang Ijazah Takhassus Qiraat, Universiti Al-Azhar itu berharap perjuangannya untuk menyalurkan syiar Islam di kalangan generasi muda dipermudahkan Allah.
Sementara itu, Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, yang merupakan pemenang kedua Solehah pada malam penentu itu berjaya membuat hati penonton terusik.
Dia yang pada mulanya memilih tajuk Perintang Ibadah sebagai intipati tazkirah akhirnya menukar kepada Pengertian Solehah.
"Saya tukar tajuk sebab merasakan tajuk itu lebih dekat dengan diri. Sebelum saya mengajak orang berubah, saya sendiri perlu berhijrah.
"Ternyata program Solehah ini banyak menggubah saya dan perubahan itulah ingin saya kongsikan dengan orang ramai menerusi tazkirah yang saya sampaikan," katanya.
Sebagai pemenang kedua, Wan Nor Mazuani menerima wang tunai RM20,000, pakej umrah, perabot serta trofi.
Bagi pemenang ketiga Solehah, Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, dari Kulim Kedah, berkata, dia menyertai Solehah dengan niat untuk mempertingkatkan kemahiran diri.
Katanya, sepanjang program berlangsung, dia bukan sahaja dapat menimba ilmu, malah memperkukuhkan jati diri.
"Saya tidak pernah impi bertanding macam ini. Apa pun program ini memberi kesan besar kepada diri saya. Setelah apa yang dilalui, kini rasa tanggungjawab untuk mengembangkan syiar Islam lebih menebal," katanya yang menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, perabot dan trofi.
Lain-lain peserta Solehah yang bertanding pada acara yang dikendalikan oleh Nurul Iman Dzulkefly dan Irma Hasmie Ibrahim itu adalah Wan Suhaili Wan Mohd. Yusof, 24, Mariyam Sa'ari, 24, Sarah Azizul, 25, Siti Adibah Zelkefly, 21, Rosmarieza Rafiee, 25, Renny Johnnuin, 21, dan Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23.
Sementara itu, tiga juri tetap iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor dan Isfadiah Mohd. Dasuki diberi tanggungjawab untuk menilai para peserta sejak awal hingga akhir episod.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar MOHD NAIM AZIZ

0 comments: