Ahad, 5 Jun 2011

Ratu Kebaya Putrajaya



Barisan peserta tidak mahu terlepas peluang untuk bergambar bersama pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib serta juri jemputan, Abby Abadi sejurus selepas pertandingan selesai diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
CUACA panas terik, keadaan orang ramai yang penuh sesak, semuanya bagai terangkum dalam satu pakej.
Begitulah yang dapat digambarkan mengenai keadaan di lokasi keempat Pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
Apalagi, kemeriahan pertandingan turut dikongsi bersama penganjuran Karnival Himpunan Sejuta Belia Negara 2011 yang berlangsung pada 27 hingga 29 Mei lalu.
Dibanjiri lautan manusia sehingga terpaksa berasak-asakan, barangkali sudah tentu ada yang tidak selesa untuk menghabiskan masa terlalu lama di tapak karnival.
Pun begitu, di sebalik ‘kesengsaraan’ yang dialami rata-rata mereka yang mengunjungi karnival, terselit semangat yang cukup kuat oleh sekumpulan wanita.
Diadakan di lokasi yang agak padat dan sesak, ia bagaimanapun tidak sedikit mencalar semangat mereka yang menanam azam untuk memenangi gelaran itu.
Ucapan tahniah memang wajar diberikan kepada mereka kerana secara jujurnya, tidak ramai yang sanggup untuk menunggu dari pagi sehingga petang apalagi berpanas dan berpeluh di lokasi begitu.
Kali ini lokasi pertandingan tampak meriah dengan kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal Abby Abadi sebagai juri jemputan selain juri tetap ibu Halimah Shuib.
Malah, sehangatnya suasana di luar pentas acara, begitulah juga hangatnya penangan Maya Matahari yang bertindak sebagai pengacara program pada hari itu.
Mendengar celotehnya sahaja sudah cukup membuatkan pengunjung geli hati dan terpaku berdiri sehingga program berakhir.
Pancain-
dera memang terharu dengan sambutan yang diberikan.
Bercerita mengenai pemenang, kategori A (59 kilogram ke bawah) telah menyaksikan gelaran Ratu Kebaya dirangkul oleh Fahyu Hanim Ahmad,32.
Naib Juara pertandingan telah dimenangi oleh Rafeah Kasa,28, manakala tempat ketiga dimiliki oleh Nur Atikah Mohd Arif,20.
Sementara itu, untuk kategori B (60 kg ke atas), peserta yang layak menyandang gelaran Ratu Kebaya adalah Nur Syuhada Abdul Rizal.
Kemenangan Syuhada kemudiannya diikuti oleh Norafzan Abdul Rahman sebagai Naib Juara manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Idyawah Mohd Yusof.
Bercakap mengenai kemenangan, kata Fahyu, dia tidak menyangka gelaran juara mampu disandang memandangkan perserta lain turut tampak hebat belaka.
“Mungkin ini berkat doa suami dan keluarga saya yang menjadi tulang belakang kepada kemenangan ini.
“Walaupun belum tahu bagaimana keadaan pertandingan di peringkat akhir nanti, tetapi dari sekarang saya akan menanam azam untuk memberikan yang terbaik. Mana tahu ada rezeki untuk bergelar juara Ratu Kebaya,” katanya.
Keterujaan turut dikongsi oleh Juara Kategori B, Nur Syuhada, yang berjaya mencuri hati barisan juri menerusi karektornya yang sentiasa bersemangat di atas pentas.
“Saya percaya keyakinan adalah senjata utama bagi kemenangan ini. Kalau kita yakin dengan diri kita, maka tiada apa yang mustahil untuk kita gapai. Tidak kisahlah di dalam apa bidang sekalipun,”katanya.
Dalam pada itu, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, juara bagi kedua-dua kategori layak untuk bersaing di peringkat akhir pertandingan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Disember ini.
Peringkat akhir pertandingan Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara bakal menyaksikan peserta bertanding bagi merebut hadiah berupa wang tunai RM5,000 selain hadiah iringan.
Selepas ini, pertandingan akan menyusul pula ke lokasi seterusnya iaitu di Taman Rempah Pengkalan Rama, Melaka pada 2 Julai ini dikuti program di Bera, Pahang pada 9 Julai.

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
Foto MOHD NOOR AMIN

0 comments: