Rabu, 4 Mei 2011

Biru dinginkan musim panas


Tema Underwater banyak menggunakan warna lembut seperti biru.
USAI kedinginan musim luruh dan sejuk, jenama fesyen wanita terkenal dari Eropah, Le Ann Maxima, tampil dengan koleksi segar sempena musim bunga dan panas 2011.
Lebih menarik apabila koleksi musim ini memang sesuai diadaptasi di negara kita yang sememangnya beriklim panas sepanjang tahun.
Bertempat di butik konsepnya yang terletak di Jaya One, Petaling Jaya, Selangor, barisan peragawati mengatur langkah memperagakan koleksi terbaru dari Le Ann Maxima yang nyata memang lain daripada yang lain.
Dres panjang, denim, kemeja ringkas, gaun senteng, corak berkotak, aksesori sepadan dan jaket adalah antara gaya yang dipersembahkan sebagai manifestasi fesyen wanita moden dewasa ini.
Sebelum pertunjukkan fesyen bermula, tiga selebriti Isma Hanum, Corianne dan Megan Tan telah berkongsi rasa dan minat mereka terhadap jenama yang sinonim dengan wanita Eropah ini.
Ketiga-tiga selebriti ini berkongsi minat pada jenama ini yang menepati pencarian fesyen masing-masing.
Corianne yang baru mendapat cahaya mata pertama, memang mencari jenama dari Eropah yang lazimnya direka untuk wanita bertubuh lampai sepertinya.
“Dan ketika hamil saya mencari pakaian yang sesuai untuk wanita hamil tetapi boleh dipakai semula selepas kembali ke bentuk badan normal dan Le Ann Maxima mempunyai pakaian yang begitu.
“Paling saya suka pada jenama ini ialah dres labuh yang kelihatan begitu feminin dan anggun,” jelasnya yang telah membintangi beberapa buah filem seperti Kala Malam Bulan Mengambang.
Bagi Isma Hanum pula perkenalannya dengan jenama ini bermula apabila beliau mencari pakaian untuk satu sesi penggambaran.
“Dari situ saya menjadi penggemar jenama ini dan mendapati bahawa setiap musim Le Ann Maxima tampil dengan rekaan yang memang lain daripada yang lain.
“ Bagi koleksi kali ini tema yang diketengahkan ialah Underwater yang banyak menggunakan warna lembut seperti biru,” jelasnya yang kini sedang mempromosikan filem terbaru yang bertajuk Dilarang Masuk.
Sementara itu bagi, hos rancangan Quikie di TV8, Megan Tan pula begitu tertarik dengan jenama Le Ann Maxima kerana rekaannya begitu ringkas, ringan, selesa dan feminin.
“Saya teruja dengan koleksi Le Ann Maxima untuk musim bunga dan panas ini kerana mengutamakan warna biru yang memang merupakan warna kegemaran saya,” jelasnya.  
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

0 comments: