Jumaat, 2 Disember 2011
Hijrah: Catriona Ross mahu hasilkan buku
KOTA BHARU 1 Dis. - Catriona Norhayati Rose Bahrain Rose atau lebih dikenali sebagai 'Cat', pelakon drama yang kini tampil dengan imej bertudung, bercadang membukukan kisah hidupnya sebagai panduan khusus untuk remaja perempuan.
Katanya, sejarah kehidupannya dari wanita yang tidak berpedoman kembali kepada fitrah ajaran Islam, akan dilakarkan dalam buku itu.
"Saya sedang merancang untuk membukukan lakaran sejarah penghijrahan saya ini untuk panduan umum, khasnya kepada remaja wanita seluruh negara dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah dalam program bual bicara Hijrah-Antara Usaha @ Hidayah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini.
Program sempena sambutan Maal Hijrah anjuran Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah univeriti itu dihadiri kira-kira 500 pelajar dan kakitangan universiti berkenaan.
Catriona berkata, matlamatnya bukan untuk menunjuk-nunjuk dengan anugerah yang diberikan oleh Tuhan, tetapi untuk berkongsi pengalaman agar kembali kepada fitrah kejadiannya.
"Walaupun saya diejek oleh rakan-rakan sama ada dalam industri filem yang saya ceburi atau kenalan lain, namun saya anggap ia suatu cabaran untuk sampai ke matlamat perjuangan," jelasnya sambil menegaskan dia tidak akan menyisihkan diri dari bidang itu walaupun ada pihak yang cuba menyisihkannya.
Catriona, 31, berkata, dia bersyukur pendiriannya itu diterima baik oleh keluarganya sebaik sahaja memulakan perubahan itu selepas mencuba memakai tudung di sebuah butik di Kuala Lumpur.
Pelakon itu juga tidak menolak andaian bahawa perubahan sikap dan petunjuk ke arah itu selepas mengalami sejarah pahit terlibat dalam kemalangan jalan raya di Negeri Sembilan empat tahun lepas sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya patah.
Catriona juga mengalu-alukan rakan seperjuangannya dalam industri filem dan muzik tanah air mengikut jejak bersamanya walaupun pernah dilabelkan sebagai 'ustazah jadi-jadian'.
Ibu kepada Sephia Rania yang berusia 18 bulan itu berkata, perubahan pada mulanya memang mengejutkan suaminya, Saharuddin Mokhtaruddin, 32, dan juga para peminat. - BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan