Selasa, 31 Mei 2011

Usahawan minyak wangi


USAHAWAN Melayu kini semakin berani dan kreatif dalam memilih perniagaan yang diceburi. Kalau sedekad dulu boleh dikatakan tidak ada orang Melayu dalam pengeluaran minyak wangi tetapi kini mereka bukan sekadar pengedar bahkan mampu menjadi pengeluar dengan membina jenama sendiri.
Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang tersebut, ternyata ia bukan satu masalah besar kerana masih boleh dipelajari sama ada melalui pengamatan, pengalaman atau Internet.
Ini juga yang dibuktikan oleh Norsyafafwati Ahmad, 26, apabila perniagaan pengeluaran minyak wangi yang diusahakan bersama adiknya, Norasraf Ahmad, 22, sejak tahun 2009 membuahkan hasil. Malah ia telah berkembang ke negara jiran, Indonesia.
Begitupun, perniagaan yang bermodalkan RM65,000 ini bukan satu yang mudah tambahan pula ia berkonsep borong membabitkan kuantiti pengeluaran yang besar.
Menurut Norsyafafwati, mereka mendapatkan pati minyak wangi dari Mesir sebelum dibotolkan semula oleh syarikat mereka, Raffahmed Enterprise.
"Pati minyak wangi yang diperoleh merupakan pati gred A dan ia 100 peratus minyak wangi tanpa alkohol.
"Selain itu wanginya turut dijamin tahan sehingga 24 jam dan kami menjualnya secara borong,'' ujar Norsyafafwati ketika ditemui baru-baru ini.
Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah latar belakang masing-masing di mana Norsyafafwati mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas), Jitra, Kedah manakala adiknya, Norasraf berkelulusan Mekanikal dari Politeknik Seberang Perai Utara.
Keyakinan diri dan ketabahan kedua-dua beradik ini harus diberi pujian kerana mereka sanggup mengharungi segala kepayahan dan tanggung segala risiko apabila melibatkan diri dalam dunia perniagaan tanpa sebarang pengalaman.
Kesungguhan mereka seharusnya dijadikan contoh di kalangan anak-anak muda hari ini untuk tidak hanya bergantung kepada kelulusan semata-mata bagi mengharungi kehidupan pada masa hadapan.
Apabila ditanya mengapa memilih untuk melibatkan diri di dalam dunia perniagaan, jelas Norsyafafwati, selain tidak suka makan gaji, perniagaan merupakan satu bidang yang dianggap mencabar dirinya kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memperoleh sesuatu kejayaan.
Di samping itu juga, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut mencabar diri sendiri bagi memastikan apa yang diusahakan tidak hanya separuh jalan.
"Saya memilih untuk memasarkan produk berasaskan wangian kerana mempunyai prospek yang bagus dan boleh berjaya pada masa hadapan.
"Dalam masa yang sama, saya amat meminati wangian. Sudah pasti apa yang diminati akan menjadikan kita lebih mengambil tahu dan ingin mempelajarinya.
"Dan hari ini, Alhamdulillah walaupun perniagaan ini baru bertapak setahun lebih, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Sehingga kini kami sudah mempunyai 50 pengedar dari seluruh negara,'' katanya lagi.
Memasarkan produk dengan menggunakan jenama Raff Frangrances, ia hanya boleh dibeli melalui Internet.
Dijual pada harga RM35 untuk satu kotak yang mengandungi empat botol dengan setiap satunya seberat lima mililiter, bagi mereka yang berminat boleh mendapatkannya dengan membeli 15 kotak (minimum).
Mereka yang berminat bolehlah layari blog di http://raffragrances.blog.spot.com  atau Zaidie ditalian 012-4680670.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

2 comments:

Zuwairi Aiman berkata... Reply To This Comment

Salam kunjungan... menarik artikel keusahawanan yang di tulis.. semoga blog ini bertambah maju,,, senang2 singgah la ke blog saya ;)

♥namapenuh.blogspot.com♥ berkata... Reply To This Comment

@Zuwairi Aiman yea salam ukhwah juga..artikel y mudah u dfhmi o tatapan umum(pembaca) harus share..terima kasih, semoga anda pun begitu.. :)...ok