Jumaat, 6 Mei 2011

Apabila kanak-kanak tidak menonton TV


Kanak-kanak Tadika Kinderlands, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, membentangkan laporan mereka dalam Kempen Minggu Tidak Menonton TV sambil ditemani ibu bapa masing-masing.
KEBANYAKANNYA akan bermain di taman permainan, menghabiskan masa dengan berbual-bual atau bermain dengan adik-beradik atau ibu bapa mereka.
Manakala yang lain pula membaca buku, mewarna, melukis, malah ada yang membersihkan haiwan peliharaan mereka. Tidak ketinggalan juga yang menolong ibu melipat pakaian, memasak atau membersihkan rumah.
Demikian antara aktiviti yang tercatat dalam buku laporan kanak-kanak yang berusia lima hingga enam tahun di Tadika Kinderlands, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, yang terlibat dalam Kempen Minggu Tidak Menonton TV.
Kempen anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) itu berlangsung pada 21 hingga 27 April lalu.
Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kempen tersebut dianjurkan bertujuan mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap rancangan di televisyen bagi mengisi masa lapang mereka.
Katanya, melalui kempen ini kanak-kanak yang terlibat tidak dibenarkan menonton TV sepanjang tempoh tersebut.
Mereka juga diminta mencatatkan aktiviti yang dilakukan sebagai pengganti kepada masa menonton TV di dalam buku laporan yang kemudian dibentangkan di hadapan rakan-rakan kelas dan ibu bapa mereka di tadika berkenaan.
"Ketika pembentangan laporan kanak-kanak ini diminta untuk melukiskan aktiviti yang dilakukan semasa tidak menonton tv.
"Mereka melakarkan lukisan bermain di taman permainan, membuat aktiviti bersama-sama keluarga, melawat zoo, malah ada yang berkelah di pantai," katanya.
Daripada apa yang dilaporkan oleh kanak-kanak ini menurut Mohd. Yusof, jelas membuktikan bahawa kanak-kanak ini mengambil perhatian yang serius terhadap kempen ini.
Ini kerana sepanjang kempen berlangsung bukan saja mereka tidak menonton TV malah ada sesetengahnya meminta ibu bapa atau adik-beradik mereka turut menutup televisyen.
"Kami juga mendapat maklum balas yang menarik daripada ibu bapa yang rata-ratanya berasa kagum apabila anak-anak mereka tidak menunjukkan sebarang bantahan ketika diminta untuk tidak menonton TV.
"Memang pada awalnya ibu bapa agak bimbang dengan apa yang akan dilakukan oleh anak-anak mereka nanti.
"Namun kebimbangan itu hilang apabila mendapati anak-anak bijak merancang aktiviti mereka sendiri," katanya.
Mohd. Yusof berkata, para ibu bapa kanak-kanak berkenaan turut melahirkan rasa gembira apabila mendapati anak-anak mereka melakukan aktiviti yang aktif dan positif, daripada hanya duduk menonton TV sahaja.
Malah katanya, ada ibu bapa yang mencadangkan kempen itu diadakan pada setiap bulan bukan sekadar seminggu dalam setahun.
Menurut Mohd. Yusof, melihat daripada manfaat yang diperoleh melalui kempen tersebut tidak mustahil jika ia boleh diperluaskan kepada orang dewasa.
"Jika kanak-kanak tadika boleh menganggap bahawa Kempen Tidak Menonton TV sebagai sesuatu yang serius, apatah lagi golongan dewasa yang sepatutnya mendidik anak-anak mereka ke arah itu," katanya.  

0 comments: