Selasa, 3 Mei 2011

Empayar baru KRU


Norman Abdul Halim bersama Lam Swee Kim (kanan) dan Ahmad Izham Omar (dua dari kanan) merasmikan portal TV, KRU TV di The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
TRIO KRU bukan sahaja cemerlang dalam bidang muzik dan filem, bahkan kini mereka menjadi satu jenama besar dalam industri hiburan tempatan menerusi empayar perniagaan mereka di bawah syarikat KRU Studios.
Terbaru, kumpulan yang dianggotai adik-beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu melangkah setapak lagi dalam dunia seni tanah air dengan penubuhan saluran KRU TV bagi menyiarkan koleksi program, filem mahupun drama terbitan KRU Studios.
Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman berkata, sejak penubuhan KRU hampir 20 tahun lalu, syarikatnya telah menerbitkan ratusan produk yang ditayangkan dipelbagai medium siaran.
" Jadi, matlamat KRU TV ditubuhkan adalah untuk dijadikan sebagai medium bagi menyiarkan koleksi produk terbitan kami selama ini menerusi siaran milik sendiri.
" Selain menyiarkan kembali produk-produk lama, kami juga menayangkan program terbaru yang diterbitkan khas untuk KRU TV.
" Bukan apa, setiap stesen TV mempunyai sistem mereka yang tersendiri dalam penerbitan program diinginkan.
" Oleh itu, menerusi KRU TV, kami mempunyai peluang untuk berkarya tanpa sekatan serta mengikut kreativiti," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran KRU TV di The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Sejak memulakan siaran percubaan Januari lalu di laman portal TV, www.tonton.com.my, Norman menjelaskan, ia adalah kerjasama pertama KRU Studios dengan pengendali web berkenaan, Alt Media Sdn. Bhd.
Tambah Norman, menerusi kerjasama itu, program KRU Paparazzi merupakan antara rancangan terbitan mereka yang berjaya mendapat perhatian ramai.
Walaupun baru beberapa bulan, secara keseluruhannya, KRU TV berjaya menduduki tangga kelima daripada 13 saluran yang terdapat dalam portal berkenaan.
Antara program hiburan lain terbitan KRU TV yang dapat ditonton ialah KRU Jukebox, KRU The Making Of, KRU Anime, 24-7 dan Extravaganza.
" KRU Paparazzi adalah program hiburan yang mendedahkan gosip, perkembangan cerita artis tempatan dan Indonesia.
"Namun, kami tak bermaksud mahu meniru atau bersaing dengan Melodi atau rancangan hiburan yang lain yang seumpamanya.
"Bagaimanapun, kewujudan KRU TV bukanlah bermaksud mahu memberi saingan kepada saluran-saluran TV sedia ada, tetapi hanya sekadar memberi pilihan kepada audiens," tegasnya.
Hadir sama di majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, Pengurus Besar Kumpulan Alt Media Sdn. Bhd. Lam Swee Kim.
Pada masa yang sama, KRU Studios menggunakan kesempatan di majlis berkenaan untuk memperkenalkan barisan artis baru yang bernaung di bawah syarikat mereka seperti Alif Hadi, Nealofa, Aina Suzaily, kumpulan Forteen, kumpulan VIP dan kumpulan Tiga.
Dalam pada itu, menurut Norman, KRU Studios berkemampuan menghasilkan 300 jam program untuk siaran TV untuk disiarkan di KRU TV. 
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN ABDULLAH

0 comments: