Sabtu, 21 Mei 2011

Cars 2 bakal gegar pawagam


JOHN LESSETER
AKAN mula ditayangkan di pawagam 24 Jun ini, Cars 2 pastinya menjanjikan tontonan yang menarik dan hebat buat peminat setia filem itu serta pencinta filem animasi khususnya.
Bukan itu sahaja, bagi mendapat penontonan yang maksimum, Walt Disney bersetuju untuk menerbitkan Cars 2 juga dalam bentuk 3D bagi menikmati kepuasan optimum kelak.
Filem ini juga mencipta rekodnya tersendiri apabila menjadi filem kedua terbitan Pixar yang mempunyai sekuel selepas filem Toy Story.
Bagi pengarahnya, John Lesseter, dia mendapat idea untuk menghasilkan filem ini sewaktu sibuk mempromosikan filem Cars di seluruh dunia sekitar lima tahun lalu.
"Saya sering membayangkan bagaimana watak Mater berhadapan dengan pelbagai situasi yang membawanya mengembara ke seluruh dunia.
"Pasti menarik untuk melihat gelagatnya memandu di laluan yang salah di United Kingdom, berasa keliru membaca papan tanda di Jepun dan berhadapan dengan pemandu skuter di Itali.
"Cars 2 juga akan memperlihatkan bagaimana ikatan persahabatan antara Mater dan Lightning McQueen mengendalikan situasi yang ada kalanya menimbulkan ketegangan," jelas Lesseter yang pernah mengarahkan filem animasi terbitan Pixar seperti Toy Story, Toy Story 2 dan A Bug's Life.
Cars 2 masih lagi menggunakan khidmat suara aktor terkenal, Owen Wilson untuk watak utamanya iaitu Lightning McQueen di samping Larry the Cable Guy yang kembali menyumbang suaranya untuk watak Mater.
Pelakon lain yang terlibat untuk filem Cars 2 termasuklah Michael Caine bagi watak Finn McMissile, Emily Mortimer (Holley Shiftwell), Joe Mantegna (Grem), Jason Isaacs (Siddeley), Tony Shalhoub (Luigi), John Turturro (Francesco Bernoulli) dan Bonnie Hunt as Sally Carrera.
Lebih menarik lagi, Cars 2 menampilkan tiga pelumba kereta terkenal iaitu Lewis Hamilton, David Hobbs dan Darrell Waltrip yang akan menyumbang suara mereka dengan membawakan watak masing-masing.
Hanya tiga pelakon asal filem Cars tidak dapat kembali untuk sambungannya iaitu George Carlin, Paul Newman dan Joe Ranft kerana telah meninggal dunia dalam tempoh produksi filem Cars 2.
Khusus buat peminat filem Cars, pastikan temujanji anda pada 24 Jun ini di pawagam untuk menonton kisah selanjutnya dalam Cars 2.

0 comments: