Selasa, 3 Mei 2011

Peminat rindu lagu Fran


Fran turut mengajak penonton menyanyi bersama sewaktu persembahannya di Hotel JW Marriot, baru-baru ini.
SUARA Francissca Peter sejak dulu hingga kini tidak pernah berubah, malah lagu-lagunya masih digemari dan tidak jemu didengar.
Berdasarkan faktor itulah, setiap kali Francissca atau Fran mengadakan persembahan pasti ada pengikut setia kerana mereka mahu mendengar penyanyi itu menyanyi secara langsung.
Mungkin ketika penyanyi yang nama sebenarnya, Luciana Francissca Peter mengadakan Konsert 33 Tahun Keunggulan Francissca Peter di Istana Budaya, Februari lalu, mereka tidak berkesempatan untuk hadir.
Sebagai pengubat rindu, mereka memilih untuk menonton persembahan Fran sempena minggu setiausaha di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Keterujaan peminat- peminatnya bermula pada pukul 1.45 petang, apabila Fran muncul dengan mendendangkan lagu Fireworks dan Ku Ke Udara Lagi sambil diiring oleh empat penari.
Selepas itu, penyanyi yang mula aktif dalam bidang seni sejak 1979 memilih lagu rancak, Oh La La Tropika.
Ternyata Fran yang diiringi oleh empat pemuzik itu mampu mengajak penonton untuk turut serta dalam persembahannya.
Selepas itu, penonton terus dibuai dengan lagu-lagu popular Fran seperti Kerna Terpaksa, Kau Lilin Cintaku, Siapa Dia Sebelum Daku dan Kehebatan Cinta secara medley.
Ramai yang beranggapan sepanjang persembahan yang berakhir pukul 3.20 petang itu akan dipenuhi dengan lagu-lagu popular penyanyi berkenaan.
Malangnya, semua itu tidak kesampaian kerana Fran lebih banyak mendendangkan lagu-lagu luar dari lagu-lagu daripada albumnya.
"Lagu-lagu saya banyak yang balada. Betulkah anda semua tidak mahu lagu rancak agar kita boleh menari bersama.
"Memandangkan hari ini adalah hari anda, jadi saya akan turut kemahuan anda. Cuba teka lagu apa, kalau anda betul-betul peminat saya," katanya memberi albumnya kepada penonton sebelum mendendangkan lagu Sekadar Di Pinggiran.
Sebagai duta Oganisasi Kebajikan Antarabangsa World Vision di Malaysia (International Aid Organisation World Vision) selama enam tahun 2006-2011, Fran turut mendendangkan lagu tema, Tomorrow.
Memandangkan penonton yang hadir terdiri daripada berbilang kaum, Fran turut mendendangkan dua lagu bahasa Cina.
Ketika menyampakani lagu Soley Soley, Fran turut mengajak penonton berdiri di atas kerusi sambil menggoyang tangan masing-masing.
Lagu lain yang turut didendangkan oleh Fran adalah Wo Yau Ni T,i Hound Dog, How Will I Know, So Emotional dan I Wanna Dance With Somebody.
Meskipun peminat terubat mendengar suara Fran namun masih terselit perasaan kecewa kerana impian untuk mendengar lagu-lagu nostalgia yang mengangkat nama penyanyi itu tidak kesampaian.
Sebaik sahaja Fran berundur, Harith Iskander tampil membuat persembahan dan majlis pada petang itu dikendalikan oleh model dan juga pengacara terkenal Xandria Ooi. 

1 comments:

ejulz berkata... Reply To This Comment

waaaa.. mesti mahal nak join ni kan? huHu