Bermula daripada minat melihat gubahan hantaran di majlis perkahwinan kaum keluarga, Hafidzah Ghazali , 37 timbul idea dan minatnya terhadap gubahan bunga, pelamin dan hantaran.
Sejak itu kehidupannya sentiasa dikeliling bunga - bunga.
Bagi Hafidzah, sentuhan seni gubahan bunganya telah mencetus inspirasi baru dalam kehidupan. Malah, aroma bunga - bunga segar mampu membangkitkan lagi mood dan cita rasa sebenar pemiliknya.
Sejak bergelar ibu tunggal sembilan tahun lalu, kesungguhan Hafidzah terhadap kemahiran itu mula membuka banyak peluang. Dia sama sekali tidak menyangka minatnya dalam bidang gubahan akhirnya menjadi sumber rezeki utamanya.
Mungkin ramai berpendapat ia mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Fesyen semasa
Tanpa minat dan kebolehan, gubahan itu tidak kelihatan menarik sama lebih-lebih lagi ia perlu seiring dengan perkembangan fesyen semasa.
Sambil mengatur bicara, tangan Hafidzah ligat memotong, menggulung dan mencantumkan bahan-bahan. Tidak sampai 20 minit gubahan tersebut siap.
Bila ada bakat, setiap sentuhan itu akan menjadi satu gubahan yang indah walaupun usahanya bersahaja.
"Selain minat dan bakat semula jadi, kita perlu ada pengalaman dan ilmu menerusi kelas gubahan yang dihadiri. Saya sendiri pernah diminta untuk menyiapkan gubahan meja utama dan hiasan kereta pengantin dalam masa tiga jam. Saya
melakukan tugasan tersebut dengan sempurna kerana minat dan kemahiran yang ada," jelasnya yang ditemui di kediamannya yang terletak di Alam Damai, Cheras Kuala Lumpur.
Selepas melihat potensi gubahan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan, Hafidzah menjadi lebih serius dalam mengambil tempahan.
"Saya mula menerima tempahan daripada rakan-rakan di pejabat dan keluarga. Lama-kelamaan mereka memperkenalkan saya kepada rakan-rakan mereka pula. Sekarang saya banyak menerima tempahan menerusi laman sosial, facebook," kata ibu tunggal kepada tiga anak ini.
Bagi mengembangkan perniagaannya, Hafidzah membuka kelas gubahan kepada orang ramai yang berminat khususnya golongan wanita yang ingin mencari pendapatan sendiri. Hadfizah boleh dihubungi menerusi talian 016-6211934.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ISMAIL KAMADIN
0 comments:
Catat Ulasan