Rabu, 8 Jun 2011

MasterChef cungkil bakat terpendam peserta


SUASANA di salah sebuah bilik ujian sewaktu uji bakat MasterChef Malaysia yang berlangsung di Kolej Universiti KDU, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
SEJAK Astro mengumumkan akan menerbitkan program realiti masakan popular, MasterChef Malaysia, ramai yang mahu menjadikannya sebagai batu loncatan untuk berjaya dalam bidang masakan.
Ditambah pula dengan populariti rancangan tersebut dalam versi MasterChef Australia, Junior MasterChef Australia dan MasterChef US, ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada anak tempatan yang mahu mencuba nasib untuk menerokai bidang tersebut.
Buktinya, dianggarkan lebih daripada 500 penyertaan diterima oleh pihak Astro sepanjang uji bakat dijalankan bermula April sehingga Mei lalu.
Ternyata angka itu sudah cukup menggembirakan Astro untuk rancangan yang kali pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia dan ia memberikan petanda yang cukup positif.
Sebanyak lima destinasi telah menjadi pilihan iaitu Pulau Pinang yang berlangsung pada 23 April, Johor Bahru (7 Mei), Kuala Terengganu (13 Mei) dan Kuala Lumpur (20 dan 21 Mei).
Walaupun angkanya tidak seramai uji bakat untuk rancangan hiburan popular lain namun, bagi Astro, apa yang penting adalah kualiti yang dicari bagi memastikan piawaian MasterChef Malaysia berada di tahap tertinggi.
Ini diakui sendiri oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi yang telah mendapat maklum balas positif daripada persembahan peserta yang menghadiri uji bakat.
"Memang cukup menakjubkan dan saya boleh katakan mengejutkan juga kerana kami tidak menyangka kualiti peserta yang hadir ke uji bakat memang cukup tinggi.
"Semuanya hadir dengan satu matlamat iaitu mahu mengembangkan lagi bakat terpendam mereka dalam bidang masakan selain mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap makanan.
"Malah, mereka yang hadir juga ada di antaranya yang mengejutkan kami dari segi latar belakang mereka tetapi, apabila mereka beraksi di dapur, ia memang sesuatu yang di luar jangkaan," ujar Azlin Reza ketika ditemui di sesi uji bakat MasterChef Malaysia yang berlangsung di Kolej Universiti KDU, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Memberi contoh salah seorang peserta yang menghadiri uji bakat di Sabah tempoh hari di mana seorang penoreh getah telah menghasilkan hidangan berasaskan makanan laut yang cukup enak.
Jelasnya lagi, peserta berusia pertengahan 20-an itu juga cukup bijak mempersembahkan hidangannya itu dengan cara yang unik sekali apabila ia diletakkan di dalam tabung uji.
"Selain itu juga, ada seorang mat rempit ini yang juga tidak kurang hebatnya telah menghasilkan masakan yang tidak kurang enaknya.
"Walaupun luaran sebegitu, tetapi, inilah yang dikatakan bakat istimewa yang barangkali kita tidak pernah jangka sama sekali.
"Kata mat rempit itu juga, dia hadir untuk uji bakat kerana mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap makanan dan atas alasan itu, dia mahu mencuba nasib," jelas Azlin Reza yang memberitahu uji bakat MasterChef Malaysia turut mendapat sambutan daripada warga emas yang sekadar mahu mencuba nasib.
Selain itu, salah satu faktor yang cukup menarik perhatian pihaknya sepanjang sesi uji bakat berlangsung adalah kreativiti yang dimiliki oleh sebahagian besar peserta.
Ia dapat dibuktikan pada setiap negeri di mana sesi uji bakat berlangsung yang memperlihatkan variasi makanan dan jenis masakan yang dipersembahkan.
"Rata-rata yang kami temui berkata, mereka banyak menonton rancangan dan saluran masakan bagi memberikan inspirasi serta idea untuk mencipta makanan sendiri," ujarnya tentang rancangan tersebut yang akan bersiaran mulai bulan Oktober ini di Astro Ria.
Untuk semua sesi uji bakat di lima lokasi MasterChef Malaysia, ia telah diadili oleh dua orang juri tetap, Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe dan Chef Zubir Mohd. Zain serta beberapa orang juri jemputan termasuk Azlin Reza sendiri.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar RASHID MAHFOF dan ihsan ASTRO

1 comments:

ejulz berkata... Reply To This Comment

x sabar nak tgk siaran ni.. heHE