Sabtu, 26 November 2011

Gaji wajib dizakat


Kewajipan berzakat bukan hanya dikenakan ke atas petani serta pemilik ternakan lembu dan kambing tetapi juga kepada mereka yang berpendapatan tetap. - Gambar hiasan

RAMAI tidak tahu menyebabkan bilangan pembayar setiap tahun tidak sampai 100 peratus (%).
Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?
Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.
Namun jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka perolehi wajib dikenakan zakat.
Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ).
Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.
Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat.
Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau layari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.
Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak serta isteri.
Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.
Setiap tahun, bilangan pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100% dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?
Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.
Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta tolakan cukai daripada pendapatan agregat maksimum sebanyak 2.5% peratus bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan mereka.
Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayar zakat pendapatan dan perniagaan.
Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil.
Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tiada alasan untuk kita tidak membayar zakat.
Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.

Sumber: Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk


ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.
Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)
Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
* Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)
* Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)
Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.
Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.
Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.
Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.
Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)
Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,
"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.
"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."
Semoga kehadiran 1 Muharam 1433 akan membawa kita ke arah lebih baik dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat seluruhnya bagi mewujudkan manusia yang terbaik.

INFO AKHBAR TEMPATAN

Memahami asas hak asasi manusia


HAK asasi manusia adalah sesuatu yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan. Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.
Namun hak asasi seperti kebebasan menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.
Hak kemanusiaan kadangkala dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.
Justeru, hak-hak yang digariskan oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.
Namun apabila disebut tentang hak asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara hidup orang Barat dijadikan penimbangtara mengenai jenis hak asasi manusia yang harus digunapakai.
Negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita sendiri.
Acuan kita sendiri tidak bermaksud untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.
Kemajuan ilmu pengetahuan serta kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.
Walaubagaimanapun, para remaja harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan neoliberalisme yang sifatnya anarki.
Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.
Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik dan hedonisitik.

Hak asasi adalah fitrah

Islam menghubungkan hak asasi dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.
Kerana itulah Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.
Justeru, apabila ada pihak ingin menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia.
Setiap agama di Malaysia tidak mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan fitrah.
Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan budaya songsang ini.
Ibrah yang diperolehi daripada kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.
Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.
Remaja harus peka bahawa antara agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama.
Islam dengan strategi Islamophobia Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.
Mereka tahu bahawa kekuatan tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.
Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.

Hak asasi islami

Hak asasi dalam Islam mengambil pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang manusia lakukan.
Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.
Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.
Terdapat aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.
Kebebasan bersuara, berfikir, melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.
Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.
Secara dasarnya, hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.
Pertamanya, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan manusia dengan Allah.
Kedua, kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui batas.
Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi.
Ia menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.
Para remaja mesti menyedari bahwa akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan beretika.
Keempat, hak menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.
Kelimanya adalah mengenai keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia.
Faktor syarak dalam pertimbangan tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.
Misalnya, perintah Allah supaya jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang baik.
Tuntutan keenam pula adalah menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri.
Islam dan orang Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.
Jika keindahan dan kesyumulan agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan perbuatan, maruah Islam akan tercalar.
Justeru, menjaga maruah Islam adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu, pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan.

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Jumaat, 25 November 2011

Landasan hidup Yuna




MELAKUKAN kerja amal dan membantu mereka yang kurang bernasib baik sudah menjadi tanggungjawab sosial Yuna.

USIA pembabitannya dalam bidang seni secara serius baru menjangkau tiga tahun. Namun, harus diakui populariti dan kejayaan yang dikecapi oleh komposer yang juga penyanyi wanita popular, Yuna setanding dengan artis lain.
Semuanya bermula dengan lagu Dan Sebenarnya yang telah melonjakkan nama gadis berusia 25 tahun itu yang telah membawa gelombang baru dalam industri muzik tempatan.
Bermula detik itu, Yuna tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Namun, kata Yuna, biarpun dia gembira dan bangga dengan pencapaiannya kini, tetapi semua itu mempunyai harga yang perlu dibayar terutama dari segi masa.
“Sebagai seorang karyawan, saya seorang yang cukup serius dalam apa yang saya lakukan. Cukup penting buat saya untuk melihat muzik saya diterima dengan baik. Alhamdulillah, semua itu saya kecapi berkat usaha dan kerja keras saya sendiri.
“Jujurnya, saya menulis lagu bukanlah untuk diiktiraf mahupun mengejar anugerah tetapi memadai untuk membuat saya gembira apabila muzik saya mampu meninggalkan kesan kepada pendengar.
“Apabila ada pendengar dan peminat yang datang kepada saya sambil memberitahu bahawa mereka terkesan dengan melodi dan lirik saya, itu merupakan kejayaan terbesar buat saya.
“Pengorbanan masa dan kreativiti yang saya curahkan untuk penghasilan lagu dan album berbalas apabila mendapat respons positif seperti itu,” jelas Yuna sambil mengukir senyuman sewaktu ditemui pada majlis minum petang bersama Olay di ibu negara, baru-baru ini.
Seiring dengan sambutan Maal Hijrah 1433 yang bakal disambut Ahad ini (27 November), pemilihan Yuna untuk membicarakan soal penghijrahan adalah bertepatan sekali.
Dalam lambakan artis yang muncul di persada seni tanah air ini, Yuna antara yang cukup menyerlah dan sudah pasti penghijrahan hidupnya boleh diibaratkan umpama kisah dongeng yang diakhiri dengan kebahagiaan.
Barangkali ramai yang terlupa bahawa perjalanan seni Yuna sebenarnya tidak mudah yang disangka kerana permulaan kariernya sedikit goyah.
Bukan sengaja mahu mengungkit kisah lama, tetapi siapa yang dapat lupa bagaimana Yuna pernah dikritik lantaran enggan ‘menjual’ dirinya untuk publisiti.

Rendah diri

Hampir diboikot oleh pihak media, Yuna bingkas bangkit membuka matanya dan mengubah pendiriannya sehingga dia kini mampu menjalinkan ukhuwah yang baik bersama media.
Semuanya atas kesedaran Yuna sendiri yang sedar bahawa sebagai seorang artis, adalah penting untuk dirinya dikenali ramai dalam meluaskan skop muziknya kepada khalayak.
Biarpun sudah dikenali di peringkat antarabangsa, namun, Yuna masih lagi berpijak di bumi nyata dan rendah diri. Tidak seperti segelintir artis yang baru setahun jagung menjadi artis tetapi lagaknya mengalahkan artis senior.
“Saya harus akui kehidupan saya hari ini lebih baik daripada sebelumnya. Proses penghijrahan hidup saya berlaku secara berperingkat. Saya bersyukur ia tidak mendadak. Lebih baik begitu daripada terus menuju puncak yang kemudiannya jatuh tersungkur.
“Apabila saya mengambil keputusan menjadi penyanyi dan komposer sepenuh masa, ia adalah sesuatu yang harus saya lakukan dan ambil serius.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun menjadi artis ini, banyak yang saya pelajari. Ia telah menjadikan sayalebih matang.
“Apa yang saya lalui sebelum ini sebenarnya juga telah banyak membuka mata dan menyedari bahawa hidup ini sebenarnya harus dinikmati sebaik mungkin bersama orang yang saya sayangi di sekeliling saya,” ujar anak tunggal itu ketika diminta menggambarkan kehidupannya kini.
Menyambung bicaranya, Yuna juga bersyukur kerana dengan pendapatannya sebagai anak seni, dia dapat melakukan perkara yang mungkin tidak dapat dilakukannya sebelum ini.

Amal

Walaupun tidak hidup mewah dan hanya menjalani kehidupan yang cukup sederhana, Yuna gembira dengan penghijrahan hidupnya juga dia dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Bukan mahu mendabik dada dengan amal jariah yang dilakukannya selama ini, tetapi Yuna hanya mahu sekadar berkongsi cerita.
“Kalau dulu, mungkin kita mahu membantu mereka yang memerlukan tetapi ada perkara yang menghalang untuk kita berbuat demikian. Mungkin dari segi kewangan misalnya.
“Tetapi sekarang saya banyak melibatkan diri dengan badan amal selain membantu keluarga seandainya mereka memerlukan bantuan,” cerita Yuna yang baru dinobatkan dengan trofi Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Penakut pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18), baru-baru ini.
Tidak hanya itu, penampilan Yuna juga dilihat sudah jauh berubah jika hendak dibandingkan sewaktu awal kemunculannya.
Jika dulu dia hanya selesa berkemeja T, seluar jeans dan bersepatu sniker, tetapi hari ini, evolusi fesyen Yuna cukup mengagumkan sehingga dia dilabelkan sebagai ikon fesyen baharu dunia seni.
Namun, apa yang tidak sedapnya, di sebalik fesyen hijab yang digayakan Yuna itu, terdengar juga kata-kata nakal yang mengatakan ia tidak ubah seperti seorang rahib.
Tidak melenting dengan komen yang dilemparkan itu, sebaliknya Yuna memberitahu, dia tidak mahu ambil pusing atas apa yang dikatakan orang terhadapnya.
Malah, dia berterima kasih kepada pihak yang menyokong dan menjadikan fesyennya sebagai ikutan mahupun trend.

Tidak kisah

“Saya memakai pakaian mengikut keselesaan saya dan apa yang penting, ia juga mendapat restu daripada ibu dan ayah saya. Setakat ini, mereka setuju dengan cara pemakaian saya.
“Apa yang saya lakukan, saya pasti akan meminta pendapat mereka (keluarga). Hakikatnya, memang sukar sekali untuk memuaskan hati semua pihak kerana apa sahaja yang dilakukan pasti akan ada yang tidak kena pada pandangan mereka.
“Saya tidak kisah untuk dikritik tetapi biarlah berhemah. Saya sedar kritikan itu juga adalah untuk kebaikan diri saya juga. Setiap orang pandangannya berbeza dan saya menghormati setiap pandangan yang diberikan,” ujar Yuna yang banyak membuat rujukan daripada majalah fesyen antarabangsa serta negara yang dilawati dalam memperbaiki gaya penampilannya.
Katanya lagi, dengan pemakaian hijab yang lebih moden dan kontemporari juga sebenarnya banyak membantunya sewaktu di Amerika Syarikat (AS).
Walaupun sudah merantau jauh sehingga ke bumi Uncle Sam itu, namun jelas Yuna, dia sama sekali tidak akan menggadaikan maruahnya sebagai seorang wanita Muslim semata-mata mahu menjadi bintang di luar negara.
“Ibaratnya kita ini umpama orang yang baru menjejakkan kaki ke tempat baru. Jadi, untuk salam perkenalan kita seharusnya dengan cara yang penuh diplomatik dan dilakukan secara perlahan-lahan jika mahu diterima masuk dalam komuniti mereka.
“Alhamdulillah, saya tiada masalah di sana dan mereka menerima kehadiran saya dengan baik serta penuh terbuka,” jelas Yuna yang juga cukup popular dengan lagu Gelora Jiwa dan Gadis Semasa.
Sempat berkongsi cerita tentang perkembangan kariernya, Yuna memberitahu dia sudah pun menyiapkan album Inggeris pertamanya untuk pasaran AS dan dipasarkan sekitar bulan Februari depan.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR, WAHIDAH ZAINAL dan ihsan KEY MESSAGE


Khamis, 17 November 2011

Beijing kota purba termaju di dunia


 

SEBAGAI kota purba termaju di dunia, Beijing atau juga dikenali sebagai Peking pastinya memiliki keistimewaan yang tersendiri. Destinasi tersebut yang turut dikenali ramai sebagai kota terpadat di dunia dengan bilangan mencecah 20 juta penduduk itu bukan sekadar kota biasa.
Ini kerana sebagai sebuah bandar raya yang diiktiraf sebagai pusat Metropolis di China, Beijing dibahagikan kepada 14 daerah dalam bandar dan dua daerah di kawasan luar bandar.
Selain itu, bandar tersebut juga dijadikan sebagai pusat pengangkutan utama, dengan berdozen landasan kereta api, lebuh raya dan tidak kurang juga sebagai tempat persinggahan atau transit buat kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa.
Sejak berkurun lamanya, Beijing kini semakin maju sehingga berperanan sebagai jantung utama pergerakan ekonomi China dan pusat kebudayaan yang dipenuhi dengan pelbagai binaan lama dan moden.
Istimewanya, destinasi ini amat terkenal dengan kemewahan istana-istana, kuil-kuil dan dinding-dinding batu besar serta pintu kepada khazanah warisan kesenian China.
Di kota tersebut, pelawat dan pengembara mempunyai banyak pilihan untuk menghabiskan masa percutian bersama keluarga.
Bagi yang melawat buat kali pertama, pemilihan destinasi mungkin antara perkara paling sukar untuk ditentukan kerana sebagai pusat tamadun manusia antara yang tertua dunia, Beijing menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk dikunjungi.

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY