Jumaat, 25 November 2011

Landasan hidup Yuna




MELAKUKAN kerja amal dan membantu mereka yang kurang bernasib baik sudah menjadi tanggungjawab sosial Yuna.

USIA pembabitannya dalam bidang seni secara serius baru menjangkau tiga tahun. Namun, harus diakui populariti dan kejayaan yang dikecapi oleh komposer yang juga penyanyi wanita popular, Yuna setanding dengan artis lain.
Semuanya bermula dengan lagu Dan Sebenarnya yang telah melonjakkan nama gadis berusia 25 tahun itu yang telah membawa gelombang baru dalam industri muzik tempatan.
Bermula detik itu, Yuna tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Namun, kata Yuna, biarpun dia gembira dan bangga dengan pencapaiannya kini, tetapi semua itu mempunyai harga yang perlu dibayar terutama dari segi masa.
“Sebagai seorang karyawan, saya seorang yang cukup serius dalam apa yang saya lakukan. Cukup penting buat saya untuk melihat muzik saya diterima dengan baik. Alhamdulillah, semua itu saya kecapi berkat usaha dan kerja keras saya sendiri.
“Jujurnya, saya menulis lagu bukanlah untuk diiktiraf mahupun mengejar anugerah tetapi memadai untuk membuat saya gembira apabila muzik saya mampu meninggalkan kesan kepada pendengar.
“Apabila ada pendengar dan peminat yang datang kepada saya sambil memberitahu bahawa mereka terkesan dengan melodi dan lirik saya, itu merupakan kejayaan terbesar buat saya.
“Pengorbanan masa dan kreativiti yang saya curahkan untuk penghasilan lagu dan album berbalas apabila mendapat respons positif seperti itu,” jelas Yuna sambil mengukir senyuman sewaktu ditemui pada majlis minum petang bersama Olay di ibu negara, baru-baru ini.
Seiring dengan sambutan Maal Hijrah 1433 yang bakal disambut Ahad ini (27 November), pemilihan Yuna untuk membicarakan soal penghijrahan adalah bertepatan sekali.
Dalam lambakan artis yang muncul di persada seni tanah air ini, Yuna antara yang cukup menyerlah dan sudah pasti penghijrahan hidupnya boleh diibaratkan umpama kisah dongeng yang diakhiri dengan kebahagiaan.
Barangkali ramai yang terlupa bahawa perjalanan seni Yuna sebenarnya tidak mudah yang disangka kerana permulaan kariernya sedikit goyah.
Bukan sengaja mahu mengungkit kisah lama, tetapi siapa yang dapat lupa bagaimana Yuna pernah dikritik lantaran enggan ‘menjual’ dirinya untuk publisiti.

Rendah diri

Hampir diboikot oleh pihak media, Yuna bingkas bangkit membuka matanya dan mengubah pendiriannya sehingga dia kini mampu menjalinkan ukhuwah yang baik bersama media.
Semuanya atas kesedaran Yuna sendiri yang sedar bahawa sebagai seorang artis, adalah penting untuk dirinya dikenali ramai dalam meluaskan skop muziknya kepada khalayak.
Biarpun sudah dikenali di peringkat antarabangsa, namun, Yuna masih lagi berpijak di bumi nyata dan rendah diri. Tidak seperti segelintir artis yang baru setahun jagung menjadi artis tetapi lagaknya mengalahkan artis senior.
“Saya harus akui kehidupan saya hari ini lebih baik daripada sebelumnya. Proses penghijrahan hidup saya berlaku secara berperingkat. Saya bersyukur ia tidak mendadak. Lebih baik begitu daripada terus menuju puncak yang kemudiannya jatuh tersungkur.
“Apabila saya mengambil keputusan menjadi penyanyi dan komposer sepenuh masa, ia adalah sesuatu yang harus saya lakukan dan ambil serius.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun menjadi artis ini, banyak yang saya pelajari. Ia telah menjadikan sayalebih matang.
“Apa yang saya lalui sebelum ini sebenarnya juga telah banyak membuka mata dan menyedari bahawa hidup ini sebenarnya harus dinikmati sebaik mungkin bersama orang yang saya sayangi di sekeliling saya,” ujar anak tunggal itu ketika diminta menggambarkan kehidupannya kini.
Menyambung bicaranya, Yuna juga bersyukur kerana dengan pendapatannya sebagai anak seni, dia dapat melakukan perkara yang mungkin tidak dapat dilakukannya sebelum ini.

Amal

Walaupun tidak hidup mewah dan hanya menjalani kehidupan yang cukup sederhana, Yuna gembira dengan penghijrahan hidupnya juga dia dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Bukan mahu mendabik dada dengan amal jariah yang dilakukannya selama ini, tetapi Yuna hanya mahu sekadar berkongsi cerita.
“Kalau dulu, mungkin kita mahu membantu mereka yang memerlukan tetapi ada perkara yang menghalang untuk kita berbuat demikian. Mungkin dari segi kewangan misalnya.
“Tetapi sekarang saya banyak melibatkan diri dengan badan amal selain membantu keluarga seandainya mereka memerlukan bantuan,” cerita Yuna yang baru dinobatkan dengan trofi Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Penakut pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18), baru-baru ini.
Tidak hanya itu, penampilan Yuna juga dilihat sudah jauh berubah jika hendak dibandingkan sewaktu awal kemunculannya.
Jika dulu dia hanya selesa berkemeja T, seluar jeans dan bersepatu sniker, tetapi hari ini, evolusi fesyen Yuna cukup mengagumkan sehingga dia dilabelkan sebagai ikon fesyen baharu dunia seni.
Namun, apa yang tidak sedapnya, di sebalik fesyen hijab yang digayakan Yuna itu, terdengar juga kata-kata nakal yang mengatakan ia tidak ubah seperti seorang rahib.
Tidak melenting dengan komen yang dilemparkan itu, sebaliknya Yuna memberitahu, dia tidak mahu ambil pusing atas apa yang dikatakan orang terhadapnya.
Malah, dia berterima kasih kepada pihak yang menyokong dan menjadikan fesyennya sebagai ikutan mahupun trend.

Tidak kisah

“Saya memakai pakaian mengikut keselesaan saya dan apa yang penting, ia juga mendapat restu daripada ibu dan ayah saya. Setakat ini, mereka setuju dengan cara pemakaian saya.
“Apa yang saya lakukan, saya pasti akan meminta pendapat mereka (keluarga). Hakikatnya, memang sukar sekali untuk memuaskan hati semua pihak kerana apa sahaja yang dilakukan pasti akan ada yang tidak kena pada pandangan mereka.
“Saya tidak kisah untuk dikritik tetapi biarlah berhemah. Saya sedar kritikan itu juga adalah untuk kebaikan diri saya juga. Setiap orang pandangannya berbeza dan saya menghormati setiap pandangan yang diberikan,” ujar Yuna yang banyak membuat rujukan daripada majalah fesyen antarabangsa serta negara yang dilawati dalam memperbaiki gaya penampilannya.
Katanya lagi, dengan pemakaian hijab yang lebih moden dan kontemporari juga sebenarnya banyak membantunya sewaktu di Amerika Syarikat (AS).
Walaupun sudah merantau jauh sehingga ke bumi Uncle Sam itu, namun jelas Yuna, dia sama sekali tidak akan menggadaikan maruahnya sebagai seorang wanita Muslim semata-mata mahu menjadi bintang di luar negara.
“Ibaratnya kita ini umpama orang yang baru menjejakkan kaki ke tempat baru. Jadi, untuk salam perkenalan kita seharusnya dengan cara yang penuh diplomatik dan dilakukan secara perlahan-lahan jika mahu diterima masuk dalam komuniti mereka.
“Alhamdulillah, saya tiada masalah di sana dan mereka menerima kehadiran saya dengan baik serta penuh terbuka,” jelas Yuna yang juga cukup popular dengan lagu Gelora Jiwa dan Gadis Semasa.
Sempat berkongsi cerita tentang perkembangan kariernya, Yuna memberitahu dia sudah pun menyiapkan album Inggeris pertamanya untuk pasaran AS dan dipasarkan sekitar bulan Februari depan.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR, WAHIDAH ZAINAL dan ihsan KEY MESSAGE


0 comments: