BUAT pertama kalinya, sebuah program realiti yang mengangkat tema kemasyarakatan dan perniagaan diterbitkan oleh TV3 menerusi program terbarunya, Sejuta Impian.
Program itu juga menampilkan 92 peserta yang berbeza latar belakang di sebalik 1,001 kisah kehidupan yang mereka lalui.
Mereka bukan sahaja bersaing untuk mendapatkan sebahagian daripada dana RM1 juta yang diperuntukkan, bahkan turut mengambil kira nasib kelompok komuniti di sekeliling mereka.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, program tersebut bakal mencipta fenomenanya tersendiri apabila ia mula bersiaran tidak lama lagi.
"Ia adalah sebuah program unik yang membantu merealisasikan impian bukkan seorang, malah turut membabitkan masyarakat di sekelilingnya jika peserta tersebut berjaya.
"Peserta yang tampil dengan idea yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain adalah kriteria utama yang dicari oleh para juri yang dilantik oleh pihak TV3.
"Sejuta Impian diterbitkan dengan matlamat sebagai pencetus semangat kepada golongan belia sama ada individu mahupun berkumpulan yang ada hasrat murni menyumbangkan idea dan jasa mereka demi 1Malaysia," jelas Ahmad Izham pada sidang akhbar selepas rakaman program berkenaan di Shah Alam baru-baru ini.
Tambahnya, selain menerima penyertaan individu melalui pos, online dan juga sesi uji bakat di seluruh negara, Sejuta Impian juga berjaya menarik minat syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menunaikan tanggungjawab sosial mereka.
Mengulas mengenai kriteria pemilihan peserta, Ahmad Izham menjelaskan, ia membabitkan warga negara Malaysia daripada pelbagai kaum yang mempunyai impian ataupun idea yang memberi kesan kepada masyarakat atau membangunkan masa depan belia di negara ini.
"Idea atau impian yang diutarakan meliputi aspek keusahawanan, masyarakat setempat, kemajuan kendiri, alam sekitar, kebudayaan sehinggalah kesenian dan sukan," jelasnya.
Dalam pada itu, uji bakat program itu yang berlangsung di beberapa lokasi seluruh tanah air pada bulan lalu berjaya menggamit penyertaan kira-kira 400 peserta melalui kaunter pendaftaran.
Di samping itu, 300 penyertaan pula diterima melalui pos manakala hampir 300 lagi secara online.
"Selepas dinilai dalam beberapa peringkat, hanya 92 peserta akhir sahaja yang dipilih untuk ke peringkat seterusnya.
"Mereka perlu menjalani sesi rakaman yang berlangsung selama enam hari bermula 15 hingga 20 April lalu. Setiap sesi rakaman memakan masa hampir empat jam," ujarnya.
Sesi rakaman program ini diadili barisan juri tetap iaitu Roshan Thiran (Leaderonomics), Norman Abdul Halim (KRU Studios) dan Yiu Lin (Klucthed) dan juri jemputan berbeza untuk setiap rakaman.
Antara yang terbabit ialah Ketua Pegawai Pemasaran, Telekom Malaysia Berhad (TM), Rozalila Abdul Rahman; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; pengasas syarikat perundingan RandomAlphabets, Zain HD dan pengasas Youth Asia, Khailee Ng dan selebriti terkenal tempatan iaitu Ning Baizura, Harith Iskander, Hannah Tan serta Azlan Iskandar.
Sementara itu, Norman berkata, dia hampir tidak boleh tidur malam apabila mengenangkan keputusan yang dibuat ketika mengadili peserta.
"Bukan mudah untuk berkata 'tidak'. Itu yang membuatkan saya tidak dapat tidur apabila memikirkan sama ada benar atau tidak tindakan saya itu.
"Sebenarnya lebih untuk berkata ya dari berkata tidak kepada peserta yang mencuba nasib dalam program ini hingga kami tidak dapat tidur malam untuk memikirkan keputusan yang dibuat.
"Paling menyentuh hati, apabila ada seorang peserta bernama Melvin, yang tampil dengan idea untuk membantu penduduk miskin di blok kediamannya yang terletak di Kota Damansara.
"Mengikut cerita Melvin, terdapat seorang kanak-kanak yang berusia lima tahun dan tidak cukup zat juga tinggal di blok berkenaan," jelas Norman menceritakan pengalamannya sebagai juri program berkenaan.
Sejuta Impian bakal bersiaran selama setengah jam bermula 15 Mei, setiap Ahad jam 7.30 malam di TV3. Program ini menampilkan gandingan dua hos berpengalaman iaitu Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Baki Zainal. Program realiti ini ditaja Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Dana Belia 1 Malaysia (DB1M).
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini boleh melayari laman web rasmi di www.tv3.com.my/sejutaimpian.
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR
0 comments:
Catat Ulasan