SEBAGAI bakat baru, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Melda dalam menjadikan dirinya sebagai seorang artis yang disegani satu hari nanti. |
Biarpun pada mulanya dia enggan menjebakkan dirinya dengan dunia glamor, namun, Melda Ahmad atau lebih mesra disapa Melda ini tidak mampu menolak kehendak takdir yang telah tertulis.
Semuanya bermula dengan video nyanyiannya yang dimuat naik di YouTube, bakat Melda ternyata menarik pihak rangkaian penjagaan rambut terkemuka, Sunsilk dan Red Communications untuk dijadikan sebuah cerita untuk tontonan umum.
Segala kisah hidup Melda dapat ditonton menerusi drama mini bersiri 13 episod Gadis Semasa Sunsilk yang telah pun ditayangkan di TV3, baru-baru ini.
Dan, kemuncak perjalanan gadis berusia 20 tahun ini diakhiri dengan sebuah konsert yang telah berlangsung dalam suasana cukup meriah di Kelab Orange Dragonfly, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pastinya, Konsert Gadis Semasa Sunsilk telah meninggalkan momen terindah paling manis dalam hidup Melda yang bukan hanya berpeluang menunjukkan kehebatannya di atas pentas.
Tetapi juga turut berkongsi pentas dengan barisan artis ternama seperti Ella, Yuna, kumpulan Hujan dan One Nation Emcees.
Bukan mudah untuk mendapat peluang sebesar itu terutama untuk artis-artis baru seperti Melda. Tidak keterlaluan dikatakan, barangkali kejayaan Melda itu pasti akan dicemburui oleh artis seangkatan Melda.
Bertemu dengan Melda atau nama sebenarnya, Nur Imelda Ahmad pada sidang akhbar usai berlangsungnya konsert tersebut, riak gembira dan terkejut jelas terpancar di wajahnya.
Melihat kepada peluang keemasan yang diberikan kepadanya itu juga membuatkan Melda benar-benar terharu sehingga dia menjadi sebak dan tidak mampu membendung manik-manik jernih daripada mengalir di pipinya.
" Saya sendiri tidak pernah menyangka akan menyanyi dan membuat persembahan dengan artis-artis hebat seperti mereka. Memang tidak dapat dinafikan lagi, ini merupakan antara pengalaman hidup yang tidak akan saya lupakan.
" Sudah pasti, penghargaan saya adalah untuk Sunsilk yang telah mengubah hidup saya secara total dan banyak pengalaman yang telah saya perolehi sepanjang terlibat dengan program Gadis Semasa Sunsilk ini.
" Apa yang penting, semua pengalaman dan pembelajaran yang saya terima telah memupuk sekali gus menghidupkan keberanian dan semangat saya untuk meneruskan minat saya dalam bidang muzik," katanya penuh bersungguh.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengurus Jenama Sunsilk Malaysia, Emily Chong serta Ajai dan Bambang Soteto selaku dua daripada tenaga pengajar yang telah memberikan bimbingan kepada Melda sepanjang Gadis Semasa Sunsilk berlangsung.
Melda yang merupakan pelajar semester tiga jurusan muzik dalam bidang vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, itu juga mengharapkan apa yang dilaluinya akan mendorong remaja seusianya untuk menjadi lebih bersemangat dalam meneruskan kehidupan mereka.
Katanya, remaja hari ini seharusnya memiliki iltizam yang tinggi jika mahu berjaya dalam hidup dan mencapai keinginan dalam setiap langkah mereka.
"Nasihat saya kepada semua remaja di luar sana, seandainya mereka memiliki keinginan dan minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara itu, teruskan tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.
"Percayalah, dengan keyakinan dan semangat juang yang tinggi serta berbekalkan kejujuran, nescaya kejayaan akan berpihak kepada kita," ujar Melda penuh optimis.
Dalam masa yang sama, Melda mengharapkan peluang akan terus berpihak kepadanya dalam merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang artis rakaman.
Namun, dalam apa jua hal sekali pun, kata Melda, dia mahu menumpukan dan menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu kerana ikrar yang sudah dilafazkan dalam menjadi seorang artis yang berilmu.
Dalam pada itu, Emily ternyata berbangga dengan transformasi Melda serta mereka yang terlibat dalam membentuk diri Melda sehingga mampu menjayakan konsert bersama artis popular lain.
"Memang kami berniat untuk menaikkan dan membimbing Melda menjadi seorang individu yang tidak teragak-agak untuk memburu impiannya dengan penuh keyakinan.
"Melda bukan hanya cantik di luar tetapi kejujurannya juga telah membuktikan dia memiliki kecantikan dalaman yang berjaya menaikkan semangat serta jati dirinya," kata Emily yang tidak menafikan Gadis Semasa Sunsilk akan diteruskan untuk musim kedua tahun depan jika tiada aral melintang.
Sementara itu, bagi Ajai pula, sebagai tenaga pengajar, dia sudah memberikan yang terbaik untuk Melda dengan memberikan sokongan dan ilmu pengetahuan.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
0 comments:
Catat Ulasan