Ahad, 5 Jun 2011

Pengorbanan Najwa berbaloi



Najwa
DALAM kesuraman penjualan album tempatan hari ini, tidak ada yang dapat menyangka album Innocent Soul milik Najwa Mahiaddin sudah diulang cetak sebanyak tiga kali.
Jadi apakah benar cakap-cakap orang selama ini yang mengatakan bahawa penjualan album bukan lagi satu formula yang relevan?
Jika enggan memberikan jawapan tidak mengapa. Tapi percayalah, album yang dihasilkan dengan baik mampu menjadi apa sahaja. Boleh dijual dalam beberapa hari dan mencipta fenomena sekelip mata.
Cukup teruja dengan apa yang telah berlaku pada album pertamanya, Najwa cukup yakin apa yang ‘dihidangkan’ kepada peminat benar-benar menepati cita rasa mereka sehingga meletakkan dirinya sebagai antara bintang baru yang semakin bersinar cahayanya.
Paling tidak, dia tahu usaha yang dilakukan selama ini berhasil dan membuatkan dia semakin bersemangat mahu memberikan yang terbaik kepada semua.
“Sebetulnya saya cukup terkejut bila dapat tahu album Innocent Soul sudah diulang cetak sebanyak tiga kali. Tidak pernah terfikir ia akan mendapat sambutan sebegitu hebat memandangkan ini hanya impian saya sejak dahulu.
“Sejak dulu lagi saya teringin nak hasilkan album ini. Cuma masa sahaja tak mengizinkan memandangkan saya masih belajar. Bukan apa, takut tak cukup masa dan terkejar-kejar sahaja.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan album ini. Pengorbanan berulang alik Kuala Lumpur, Jakarta akhirnya membuahkan hasil,” katanya Najwa dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Mengimbau kenangan lalu, Najwa tidak menafikan ramai yang kurang senang dengan album Inggeris berkonsepkan jazz, pop dan soul yang cukup sebati dengan dirinya sejak awal pembabitannya. Namun sebagai manusia biasa dia tidak boleh terus melayan cakap-cakap orang apatah lagi semua itu masih belum pernah dihasilkan.
“Kalau nak jadi yang terbaik, kita tak boleh layan semua kata-kata kurang senang orang. Bukan bermakna tak boleh dikritik tetapi biarlah kena pada tempatnya.
“Ini yang saya mahu dan ini identiti saya. Saya rasa setiap penyanyi perlu ada identiti muzik mereka tersendiri agar dapat mencapai apa yang dihajati. Nah, sekarang lihat hasilnya,” luah penuntut Berklee Collage Of Music Boston, Amerika Syarikat.
Larut bercerita pagi Isnin lalu, Najwa langsung tidak menyembunyikan apa-apa. Baginya dia cukup gembira bila hal kerjayanya menjadi perhatian berbanding dengan cerita-cerita peribadi.
Melihatkan semula album tersebut, hampir kesemua lagu merupakan tulisan dia sendiri. Lantas pelbagai persoalan itu ditanyakan kepada penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kau Yang Punya ini lagi.
“Memang kesemua lagu yang ada dalam album ini saya tulis sendiri. Ada di antara lagu tersebut merupakan koleksi tulisan saya sejak masih di sekolah.
Menulis lagu memang dah jadi darah daging. Apa yang saya lalui, apa yang saya lihat, apa yang saya dengar semuanya luah atas kertas untuk dijadikan lagu.
“Macam juga kebanyakan penyanyi indie yang ada pada masa ini.
Mereka menulis dari hati dan akan terlihat identiti masing-masing. Ini yang penyanyi kita perlukan sebenarnya.
“Paling tidak kita tahu kebanyakan penyanyi sudah ada ilmu muzik. Mereka tahu apa yang mereka mahukan dan tahu apa kekuatan mereka. Jadi bila kita dengar setiap lagu itu berbeza dan ada kekuatan tersendiri,” jelasnya lagi.
Antara sedar dan tidak, lagu Senyum yang menggandingkan Najwa dan Malique cukup mendapat sambutan. Lagu ditulis penuh maknanya itu cukup digemari oleh khalayak di sini.
Akui Najwa, dia cukup berbesar hati apabila dua single lagu Melayu itu mendapat tempat sehingga memperkenalkan dirinya kepada khalayak
“Ada orang suka lagu Go To Go. Ada pula yang cukup suka dengan lagu Senyum itu. Ramai yang melihat ia merupakan dua kelompok peminat yang berbeza dan apabila kedua-duanya suka dengan produk itu, apa yang boleh saya katakan lagi.
“Kalau lihat album Innocent Soul, keseluruhan lagu yang terkandung berbahasa Inggeris. Bukan saya tak mahu isi dengan lagu Melayu tapi inilah percaturan yang sama mahu.
“Kalau ada rezeki memang saya nak buat album Melayu. Cuma bila kita masih menuntut ni, kekangan masa memang tak dapat nak elak. Risau juga kalau tak dapat buat seperti mana yang dirancang,” ujar anak orang kenamaan ini lagi.
Bagi mereka yang ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai Najwa, boleh melayari www.facebook.com/Najwa-Mahiaddin.

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
Foto AHMAD ZAKKI JILAN
Solekan JACK CHOONG

2 comments:

ejulz berkata... Reply To This Comment

susah artis kita nak menyerlah.. siaran radio pun bnyk keluarkan lagu seberang..

♥namapenuh.blogspot.com♥ berkata... Reply To This Comment

@ejulz haah btul tu sik asik lgu sbrang jekn..yg arts kte terkontang-kanting..d bumi tnh tumph sendri..huhh!