Khamis, 26 Januari 2012

Serina Chef Wan selamat melahirkan bayi kedua





KUALA LUMPUR, 25 JANUARI 2012: Mencari masa yang sesuai untuk berbicara sendiri dengan tuan tubuh iaitu Serina Redzuawan, portal murai.com.my berjaya menemubual aktres dan juga pengacara bersuara serak itu.

Ketika dihubungi, Serina baru saja keluar dari Hospital Prince Court dan bersedia untuk pulang menjalani tempoh berpantang di rumah.

Bertanyakan tentang puteri yang baru sahaja dilahirkannya pada 23 Januari lalu, dengan berat 3.30kg, pemilik nama Isabella Saffiya O'Luanaigh itu nyata berada dalam keadaan sihat.

Malah, Serina berkata, dia sangat bersyukur kerana kedatangan bayi keduanya itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.

"Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Dalam masa tiga hari saya berada di sini terasa sekejap saja, apatah lagi Isabella dilahirkan secara normal.Semua pihak nampaknya gembira dan bersyukur atas kelahiran ini," katanya.

Datuk kepada Isabella iaitu Datuk Chef Wan Ismail yang kini berada di luar negara kerana sedang bercuti khabarnya gembira walaupun sedikit ralat kerana tidak dapat bersama dengan anak perempuan tunggalnya itu menyambut kelahiran warga baru dalam keluarga mereka.

"Untung saya mempunyai suami yang memahami dan sentiasa berada di sisi di saat saya memerlukannya. Setiap masa dia ada bersama saya. Daripada sebelum saya melahirkan sehinggalah selesai saya keluar daripada bilik bersalin.

"Apabila selesai saja semua, dia memeluk dan mengucup dahi saya.Lantas mengucapkan terima kasih kerana melahirkan anak untuknya.

"Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya kerana mempunyai suami yang menyayangi dan menghargai susah payah seorang isteri mengandung dan melahirkan anak untuknya.

"Kalau macam ini, saya tak kisah nak sepuluh anakpun tiada masalah," bicara Serina sambil berseloroh mengenangkan suaminya Gavin yang begitu menyayanginya.

Tambahnya lagi, dalam masa berpantang ini dia akan cuba sehabisnya untuk menjaga badan kerana tidak sabar untuk membuat penampilan semula.

"Dalam masa 44 hari ini, saya akan bersiap-siap untuk menjalani proses berpantang. Mungkin ramai yang tidak tahu saya juga telah dilantik sebagai duta set bersalin Tanamera.

"Dengan danya set bersalin ini, nampaknya akan lebih memudahkan proses berpantang kerana ianya memberikan rawatan sepenuhnya sebelum dan selepas bersalin," katanya.

Menurut Serina lagi, set bersalin Tanamera berkenaan sesuai untuk semua bakal ibu kerana ia menggunakan teknologi dan pendekatan yang lebih praktikal dalam masa yang sama masih mengekalkan amalan tradisional orang lama seperti herba dan produk semulajadi.

"Walaupun saya bersuamikan mat saleh, namun saya memilih untuk menjalani rawatan selepas bersalin secara tradisional. Contohnya memanggil tukang urut, mendapatkan makanan yang berkhasiat dan saya beruntung kerana ibu adalah individu yang akan membantu saya menjalani proses ini.

"Gavin juga tidak pernah menghalang saya daripada mendapatkan rawatan secara tradisional.

"Tentang aktiviti seni pula saya akan kembali aktif berlakon drama. Kalau boleh, selepas ini saya mahu mencuba watak baru pula.

"Mungkin peminat asyik melihat saya dalam drama berunsurkan kepolisan, jadi saya mahu cuba sesuatu yang baru. Disamping itu saya juga ada menubuhkan syarikat produksi saya sendiri di bawah nama YKS Film Maker yang akan menerbit beberapa buah drama untuk stesyen televisyen tempatan," katanya panjang lebar.

Sepanjang temubual berkenaan, Serina kedengarannya begitu gembira dengan kelahiran bayi barunya itu dan mahukan yang terbaik untuk Isabella Saffiya seperti mana abangnya Tristan Tareef yang kini sudah pun berusia setahun lima bulan.

Kepada sesiapa yang mahu mendapatkan rawatan set bersalin Tanamera, seperti mana Serina, bolehlah menghantarkan SMS ke talian 012-9320233. -berita online

0 comments: