Selasa, 3 Mei 2011

Berakhirnya perjalanan Nur Amina, Adam


Adegan ceria (dari kiri) mia sara, Liza othman dan tiz zaqyah.
LAKONAN bukanlah hanya sekadar menonjolkan rupa paras yang cantik di hadapan kamera ataupun kekuatan sesebuah skrip semata-mata.
Naskhah yang baik merangkumi kekuatan skrip, plot, penceritaan dan yang paling peting adalah lakonan yang ditonjolkan mampu merunjam jiwa penonton.
Mendekati dua watak utama drama bersiri Nur Kasih yang dipanjangkan ke layar perak Tiz Zaqyah dan Remy Ishak mengakui aura Nur Kasih meninggalkan impak yang sangat kuat.
Keperitan dan ketabahan yang dilalui Nur Amina (Tiz Zaqyah) dalam drama berkenaan berjaya menarik penonton untuk turut sama berkongsi rasa berkenaan.
Bagi memenuhi permintaan pengikut setia drama bersiri 26 episod itu, kesinambungannya diteruskan dengan penghasilan Nur Kasih The Movie (NKTM) yang akan mula menjengah pawagam 19 Mei ini.
“NKTM adalah penamat bagi perjalanan hidup Nur Amina dan Adam. Liku-liku penuh duri yang dilalui oleh Amina akan berakhir bersama dengan NKTM.
“Namun, NKTM mempunyai sedikit perbezaan dengan siri Nur Kasih di mana cabaran dan dugaan yang ditempuhi oleh Nur Amina dan Adam lebih kuat dalam usaha mempertahankan rumah tangga mereka,” ujar Tiz Zaqyah lembut yang ditemui baru-baru ini.
Melalui siri Nur Kasih, penonton disajikan dengan watak Nur Amina yang sentiasa reda dan menerima takdir yang sudah tertulis namun dalam NKTM watak Nur Amina sedikit tersasar.
Dalam NKTM, Nur Amina menjadi lebih matang dan cuba untuk melawan ketentuan yang telah tersurat demi diri, keluarga dan suaminya.
Sementara itu, pendukung watak Adam, Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak turut berkongsi rasa yang sama.
Baginya perbezaan antara Adam dalam drama dan filem adalah kematangan watak berkenaan.
“Walaupun matang sikap memberontak itu tetap ada dalam diri Adam untuk mencari kebenaran tentang apa yang berlaku pada diri dan keluarganya,” jelas aktor kelahiran Negeri Sembilan itu.
Bagaimana pun, jelas aktor yang pernah bergandingan dengan Maya Karin dalam filem Cun itu, dia tiada masalah untuk menjiwai semula karakter Adam.
Bekerjasama dengan team produksi yang dan gandingan pelakon yang sama membuatkan kerjanya menjadi mudah.
Selain itu cabaran yang terpaksa dilalui oleh mereka adalah masalah komunikasi dan cuaca ketika proses penggambaran di Jordan.
“Ada suatu masa kami diberikan amaran berkenaan dengan ribut pasir yang akan melanda dan diminta untuk meninggalkan lokasi penggambaran.
“Tetapi Kabir Bathia (pengarah) mahu kekal dan kami terpaksa bersama namun akhirnya hasil yang diperolehi adalah gambar yang sangat cantik,” jelas Tiz yang akan menginjak 23 tahun pada 25 Oktober depan. 
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

1 comments:

ejulz berkata... Reply To This Comment

macam best je cite ni.. :)