Selasa, 6 Disember 2011

Juara program realiti Ustazah Pilihan, Firuz Akhtar Mohamad Bohari


Ikon muslimah sejati
Program realiti terbitan Astro Oasis, Ustazah Pilihan telah melabuhkan tirainya Khamis lalu apabila Firuz Akhtar Mohamad Bohari, 27, diumumkan sebagai pemenang musim pertama.
Ustazah Pilihan merupakan sebuah program pencarian untuk melahirkan barisan pendakwah pelapis yang mempunyai keterampilan sebagai ikon muslimah sejati.
Program yang berlangsung selama sembilan minggu itu berusaha untuk melengkapkan diri peserta dengan pelbagai ilmu duniawi dan juga ukhrawi dalam membentuk seorang wanita yang sejati.
Selain Firuz, tiga finalis lain yang turut berjaya ke peringkat akhir ialah Nurul Hidayah Kamarudin, 26, Siti Fatimah Mohd Sharif, 27, dan Masfira Hilman, 27.
Empat peserta itu berjaya mengharungi segala cabaran yang telah diberikan dan tugasan terakhir mendedahkan mereka kepada permasalahan dan implikasi pernikahan di sempadan.
Mereka telah dibawa ke Songkhla, Thailand bagi mengupas isu tersebut yang melibatkan ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira umur.
Penilaian peserta dibuat melalui tugasan praktikal 40 peratus, ujian bertulis (40 peratus) dan selebihnya dikira berdasarkan hujah yang diberikan pada sesi Raudhah peringkat akhir yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Selangor, di Saluran 106.
Firuz yang sudah bertunang dengan seorang jurutera yang kini bertugas di Jepun berkata, pengalaman berada di negara orang banyak membantunya mencungkil ciri-ciri pendakwah dalam dirinya sendiri.
“Saya menetap di Iran selama lima tahun manakala di Amerika Syarikat pula selama dua tahun.
“Saya menjadi rujukan rakan-rakan yang mempunyai persoalan berkaitan agama Islam ketika berada di luar negara.
“Secara tidak langsung, ia bukan sahaja meningkatkan pengetahuan saya tentang ilmu agama tetapi juga memperbaiki cara berkomunikasi dengan mereka yang berbilang kaum dan latar belakang,” katanya yang juga fasih bertutur bahasa Parsi dan Arab.
Sebagai juara, Firuz membawa pulang sebuah kereta Peugeot 207 Sedan, wang tunai RM25,000, biasiswa tajaan Yayasan Antarabangsa Al Madinah, pakej haji dan umrah tajaan Al-Riyadh Tours and Travels, barangan elektronik, pakej spa dan juga sebuah trofi.
Firuz menambah, tujuannya menyertai pertandingan ini bukanlah untuk mencari populariti tetapi untuk mencabar dirinya menjadi muslimah yang lebih sempurna.
“Secara jujur, saya sendiri tidak menyangka akan berjaya menjuarai pertandingan ini kerana populariti bukanlah apa yang saya idamkan.
“Saya akan gunakan platform ini sebagai saluran saya untuk sama-sama berkongsi pengalaman dalam berdakwah kepada masyarakat dalam memartabatkan lagi peranan ustazah,” ujarnya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas siaran langsung peringat akhir Ustazah Pilihan, Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya gembira kerana program itu berjaya mendapat tempat di hati penonton.
“Program ini bukan sekadar pengisian untuk memenuhi slot Astro Oasis sebaliknya ada perkara yang ingin kita tonjolkan.
“Dalam pencarian ikon muslimah melalui program ini, ia memberitahu kita semua bahawa tanggungjawab yang perlu digalas oleh kaum hawa bukan sahaja sebagai isteri atau ibu, tetapi juga sebagai pemimpin, pendidik dan pembimbing kepada generasi akan datang.
“Peranan kaum wanita dalam Islam sangat besar dan antaranya adalah untuk membentuk generasi muda yang lebih berpegang kepada syiar Islam dan kita mahu memperkasakan peranan mereka.
“Sehubungan itu, program ini berjaya memberikan pendedahan terhadap perkara tersebut bukan hanya kepada 11 peserta yang menyertai Ustazah Pilihan tetapi juga kepada seluruh masyarakat yang mengikuti program ini dari awal sehingga akhir,” katanya.

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH

0 comments: