Jumaat, 30 Mac 2012

Beri kebebasan anak pilih kursus


Kursus yang tidak diminati menyebabkan mereka tidak serius belajar

KUALA LUMPUR: Ibu bapa seharusnya berbincang dengan anak mereka mengenai kursus yang hendak diambil di institusi pengajian tinggi bagi menentukan ia benar-benar sesuai dengan minat serta keupayaan anak masing-masing, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak-anak untuk mengambil kursus yang tidak diminati kerana ini akan menyebabkan anak mereka tidak bersungguh-sungguh dalam pembelajaran.
“Sebarang keputusan mengenai masa depan anak-anak tidak harus berdasar kepada kehendak atau kemahuan ibu bapa semata-mata,” katanya dalam program terbitan Radio 24.
Katanya, adalah penting bagi ibu bapa memberi kebebasan kepada anak-anak  untuk memilih subjek yang sesuai dengan minat dan kelayakan sebenar mereka.
“Saya pernah jumpa ramai pelajar universiti yang tidak bersunggguh-sungguh  dalam pembelajaran kerana mengambil kursus yang dimahukan oleh ibu bapa dan bukannya kerana minat terhadap kursus yang diambil,” katanya.
Saifuddin mengulas kenyataan Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini yang melahirkan rasa hairan mengapa pelajar-pelajar cemerlang banyak memilih kursus perubatan dan kejuruteraan.
Idris berkata, trend itu jika dibiarkan berterusan boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran kerjaya.
Sehubungan itu, Saifuddin meminta ibu bapa dan pelajar supaya mengikis persepsi bahawa hanya sektor pekerjaan tertentu sahaja yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata, keadaan sekarang sudah berubah kerana apa sahaja profesion sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh boleh memberikan pulangan yang lumayan. — Bernama

Maxis sediakan perkhidmatan mudah alih untuk kontinjen Malaysia di sukan Olimpik London 2012


KUALA LUMPUR: Buat yang pertama kalinya, Maxis Berhad (Maxis), peneraju perkhidmatan komunikasi bersepadu utama Malaysia telah mengumumkan kerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai penyedia rasmi perkhidmatan mudah alih kepada OCM di Sukan Olimpik London 2012.
Maxis akan menyediakan pakej mudah alih khas untuk kontinjen Olimpik Malaysia bernilai RM1,500 setiap seorang yang membolehkan mereka bebas berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan tanpa mengira masa dan lokasi.
Maxis telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das dan Ketua Pegawai Kewangan Maxis, Nasution Mohamed, manakala OCM telah diwakili oleh Timbalan Presiden, YBhg Dato A Sani Karim, dan Setiausaha Kehormat, YBhg Dato Sieh Kok Chi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah  Pengerusi Maxis, YM Raja Tan Sri Dato Seri Arshad bin Raja Tun Uda, dan  Presiden MOM, YAM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.
YM Raja Tan Sri Arshad berkata, “Maxis telah sentiasa memberi sokongan padu kepada inisiatif-inisiatif pembangunan negara serta perkembangan bakat, dan kami berasa bangga dapat memainkan peranan yang serupa dalam mencapai cita-cita negara dalam bidang kecemerlangan sukan.
“Kami amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada salah satu acara sukan terbesar di dunia sebagai rakan kongsi eksklusif MOM buat kali pertama.”
“Sebagai peneraju perkhidmatan komunikasi bersepadu negara, Maxis telah kekal komited kepada impian 14 juta pelanggan kami, dan dengan semangat dan dedikasi yang sama ini, kami menyokong aspirasi setiap atlet Malaysia dalam mencapai kegemilangan Olimpik,” katanya lagi. -tbp

Rabu, 28 Mac 2012

Agong rasmi Pameran Bonsai dan Orkid KL 2012


Posted on March 25, 2012, Sunday

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam berkenan merasmikan Pameran Bonsai dan Orkid Kuala Lumpur 2012 di Taman Botani Perdana.
Ketibaan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun disambut oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah selebriti antarabangsa seperti Owen Wilson, Adrien Brody, David Haye, Michel Salgado, dan Fernando Morientes.
Baginda berdua kemudiannya dibawa melihat pameran bonsai dan orkid, seterusnya menanam pokok buchida di Laman Perdana dan diakhiri dengan jamuan santapan diraja.
Pameran ini diadakan bermula Jumaat lepas sehingga 27 Mac ini sempena penganjuran Formula One di Sepang dan bakal dijadikan sebagai acara tahunan.
Pelbagai aktiviti juga bakal berlangsung seperti Garden Hunt, pertandingan graffiti, pertandingan mewarna kanak-kanak, gubahan bunga dan sebagainya untuk menarik minat para pengunjung selain terdapat lebih 100 gerai bonsai dan orkid yang menyertai pameran ini.
Ahmad Fuad dalam ucapannya berkata, pameran yang julung kali dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini merupakan produk ekopelancongan yang dapat mempromosikan Taman Botani Perdana kepada pelancong tempatan ataupun luar negara.
“Ia bukan sahaja menjadi produk ekopelancongan di Kuala Lumpur malahan juga menjadi sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan alam semulajadi kepada penduduk tempatan ataupun pelancong asing.
Katanya, DBKL akan meneruskan usaha pembangunan dalam memastikan Taman Botani Perdana setaraf dengan Taman Botani yang ada di seluruh dunia.
Pameran ini merupakan cetusan ilham Ahmad Fuad untuk mempromosikan produk ekopelancongan dan memperkenalkan Taman Botani Perdana manakala pemilihan bonsai dan orkid untuk meningkatkan prestij pameran ini sehingga ke arena antarabangsa. — Bernama

Mawi dan keluarga diikat, dirompak di banglo


KAJANG: Juara Akademi Fantasia 3, Mawi, kerugian RM10,000 apabila dirompak empat lelaki bersenjata parang dan pisau yang memecah masuk dan mengikat beliau dan keluarga di banglonya di Bangi Golf Resort di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian pada 4 pagi semalam, Mawi, 31, yang tinggal di banglo lima bilik itu bersama-sama isterinya Norashikin Rahman atau Ekin, 33, bayi perempuannya yang baharu berusia 28 hari bernama Cahaya Malaika, ibu mentua Fatimah Saad, 56, nenek mentua Salmah Sahar, 77, dan seorang pembantu rumah, diikat kaki dan tangan sebelum perompak menggeledah kediamannya.
Ketika ditemui pemberita di rumahnya, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, berkata empat lelaki yang berpakaian gelap, tiga daripadanya bertopeng, melarikan seutas rantai emas yang dipakai nenek mentuanya, empat telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dalam rompakan itu yang mengambil masa 20 minit.
“Saya hanya sedar kehadiran empat lelaki itu setelah terjaga dari tidur apabila Ekin diserang tiga daripada empat suspek, yang dipercayai warga Indonesia, sebaik membuka pintu bilik kami yang diketuk dengan ganas.
“Pada mulanya, kami ingatkan nenek yang mengetuk pintu itu tetapi bila Ekin membuka pintu seorang daripada suspek terus mengacu pisau pada lehernya dan meminta barang kemas,” katanya.— Bernama

Jumaat, 16 Mac 2012

Juruterbang wanita membelah angkasa


Barisan juruterbang wanita yang menjadi kebanggaan AirAsia.
Menjadi juruterbang jarang tercicir daripada senarai cita-cita idaman kebanyakan kanak-kanak ketika di zaman sekolah.
Waktu itu gambaran mengemudi sendiri sebuah pesawat terasa begitu gah. Apatah lagi segak mengenakan seragam putih hitam sambil mengepit topi berlencana lambang sayap.
Tanpa mengira sama ada kanak-kanak lelaki mahupun perempuan, apabila ditanya apakah cita-cita apabila besar nanti pasti pantas memberi jawapan: “Saya nak bawa kapal terbang sebab dapat peluang untuk ‘terbang’ ke mana-mana destinasi yang diingini.”
Begitu juga dengan empat juruterbang muda yang ditemui di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang, baru-baru ini.
Keterujaan mereka untuk mengemudi kapal terbang begitu terserlah sebaik tamat pengajian di tingkatan lima. Masing-masing meneruskan pengajian di akademi penerbangan.
Cerita yang sama juga berlaku pada Noor Hafizah Mohd. Idrus, 28, yang berminat untuk menjadi juruterbang sedari kecil.
Bezanya, impian itu pada awalnya mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya.
Sebaliknya mereka mahu melihat Noor Hafiza berjaya dalam bidang perubatan dan bergelar seorang doktor.
Untuk tidak menghampakan impian orang tua, dia meneruskan pengajian di dalam bidang sains, peringkat matrikulasi di Londang, Melaka walaupun terpaksa melupakan impian untuk terbang tinggi di awan biru.
Disebabkan markah yang tidak begitu melayakkannya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, akhirnya anak kedua daripada enam beradik itu meneruskan pengajian dalam bidang multimedia peringkat ijazah
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Begitupun setelah mengharunginya selama satu setengah tahun, pengajiannya ‘terbengkalai’ begitu sahaja tanpa sempat ditamatkan.
Semuanya gara-gara iklan AirAsia yang disiarkan untuk pengambilan kadet juruterbang syarikat tersebut.
Lantas, tanpa berfikir panjang, Noor Hafizah atau lebih mesra disapa Fizah telah memohon tanpa pengetahuan keluarga.
Hari ini, setelah enam tahun bernaung di bawah sayap AirAsia, anak kelahiran Taiping, Perak itu akhirnya berjaya meyakinkan kedua ibu bapanya bahawa kerjaya sebagai juruterbang mampu dipikulnya.
“Pada peringkat awal, emak dan ayah susah juga hendak menerima kenyataan saya menyertai AirAsia sebagai juruterbang. Tambahan pula terpaksa meninggalkan pengajian di UKM.
“Tetapi setelah diterima dan lulus temuduga dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik, akhirnya mereka menerima dan kini menyokong kuat saya.
“Yang pasti, hari ini saya mampu berbangga dengan diri sendiri kerana cita-cita yang diimpikan sejak kecil menjadi kenyataan,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang lebih membanggakan, Pembantu Juruterbang Kanan itu merupakan kelompok pertama wanita yang menyertai akademi AirAsia sebagai juruterbang.
Jika bersemuka dengan Noor Hafizah pastinya tidak percayai dia merupakan individu yang mengemudi pesawat Airbus A330 dengan 375 penumpang kerana susuk badannya yang kecil.
Pada masa sama, pengorbanan Noor Hafizah melepaskan pengajian di UKM berbaloi kerana kini dia dalam proses menunggu masa untuk ditemuduga sebagai kapten.
Siapa sangka, penglibatan awalnya dalam bidang penerbangan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya, hari ini sudah mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang dikecapi.
Secara tidak langsung, dia juga berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu menggerakkan jentera berat dan besar malah keupayaan mereka tidak harus dipandang sebelah mata.
Seorang lagi Pembantu Juruterbang Kanan AirAsia, Illyaquila Fateen Ismail, 24, merupakan kadet wanita pertama menamatkan pengajian di Halim Mazmin Aerospace (HMA) Sdn. Bhd., Langkawi, pada tahun 2007 sebelum dia menyertai keluarga Air Asia.
Ia sekali gus menjadikan Illyaquila wanita pertama menerima sayap penerbangan daripada akademi penerbangan tersebut.
Anak kepada seorang juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu menegaskan, dia sememangnya bercita-cita untuk mengikut jejak langkah bapanya, Kapten Ismail Abu Bakar sejak kecil lagi meskipun menyedari profesion tersebut dikuasai kaum lelaki.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang penerbangan, jelas anak kedua daripada empat beradik itu, dia memasuki akademi itu selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Seri Aman, Petaling Jaya.
Menurutnya, dia tidak pernah membayangkan dirinya bekerja di pejabat. Malah ‘pejabat’ setinggi 30,000 kaki di angkasa hari ini membuktikan kesungguhan anak gadis itu mengotakan apa yang diimpikan sedari kecil.
Bukan itu sahaja, kegigihan itu membuktikan kesungguhannya di dalam bidang penerbangan apabila dia telah melakukan lebih 4,000 jam penerbangan.
Jumlah tersebut melayakkan Illyaquila atau lebih senang disapa Aquila menyandang jawatan kapten.
Bagaimanapun, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu terpaksa menunggu sehingga umurnya mencecah 26 tahun untuk bergelar kapten.
“Alhamdulillah, sepanjang lima tahun dengan AirAsia, saya telah melakukan lebih 4,000 jam penerbangan.
“Kalau diikutkan saya layak bergelar kapten tetapi perlu melalui pelbagai ujian dan temuduga sebelum diluluskan untuk mendapat empat ‘calit’ (empat bar).
“Lagi satu, saya juga terpaksa menunggu sehingga umur 26 tahun kerana syarat untuk menjawat jawatan kapten mestilah berumur 26 tahun ke atas dan saya akan setia menunggu,” ujarnya sambil tersenyum manja.
Dia yang juga memiliki lesen B (motor berkuasa tinggi) sememangnya merupakan anak gadis yang mampu pergi jauh.
Ini terbukti apabila dia merupakan salah seorang jurulatih (ground traning instructor) kepada pelatih-pelatih yang baru menyertai AirAsia.
Sementara itu, Kapten Norashikin Onn merupakan orang lama dalam bidang penerbangan.
Melibatkan diri dalam dunia penerbangan sejak tahun 1996, wanita itu mempunyai pengalaman yang tidak ternilai.
Pernah berdepan dengan pelbagai dugaan dan kerenah penumpang, bagi Norashikin semuanya adalah lumrah dan dia sudah lali dengan situasi tersebut.
Tidak pernah menyesal apatah lagi ‘penat’, dia menjadikan semuanya sebagai dorongan untuk terus maju dalam bidang yang diminati itu.
Wanita kelahiran Shah Alam, Selangor itu mengakui pernah bercita-cita untuk menjadi seorang angkasawan wanita.
Bagaimanapun jelasnya, tidak dapat menaiki kapal angkasa, dapat mengendalikan kapal terbang pun sudah memadai.
Sebagai kapten wanita pertama AirAsia, Norashikin yang mengikuti kelas penerbangan di Florida, Amerika Syarikat (AS), berpendapat seorang juruterbang memerlukan kefahaman dan kearifan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi.
“Dalam masa-masa getir, seorang juruterbang perlu bertindak dengan tenang, tidak panik dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Buat masa sekarang saya gembira dengan kerjaya yang disandang hari ini. Tidak pernah terfikir atau merancang untuk bersara dari bidang ini kecuali kesihatan tidak mengizinkan,” katanya.
Norashikin yang menyertai AirAsia sejak tahun 2005, hari ini mengemudi pesawat Airbus A320 dan telah melakukan lebih 9,000 jam penerbangan.
Begitupun, ketiga-tiga juruterbang wanita itu menegaskan, walaupun kerjaya itu nampak senang tetapi sebenarnya ia bukanlah mudah seperti yang disangka.
Ini kerana setiap enam bulan mereka akan menduduki peperiksaan selain melalui latihan simulasi untuk persiapan menghadapi situasi akan datang.
Bagaimanapun, kepuasan jelas terlihat pada riak wajah masing-masing. Semuanya gembira dengan kerjaya yang disandang hari ini.
Bagi mereka terutama wanita-wanita yang bercita-cita ingin juruterbang selalulah memantau iklan di akhbar-akhbar utama selain laman sesawang rasmi mana-mana syarikat penerbangan untuk memohon.
Dengar cerita April ini akan ada pengambilan baru!

Oleh mariatul qatiah zakaria
Gambar Nurfadhila Roslei (Pelatih Unisel)