Selasa, 7 Jun 2011

Qaseh Collections bukti kejayaan


IMPIAN seorang ibu muda untuk mempunyai perniagaan sendiri yang diidamkan sejak zaman remaja akhirnya menjadi realiti.
Kini, Nordiana Alawi, 25, sudah bergelar usahawan tudung melalui pembukaan butik miliknya, Qaseh Collection yang menjual pelbagai jenis tudung di Pandan Capital, Pandan Indah, Selangor.
Ternyata kesediaan dirinya melepaskan pekerjaan tetap di jabatan kerajaan bukanlah suatu yang sia-sia.
"Walaupun berhenti kerja tetapi saya tidak menyesal kerana memang dari kecil lagi, saya pasang niat untuk bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan kini semuanya tercapai," jelasnya yang bermodalkan hanya RM2,000.
Katanya, waktu mula-mula terlibat dalam perniagaan, usaha yang dibuat bukan kerja mudah. Dia perlu komited dalam memastikan perniagaannya berjaya.
''Atas harapan itu juga, saya mencuba pelbagai kaedah menjual tudung, termasuk memasarkannya dari pejabat ke pejabat," katanya ketika ditemui di butiknya, baru-baru ini.
Malah ceritanya lagi, pada peringkat awal perniagaannya, dia terpaksa membuat segala persiapan dengan sendiri.
"Masa itu, saya sendiri yang membuat rekaan, memotong sehinggalah menjahit tudung,'' ujar anak jati Kluang, Johor ini.
Pengalaman pernah ditipu oleh penjual kain yang menjual kain terlalu mahal menjadikan ia pengalaman berharga kepada dirinya.
Akuinya lagi, biarpun ditipu ia tidak mematahkan semangat untuk terus berada dalam dunia perniagaan.
Kini selepas dua tahun, dia semakin matang dengan dunia perniagaan malah semakin selesa dengan pencapaian yang dimiliki.
Dibantu oleh beberapa pekerja membuatkan dia lebih fokus untuk menghasilkan rekaan yang terbaru dan moden.
Ujar Nordiana, Qaseh Collection menampilkan kelainan kerana ia menawarkan tudung mengikut cita rasa semasa dan pada masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri Islam iaitu menutup aurat.
"Saya menggunakan kain-kain yang berkualiti seperti jersi, syifon dan baldu sementara awning depan menggunakan broked Thai, kodroi, denim, sutera dan songket.
"Kebanyakan tudung turut mendapat sentuhan reka bentuk berdasarkan kesesuaian dan permintaan pelanggan di samping penggunaan fabrik lycra, denim, kapas baldu dan jersi yang berkualiti tinggi," ujarnya peramah.
Kini terdapat hampir 40 jenis rekaan tudung dengan pelbagai corak ataupun kosong dengan gabungan warna yang menarik.
Menurutnya, pada masa kini, tudung yang menggunakan material denim paling mendapat sambutan kerana ia selesa dan sesuai digayakan dengan pelbagai jenis pakaian.
Sementara, selendang kain kapas juga turut diminati oleh remaja masa kini.
Ditanya rahsia sambutan menggalakkan daripada pelanggan jelasnya, kualiti menjadi keutamaannya.
Malah, dia juga memastikan setiap tudung yang dijual adalah rekaan terbaru dan masih belum diketengahkan oleh pengusaha tudung lain.
Ditanya mengenai kelainan tudung koleksinya, Nordiana memberitahu koleksinya adalah fleksibel, di mana pelanggan boleh menempah apa sahaja rekaan yang mereka inginkan.
"Bagi kami, pelanggan adalah keutamaan, sebab itu pelanggan diberikan hak untuk memilih apa yang mereka minat,'' ujarnya.
Jelas ibu kepada Qaseh Umairah Rizal ini, pada masa ini, beliau sudah pun menerima tempahan tudung untuk hari raya.
Tudung Qaseh Collection turut dijual melalui Internet dan mereka yang berminat boleh melayari laman sosial Facebook di www.facebook/nana nordianaalawi atau hubungi 017- 3722499.

0 comments: