Jumaat, 2 Disember 2011

Adira gayat tapi seronok memanjat


AKSI spontan Adira ketika hampir jatuh ketika melakukan aktiviti wall climbing di Extreme Park, Shah Alam baru-baru ini.
"LAGI senang panjat pokok!" Itu merupakan jawapan yang diberikan Adira sewaktu ditanya pengalaman pertamanya mencuba aktiviti panjat tembok atau wall climbing di Extreme Park, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Malah menurut Adira atau pemilik nama sebenar, Siti Adira Suhaimi, 20, dia sememangnya dikenali sebagai seorang gadis yang lincah ketika tinggal di kampungnya di Ranau, Sabah.
Gemar memanjat pokok sewaktu membesar di sana, Adira memberitahu, dia kini ingin mencuba aktiviti wall climbing.
"Sejak dari kecil lagi Adira lebih suka berkawan dengan budak-budak lelaki dan itu sedikit sebanyak menyebabkan Adira lebih menyukai aktiviti lasak.
"Dan antara aktiviti kegemaran Adira sewaktu kecil semestinya memanjat pokok. Memang merbahaya tetapi itu menyeronokkan," katanya
Menurut naib juara program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia musim kelapan ini, setelah meningkat dewasa, dia tidak lagi memanjat pokok.
Bagaimanapun, kerinduan terhadap aktiviti itu tetap ada dan bertambah setelah dia berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Kalau di Kuala Lumpur ini, mana nak cari pokok untuk dipanjat? Lainlah kalau di kampung, ada waktunya kalau rasa gian, Adira akan panjat pokok jambu.
"Sebagai ganti dan pengubat rindu, Adira merasakan wall climbing sebagai alternatif terbaik kepada panjat pokok.
"Walaupun ada perbezaan di antara wall climbing dengan panjat pokok tetapi sekurang-kurangnya, rasa rindu zaman kanak-kanak terubat juga," katanya berseloroh.
Pelantun lagu Ilusi ini juga memberitahu, aktiviti wall climbing merupakan antara aktiviti lasak yang sudah lama ingin dicubanya.
"Adira memang jenis yang suka mencuba dan seperti hari ini, terus terang Adira nyatakan bahawa pada mulanya terselit rasa gayat tatkala melihat temboknya yang tinggi.
"Perasaan itu hilang setelah Adira dipakaikan dengan alat keselamatan dan Adira mula yakin untuk memanjat tembok ini," katanya sambil mendongak melihat ketinggian tembok yang bakal dipanjatnya itu.
Kata Adira lagi, panjat pokok lebih mudah untuknya berbanding wall climbing kerana pokok banyak dahan untuk dia bergantung dan berpijak.
"Lagipun, panjat pokok lebih mudah untuk Adira imbangkan badan berbanding dengan wall climbing yang mana ia memerlukan kekuatan tangan.
"Ia juga memerlukan kita mempelajari teknik dan selok belok yang betul sebelum mula memanjat.
"Apa pun, aktiviti ini lebih seronok daripada memanjat pokok," katanya ketawa. -akhbar tempatan

0 comments: