Rabu, 4 Mei 2011

Menentukan telur tulen berkualiti


NORAZIAH mokhtar menunjukkan cara-cara mengukur ketebalan albumen telur di makmal MARDI serdang.
ADA beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi mengenai industri telur di negara ini. Antaranya ialah, Malaysia merupakan antara negara pengeksport telur dengan pengeluaran tahap sara diri (SSL) mencapai 123 peratus.
Industri telur kita mengeluarkan 9.2 bilion biji telur setahun dengan nilai RM2.2 bilion setahun.
Angka itu diperoleh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2009.
Ini bermakna kita mengeluarkan telur yang melebihi keperluan.
Fakta-fakta ini sudah cukup menggambarkan tidak ada sebab kita perlu mengeluarkan telur sintetik atau boleh disebut dengan mudah sebagai telur palsu.
Malaysia mula mencapai tahap SSL sejak 1980-an lagi dengan adanya teknologi terkini dalam pengurusan ayam penelur dan sistem pemakanan yang baik.
Penggunaan sistem reban tertutup dengan persekitaran terkawal, pemberian makanan , pengutipan telur serta penggredan secara automatik menjadikan industri ini berkembang cukup pantas.
Justeru kewujudan apa yang dianggap sebagai telur palsu seperti yang dilaporkan di Pulau Piang baru-baru ini menimbulkan sedikit kesangsian.
Sebagai negara pengeksport, tidak ada sebab untuk mengeluarkan telur palsu yang mungkin harganya lebih mahal dan tidak mungkin ia dapat bertahan untuk menyaingi telur asli.
Sebab itu, penyelidik berpendapat, telur yang didakwa palsu itu sebenarnya telur bergred rendah yang ditolak dalam sistem penggredan dan tidak dipasarkan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai makmal tersendiri untuk menilai dan mengenal pasti telur berkualiti.
Menurut Timbalan Pengarah yang juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Wong Hee Kum, perbandingan dengan telur asli boleh digunakan untuk membuktikan ketulenan atau sebaliknya.
"Ada beberapa faktor luaran dan dalaman telur boleh dijadikan ciri-ciri perbandingan untuk membuktikan telur asli atau telur palsu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.
Telur asli mempunyai warna cangkerang sama ada putih atau perang (coklat). Warna ini pula ditentukan daripada baka ayam yang digunakan .
Baka ayam bulu dan cuping telinga putih akan mengeluarkan telur cangkerang putih manakala ayam berbulu merah dan cuping telinga merah mengeluarkan telur warna perang.
Meskipun terdapat perbezaan warna, ia tidak membezakan kualiti.
Sementara itu Penolong Pegawai Penyelidik Kanan di bahagian yang sama, Noraziah Mokhtar berkata, telur putih tidak lagi terdapat di pasaran ketika ini kerana pengguna di negara ini tidak menggemarinya.
"Komposisi kimianya atau kandungannya adalah sama dengan telur perang tetapi pengguna di negara ini tidak memilihnya menyebabkannya ia tidak lagi dihasilkan," ujarnya.
Seperti juga rakan penyelidiknya, Noraziah berkata, ujian kualiti boleh mengesahkan sama ada telur tersebut palsu atau sebaliknya.
Antara yang dilakukan ialah menjalani proses candling (pendianan) yang mana telur berkenaan dilalukan di bawah cahaya dan beberapa kriteria diperhatikan.
Telur normal yang berkualiti biasanya mempunyai ruang udara pada hujung atas yang lebih kecil. Bagi telur lama ruang udaranya lebih besar.
Cangkerang yang nipis juga menunjukkan telur berkenaan tidak berkualiti.
Selain itu kuning telur dipegang oleh tisu yang dipanggil sebagai kalaza.
Oleh itu beberapa teori mudah ialah tidak mungkin pembuat telur palsu mampu menghasilkan tisu berkenaan dalam sebiji telur.
Pada masa sama, saiz telur asli dan bentuknya tidak terlalu sekata sedangkan jika ia cuba ditiru, maka pembuat telur perlu menyediakan acuan khas.
Ini sekali gus dapat membezakan rupa bentuk luaran telur antara yang palsu dan asli. 
Oleh LAUPA JUNUS
Gambar Mohd Farizwan Hasbullah

0 comments: