Selasa, 3 Mei 2011

Wings tidak janggal di IB


AKSI Awie yang diapit oleh Joe dan Eddie sewaktu mempersembahkan lagu Ranggi Metropolis.
KUMPULAN Wings biasanya mengadakan konsert di pentas yang membolehkan mereka bebas bergerak ke sana ke mari mengikut rentak bingit muzik rock yang dipersembahkan.
Justeru, apabila mereka diberi peluang mengadakan Konsert Wings Opera Hidup Superfriends di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur banyak persoalan yang perlu difikirkan.
Vokalis Wings, Awie berkata, antaranya soal cara para peminat mereka menghayati konsert itu dalam keadaan duduk secara tertib selain berpakaian kemas mengikut protokol di IB.
"Ramai yang tanya kami, tidak janggal ke buat konsert di IB? Macam mana hendak melayan para peminat yang duduk terpaku macam orang menonton majlis tilawah al-Quran?
"Pada mulanya saya jangkakan macam itu tetapi ia meleset. Saya juga pada mulanya membayangkan anda semua akan seolah-olah menghayati lagu Negaraku, tetapi ia juga tidak terjadi.
"Ramai yang saya lihat di hujung sana yang melambai-lambaikan tangan, menggoyang-goyangkan kepala dan berdiri menghayati persembahan kami," katanya.
Ungkapan itu diluahkannya selepas beraksi di hadapan 1,200 penonton yang memenuhi panggung itu pada malam pra-persembahan Wings yang julung-julung kalinya diadakan di situ.
Konsert anjuran Red On Black, Bombbay Worldwide dan Anggerik Event itu mengenakan tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245 dan RM305.
Menariknya konsert yang diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan itu menampilkan kesemua anggota yang pernah menganggotai kumpulan yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu itu.
Mel dan Mus yang pernah menjadi vokalis Wings antara yang diundang bagi menyanyi bersama-sama Awie dalam lagu-lagu seperti Nasib Kita dan Biru Mata Hitamku.
Turut menggabungkan tiga vokalis itu ialah menerusi lagu seperti Semalam Yang Hangat, R N R Lu Punya Suka dan Biarkan Berlalu di mana ia jelas menampilkan variasi vokal berbeza.
Mus dan Awie misalnya, mempunyai tonasi tinggi, manakala, Mel ke arah balada berjaya menarik perhatian ramai pada persembahan yang bermula pukul 9 malam dan berakhir 11.20 malam itu.
Bagaimanapun, disebabkan itu adalah malam pembukaan untuk tontonan media massa, terdapat sedikit ketidakserasian antara Wings dengah kumpulan pemuzik orkestra.
Paling ketara contohnya sewaktu mereka menyanyikan lagu Inspirasi Taming Sari di mana Awie terdapat sedikit tempo lagu itu lari daripada alunan orkestra yang mengiringi mereka.
Namun, dua pemain dram Wings iaitu Black dan Jojet bergandingan mengetuk dram pada masa sama melalui lagu R N R Lu Punya Suka memang menakjubkan dan memukau para penonton.
Dua pemain dram itu seolah-olah berlawan dengan melodi lagu itu dengan skil dan ketukan yang tersendiri bagi menunjukkan kelainan dan kehebatan masing-masing.
Perkara itu boleh dimaafkan memandangkan ia adalah persembahan Wings yang pertama bergandingan dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi itu.
Sepanjang dua jam 30 minit itu, Wings menyampaikan 20 lagu di mana lebih 70 peratus daripadanya merupakan lagu-lagu popular Wings yang memang dinanti-nantikan ramai.
Antara lagu-lagu wajib yang dipersembahkan pada malam itu berjudul Inspirasi Taming Sari, Sejati, Taman Rashidah Utama dan Belenggu Irama yang dipersembahkan dalam nafas orkestra.
Menurut Awie konsert itu bukan sahaja menjadi penanda aras buat Wings tetapi juga suatu pengalaman yang harus dikongsi bersama pemuzik tempatan lain dan juga peminat.
"Ini bukti kumpulan rock Malaysia juga mampu mengadakan persembahan yang berprestij setanding dengan artis luar negara. Kita mahu bersaing secara sihat.
"Sebagai pemuzik rock yang pertama beraksi di IB kami anggap ini sebagai hadiah buat para peminat Wings. Kami membuktikan kalau mahu jadi artis jangan setakat kejar glamor semata-mata.
"Sebaliknya, jadikan bidang ini sumber pendapatan dan ia harus dilakukan dengan sepenuh hati," katanya yang menyanyikan lagu-lagu sama sepanjang konsert itu sehingga 1 Mei lalu.
Selain tiga vokalis terbabit, turut ditampilkan Sham selaku gitaris di mana dia pernah menganggotai Wings sewaktu album pertama kumpulan itu berjudul Belenggu Irama pada 1987.
Persembahan Wings pada malam itu diakhiri dengan lagu berjudul Peronda Jaket Biru yang menggabungkan vokal Awie, Mus dan Mel dan iringan para pemuzik orkestra terbabit. 
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH

0 comments: