Khamis, 30 Jun 2011

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj


peristiwa Israk Mikraj menimbulkan perdebatan para ulama dalam beberapa perkara namun yang pasti ia mesti dipercayai dan diyakini sepenuhnya. - Gambar hiasan

ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.
Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.
Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.
Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.
Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.
Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.
Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.
Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.
Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.
Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.
Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.
Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.
Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.
Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.
As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).
Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.
Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.
Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.
Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.
Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.
Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.
Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Ijtihad Ibn al-Jazari


Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu Matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. - Gambar hiasan

PERKARA penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.
Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.
Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.
Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.
Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.
Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.
Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.
Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.
Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.
Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.
Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab'ah.
Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani(444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy(591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.
Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.
Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.
Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.
Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: "Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah".

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Masjid Negara dekati anak yatim


Ehsan Mohd. Hosni (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin.

DARIPADA Abu Umamah, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan, dan barang siapa berbuat baik kepada anak yatim perempuan atau laki-laki yang dia asuh, adalah aku bersama dia di Syurga seperti ini, beliau mensejajarkan dua jari-nya."
Demikianlah, ajaran Islam yang memberi kedudukan yang tinggi kepada anak-anak yatim dengan memerintahkan kaum Muslimin berbuat baik dan memuliakan mereka.
Malah dengan berbuat baik itu, mereka bakal beroleh balasan pahala yang besar.
Bertitik-tolak daripada hadis yang menyentuh akan saranan berlaku baik terhadap anak-anak yatim maka pada 22 Jun lalu, terlaksanalah program Lawatan dan Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor anjuran Masjid Negara.
Program yang bermula pukul 11 pagi Rabu itu adalah salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara. Ia merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di rumah anak-anak yatim terpilih dari sekitar Lembah Klang.
Program itu dihadiri oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah dan Ibadah Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni yang mewakili Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad. Turut serta, 20 pegawai serta kakitangan Masjid Negara.
Setibanya di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin itu, mereka disambut oleh Pengurus merangkap Pengerusinya, Nor Haniza Shahbaki.
Pada pengisian program itu, sumbangan berupa hamper, barang keperluan dan wang tunai diserahkan kepada kira-kira 100 anak-anak yatim dan asnaf yang berumur antara setahun sehingga 17 tahun.
Rumah ini ditubuhkan pada Januari 2010. Ia beroperasi di Lot 839, Jalan Aman, Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Penubuhan rumah kebajikan ini dibuat atas dasar tanggungjawab sosial untuk melihat generasi yang lahir dalam kalangan anak-anak yatim dan asnaf lebih terbina sahsiah serta keperibadian dan mempunyai asas pendidikan yang kukuh.
Selain itu, rumah ini diusaha dan diuruskan oleh Molyana Mahmud dan beberapa tenaga sokongan serta sukarelawan.
Berbalik kepada objektif utamanya, program ini bertujuan mengeratkan hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan petugas dan anak-anak yatim di rumah tersebut, di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat.
Semoga dengan ziarah dan sumbangan yang kecil ini, ia dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada anak-anak yatim di situ.
Selain itu, program ini juga diharap dapat mendidik dan mendekatkan lagi kakitangan Masjid Negara dengan masyarakat luar di mana ia berperanan dan dianggap sebagai memenuhi tanggungjawab sosial.
Bagi pihak Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin ini pula, sebagai sebuah organisasi yang bergerak secara sukarela, pengurusan rumah ini mempunyai keterbatasan untuk mengatur kegiatan menjana kewangan.
Namun, keperluan untuk menggiatkan aktiviti kepada penghuni harus dilaksanakan secara berterusan.
Justeru itu, keprihatinan masyarakat, institusi dan organisasi korporat amatlah diharapkan untuk membantu ke arah merealisasikan harapan tersebut.
Bagi pihak Masjid Negara, diharap program begini sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai.
"Ia demi kelangsungan aktiviti pengimarahan masjid sebagai institusi merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia, khasnya dan di dunia, amnya," katanya.

Rabbaniah - Prinsip ekonomi Islam


Konsep Rabbaniah melahirkan peniaga Muslim yang amanah dan tidak menipu dalam timbangan. - Gambar hiasan

Islam adalah satu sistem kehidupan yang lengkap dan teratur. Syariat Islam adalah daripada Allah SWT. Ia umpama sebuah jalan yang melorongkan sesiapa sahaja yang melaluinya ke jalan kebahagiaan yang sejati dan sebenar-benarnya.
Dengan kata lain, jalan kebahagiaan itu sudah terbentang lurus di hadapan, namun persoalan kenapa kita masih memilih jalan kesengsaraan yang bersimpang siur!
Firman Allah: Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti). (al-Maidah: 48)
Demikian juga dengan sistem ekonomi Islam. Ia lahir melalui wahyu Allah iaitu al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Kaya dengan segala kekuasaan, maka sebarang sistem yang datang daripada-Nya juga adalah yang terbaik.
Inilah keyakinan yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Mempertikaikan sistem Islam bermakna kita meragui sistem yang datang daripada Allah.
Antara prinsip-prinsip ekonomi Islam ialah rabbaniah. Ia bermaksud bahawa ekonomi Islam berkait rapat dengan ketuhanan atau ilahiah bukan hanya berlandaskan kepentingan material.
Sengaja di ketengahkan perkara ini kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlupa untuk menjaga dan memelihara prinsip-prinsip ekonomi Islam yang bersifat tetap dan tidak berubah walaupun berubahnya zaman, lokasi dan manusia.
Dalam menggerakkan ekonomi Islam, individu-individu yang terlibat mesti mengambil kira batasan-batasan Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah. Ini kerana, sebagaimana sembahyang dan puasa, sistem ekonomi Islam juga ada kaitannya dengan dosa pahala, syurga dan neraka. Islam mempunyai cara, pemahaman dan nilai-nilai ekonomi yang berbeza dengan ekonomi ciptaan manusia.
Rabbaniah boleh diperbincangkan dalam dua konteks kefahaman.
Kefahaman yang pertama tentang prinsip rabbaniah dalam sistem ekonomi Islam adalah keyakinan bahawa sistem ekonomi Islam dalam segi dasarnya adalah unggul dan terbaik kerana ia datang daripada Allah dan Nabi Muhammad.
Justeru, mereka yang terlibat dalam menggerakkan ekonomi ini tidak akan merasa sangsi dengan keberkesanan dan kebaikan sistem ekonomi ini. Keyakinan ini sangat penting terutama apabila kita gagal mencari hikmah dari pensyariatan sesuatu hukum.
Sebagai contoh, tidak semua umat Islam faham apakah hikmah di sebalik pengharaman riba. Lebih-lebih lagi pada zaman yang begitu mencabar ini.
Riba seolah-olah menjadi kebiasaan dan rata-rata menganggapnya tidak mengapa bak kata peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa
Namun, bagi orang yang beriman kepada Allah SWT apabila al-Quran dan hadis dengan jelas mengharamkan riba, mereka tidak akan berlengah-lengah meninggalkan riba dan saki-bakinya tanpa sebarang keberatan. Inilah bukti iman kita kepada Yang Maha Esa.
Firman Allah yang bermaksud: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad). Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya (an-Nisa': 65).
Kefahaman rabbaniah yang kedua pula adalah segala aktiviti yang dijalankan untuk menggerakkan ekonomi bertujuan mendapatkan keredaan Allah. Mereka yang memahami konsep ini akan memastikan segala pengurusan dan aktiviti ekonomi yang dijalankan tidak mengandungi sebarang perkara yang haram kerana ia pasti dimurkai oleh Allah.
Orang yang memahami tujuan mereka menuju Allah akan menganggap bahawa kegiatan ekonomi yang dijalankan semuanya adalah manifestasi kehambaan kepada Allah.
Kefahaman ini boleh diterapkan dalam diri jika kita memahami bahawa setiap harta yang diperolehi sebenarnya adalah pinjaman daripada Allah. Maka sebagai peminjam kita perlu mematuhi segala terma dan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman.
Sebab itulah, Allah akan mempersoalkan perolehan harta serta penggunaannya. Setiap nilaian harta akan diperincikan oleh Allah sebagai perhitungan di akhirat kelak.
Abu Barzah r.a, meriwayatkan bahawa Nabi bersabda: "Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah) pada hari kiamat, sehingga terlebih dahulu akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya." (riwayat al-Tarmizi).

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Abby kesal anak-anaknya dipergunakan


Permata hati kesayangan Abby Abadi, Maria Danisha Hakim (kiri), Marissa Damia Hakim (kanan) dan Mohammad Danish Hakim (belakang).

Dramatis popular, Arbaiyah Abdul Manan, 34 atau Abby Abadi mempersoalkan motif tindakan Memey Suhaiza Suhaimi, 23, yang membawa dua daripada tiga orang anaknya hadir ke sebuah majlis tertutup di Kuala Lumpur, minggu lepas.
Abby mendakwa, tindakan tunang Norman Hakim, 35, itu adalah di luar pengetahuannya walaupun dia tidak dapat menghalang sekiranya anak-anaknya dibawa bersiar-siar oleh bekas suaminya itu dengan disertai oleh Memey.
Abby meluahkan rasa tidak senang hati setelah mendapat tahu dua anak perempuannya, Marissa Damia Hakim dan Maria Danisha Hakim, masing-masing berumur enam dan tiga tahun, dibawa ke satu majlis tanpa ditemani oleh bekas suaminya itu.
Lebih tidak elok lagi apabila majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan kanak-kanak tidak digalakkan dibawa ke majlis tersebut.
Menerusi perbualan telefon bersama Hits, Abby memberitahu, dia amat berkecil hati dengan sikap Norman yang membenarkan Memey membawa anak-anak mereka walhal majlis tersebut tidak sesuai dihadiri oleh kanak-kanak.
"Jujurnya, saya tidak tahu menahu bahawa anak-anak saya dibawa ke majlis tersebut.
"Setahu saya, seperti biasa, Norman minta kebenaran untuk membawa anak-anak keluar kerana mahu meluangkan masa bersama.
"Kebetulan, pada hari Norman menjemput anak-anak, saya tidak ada di rumah kerana mempunyai komitmen lain di luar Kuala Lumpur, " jelas Abby.
Ketika ditanya adakah tindakan Memey itu mengundang kemarahan di lubuk hatinya, dalam nada tenang Abby menjelaskan, dia cuma terkilan dan tidak suka dengan apa yang telah dilakukan oleh Memey.
Tambah Abby, sudah banyak kali dia menegur bekas suaminya dan Memey agar jangan membawa anak-anak ke tempat-tempat yang tidak sesuai tetapi tegurannya itu tidak diendahkan.
"Ia seolah-olah membelakangkan peranan dan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada anak-anak saya.
"Hendak dimarah pun, mereka (Norman dan Memey) sudah dewasa dan selaku ayah kepada anak-anak saya, Norman ada hak untuk membawa anak-anak keluar. Sepatutnya mereka sendiri boleh berfikir apa yang wajar dan apa yang tidak wajar.
"Saya bukan ingin menyekat aktiviti mereka dengan anak-anak. Tetapi mereka harus menghormati juga perasaan saya sebagai ibu yang turut menerima tempias sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diingini ke atas anak-anak saya," komen Abby.
Di samping itu, rintih Abby, sama ada Norman mahupun Memey, mereka sepatutnya kasihan dan peka terhadap anak-anaknya yang masih kecil dan bukannya mendedahkan anak-anak sekecil itu kepada perkara duniawi.
Pada usia tiga dan enam tahun, menurut Abby, anak-anaknya tidak seharusnya berada dalam sebuah majlis yang dianjurkan khas untuk golongan wanita dewasa sementelah ia diadakan pada sebelah malam.
"Kasihanilah kepada mereka kerana bagaikan dipaksa untuk bersengkang mata sehingga majlis itu tamat pada lewat malam.
"Lazimnya, anak-anak sudah dibuai mimpi pada waktu itu. Ini tidak, masih berada di luar, lebih-lebih lagi di sebuah majlis yang mereka sendiri (anak-anak) tidak faham apakah kebaikan majlis itu untuk mereka," luah Abby yang ternyata kesal dengan apa yang telah berlaku.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan terkininya, Abby memberitahu, dia kini sibuk dengan siri jelajah mempromosikan produk kecantikan Syahirah Iffah, di mana Abby bertindak selaku duta produk tersebut.
Selain itu, kata Abby, terdapat beberapa telemovie yang dilakonkannya bakal bersiaran terutama pada musim raya tidak lama lagi.

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar UNIT FOTO UMMB

Petronas bayar Pusat, kerajaan-kerajaan negeri RM594.6b


KUALA LUMPUR 29 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Petronas telah membuat pembayaran RM594.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum semenjak penubuhannya sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac lepas.
Daripada jumlah itu, Perdana Menteri berkata, RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini.
Sehingga Jun 2011 pula, Najib berkata, jumlah sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah sebanyak RM3.0 bilion dan dilaburkan di dalam pelbagai instrumen kewangan.
"Dana ini adalah aktif dan saiz dana KWAN kini berjumlah RM5.43 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Nurul Izzah ingin tahu mengenai jumlah sumbangan Petronas kepada KWAN dan kesediaan kerajaan menetapkan 30 peratus keuntungan tahunan Petronas ke dalam sebuah tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa. - Bernama

Salang harap telco dapat serap cukai perkhidmatan prabayar


KUALA LUMPUR 29 Jun - Perbincangan antara pengendali mudah alih tempatan (telco) dan kerajaan untuk menyalur cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna masih lagi berlangsung.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berharap para pengendali akan terus menyerap cukai bagi mengurangkan beban pengguna.
Terpulanglah kepada Kementerian Kewangan untuk membuat keputusan, kata beliau kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Packet One Networks (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) dan China Mobile, pengendali telefon mudah alih terbesar dunia, di sini semalam. - Bernama

Peruncit elektrik dijemput sertai Program Rebat SAVE


KUALA LUMPUR 29 Jun – Peruncit peti sejuk dan penyaman udara bertaraf lima bintang dijemput untuk mengambil bahagian dalam Program Rebat.
Program itu, iaitu sebahagian daripada Program Kemampanan Yang Dicapai Melalui Keefisienan Tenaga (SAVE), akan dilancarkan pada 7 Julai ini.
Peruncit perlu mendaftar butir-butir syarikat ke emel, sarimah@kettha.gov.my dan najmi@kettha.gov.my atau faks ke 03-88891335, demikian menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di sini hari ini.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi 03-88836182 atau 03-88836183.
Di bawah program SAVE itu, rakyat Malaysia yang layak akan diberikan rebat apabila membeli peralatan elektrik berkenaan.
Program SAVE telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 13 Jun untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap di kalangan rakyat. – Bernama

Penanam cili LPP-Nestle capai hasil RM120,000 setahun


PASIR PUTEH 29 Jun – Usaha sama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan syarikat pengeluar makanan Nestle (M) Berhad sejak 15 tahun lepas melalui projek tanaman cili, berjaya mengubah nasib petani hingga kini mampu menjana pendapatan RM120,000 setahun.
Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK) Bukit Awang, Fauziah Ismail berkata, pendapatan itu jauh berbeza ketika para peserta mula menceburkan diri dalam kegiatan pertanian terutama cili kulai pada 1994 dengan hanya memperoleh antara RM200 dan RM300 sebulan.
Tanaman cili kulai itu diadakan di bawah projek ladang kontrak antara LPPK Bukit Awang dan Nestle bagi menghasilkan produk sos tomato dan cili untuk pasaran dalam dan luar negara dengan kuota tanaman sebanyak 32 metrik tan bernilai RM1.4 juta setahun, katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, melalui program itu, PPK Bukit Awang telah melahirkan 212 peladang peringkat menengah yang kini mampu mendapat pendapatan antara RM2,000 dan lebih RM5,000 sebulan seorang. – Bernama

300 sukarelawan Amerika ajar BI di sekolah mulai 2012


WASHINGTON 29 Jun - Seramai 300 sukarelawan akan dihantar ke Malaysia mulai tahun depan untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah. di bawah Program Fulbright tajaan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Utusan

Penemuan terbaru air beradioaktif di loji Fukushima


TOKYO 29 Jun - Air beradioaktif yang bocor dari loji nuklear Fukushima akibat tsunami dan gempa bumi Mac lalu ditemui hari ini, lapor kerajaan Jepun.
Kira-kira 15 tan air dengan paras radiasi yang rendah ditemui bocor dari tangki simpanan di loji yang terletak di pesisiran pantai Pasifik itu iaitu 240 kilometer dari utara Jepun.
Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) berkata, mereka akan menyiasat punca kebocoran tersebut selepas memperbaikinya. - Reuters

Belanda haram penyembelihan haiwan cara Islam


AMSTERDAM 29 Jun - Parlimen Belanda telah mengundi bersetuju untuk mengharamkan penyembelihan haiwan hari ini, langkah yang ditentang kuat oleh orang Islam dan Yahudi negara itu.
Rang undang-undang yang dikemukakan oleh Parti Hak Asasi Haiwan, parti sedemikian yang pertama di Eropah memenangi kerusi dalam Parlimen, menyatakan mereka perlu memastikan haiwan itu tidak sedar diri sebelum disembelih, berbeza dengan cara Islam dan Yahudi yang memerlukan haiwan itu berada dalam keadaan sedar.
Menurut ketua Hak Asasi Haiwan, Marianne Thieme, cara penyembelihan itu memberi kesakitan yang tidak patut kepada haiwan dan ia perlu dibanteras walaupun ia tuntutan agama. - Reuters

Christine Lagarde dilantik pengarah urusan baru IMF


WASHINGTON 29 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini melantik Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde sebagai pengarah urusan baru bagi pusat peminjam global itu.
Pelantikan Lagarde, 55, bagi penggal selama lima tahun bermula 5 Julai ini menjadikan dia wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.
Lagarde yang berjaya menepikan saingannya, Ketua Bank Pusat Mexico, Agustin Carstens, mendapat sokongan daripada kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia dan Brazil dalam mesyuarat 24 ahli lembaga IMF. - Reuters

Kelayakan Piala Dunia: Kemenangan saingan pertama Malaysia


KUALA LUMPUR 29 Jun - Skuad bola sepak negara berjaya memperoleh kemenangan 2-1 menundukkan Taiwan dalam saingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Gol pembukaan negara di perolehi melalui Safiq Rahim pada minit ke-28 dan gol kemenangan hasil tandukan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-55 manakala gol tunggal Taiwan diperolehi hasil rembatan kencang Po Liang Chen pada minit ke-77.
Selepas ini skuad kebangsaan akan berkunjung ke Stadium Municipal Taiwan pada Ahad ini untuk perlawanan kedua. - Utusan

Sabtu, 25 Jun 2011

SS501 bersaing sesama sendiri


Para peminat SS501 berharap kumpulan ini terus kekal walaupun dua daripada anggotanya tampil solo.

Album itu yang baru sahaja dipasarkan di Korea pada 8 Jun lalu, secara serentak memasuki pasaran China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Singapura bagi memenuhi permintaan peminat antarabangsanya.
Minggu lalu, bintang Boys Over Flower ini muncul dalam program muzik di televisyen untuk memperkenalkan lagu barunya, Let Me Go, Please, Kiss Kiss dan Yes I Will.
Dengan popularitinya, kita percaya album ini akan mendapat sambutan para peminatnya.
Persoalannya, adakah penampilan solo Hyun Joong itu mampu menyaingi artis lain yang juga hebat termasuk penyanyi utama grupnya sendiri, Heo Young-saeng?
Para peminat K-Pop tentu sudah tahu yang lagu sedap Let It Go dendangan Young-saeng kini cukup digemari bahkan menduduki carta 10 lagu terbaik program Music Bank terbitan KBS.
Tidak pasti sama ada secara kebetulan atau memang mahu menandingi Let It Go, Hyun Joong pula muncul dengan Let Me Go - lagu baru dengan judul yang seakan-akan sama dengan lagu Young-saeng itu!
Dalam suatu wawancara baru-baru ini, si kacak Hyun Joong bermati-matian mengatakan yang SS501 tidak mungkin berpecah! Tegasnya perkataan 'bubar' tidak pernah terlintas di fikiran anggota kumpulan itu.
Namun melihat kepada perkembangan grup itu buat masa ini, sukar untuk mempercayai bulat-bulat kata-kata itu. Apatah lagi anggota SS501 kini dinaungi oleh syarikat pengurusan yang berbeza.
Anggota lain - Park Jung Min dan Kim Hyung Joon pun pernah tampil solo malah bersama seorang lagi anggota, Kim Kyu Joong, muncul hanya bertiga untuk album Ur Man.
Walaupun kecenderungan tampil solo atau sebagai sub grup ini turut berlaku dalam kumpulan popular lain seperti Super Junior, Big Bang, 2AM dan Beast namun perpecahan grup selepas mencapai suatu tahap populariti juga seolah-olah suatu trend! Bukti terbaru, DBSK dan JYJ!
Apa-apa pun, para peminat SS501 khususnya Triple S tentu sahaja mengharapkan grup kesayangan mereka ini kekal bersama selamanya!

Khamis, 23 Jun 2011

Pertunjukan fesyen meriahkan majlis PLC


SULTAN Azlan Shah dan Tuanku Bainun mencemar duli memotong kek pada majlis 'Glitz & Glam' Perak Ladies Club 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perak Ladies Club (PLC) atau Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor kini boleh berbangga kerana telah menjangkau usia 10 tahun sejak ditubuhkan pada 30 Mei 2001.
Sepanjang tempoh itu, PLC kini dikenali sebagai antara persatuan wanita yang begitu aktif melakukan kerja-kerja amal khususnya membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin.
Kelab ini ditubuhkan oleh Datuk Siti Hendon Chik, anak kelahiran Ipoh, Perak selaku Presiden bersama dengan 13 ahli jawatankuasa yang lain.
PLC dinaungi oleh Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah sejak tahun 2003.
Jelas Siti Hendon, matlamat utama PLC ditubuhkan adalah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik melalui gabungan wanita-wanita kelahiran Perak yang bermastautin di luar Perak.
Sehubungan itu, katanya, bukan satu tugas mudah apabila mendaftar sebagai ahli PLC kerana ahli perlu bekerja keras untuk mengumpul dana yang diperlukan.
''PLC akan kumpulkan dana yang dicari supaya dapat disumbangkan kepada fakir miskin terutama yang tinggal di Perak,'' katanya.
Berikutan itu, setiap tahun PLC akan mengunjungi tempat-tempat yang dipilih supaya dapat menghulurkan terus bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Rombongan lawatan ini bukan sahaja melibatkan ahli, malah juga anak-anak ahli untuk memberikan keinsafan, di samping merasai pengalaman berada di kampung setelah sekian lama menetap di ibu kota.
Selain itu, PLC juga tidak mengabaikan bantuan untuk golongan fakir dan miskin yang tinggal di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Baru-baru ini, sambutan ulang tahun PLC ke-10 bertemakan 'Glitz & Glam' telah diadakan di Double Tree by Hilton di Kuala Lumpur.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun juga berkenan hadir ke majlis berkenaan.
Kesempatan itu digunakan oleh PLC untuk meraikan ulang tahun baginda Sultan Perak yang ke-83 tahun dengan acara memotong kek.
Pada majlis itu juga diadakan pertunjukan fesyen oleh dua pereka terkenal, Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat.
Selain itu, majlis itu dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Ning Baizura, Datuk M. Daud Kilau dan Harris (Nor Harris Alif Rashidi), Juara Idola Kecil Musim Ketiga.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah acara penyampaian replika cek untuk sumbangan derma daripada syarikat City Growth sebanyak RM50,000 dan Asia Herbal Biotech (RM30,000).

Rabu, 22 Jun 2011

Aplikasi bahasa Arab seru kebangkitan Palestin dibantah


JERUSALEM 22 Jun - Seorang menteri Israel meminta syarikat elektronik, Apple Inc supaya mengalihkan aplikasi bahasa Arab di dalam gedung muzik secara talian, iTunes yang didakwa menyeru kebangkitan rakyat Palestin.
Dalam surat yang dihantar oleh Menteri Diplomasi Awam, Yuli-Yoel Edelstein kepada Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs, berkata, aplikasi yang dikenali sebagai "ThirdIntifada" (Kebangkitan Ketiga) menyebarkan maklumat mengenai tunjuk perasaan, sedikit keganasan dan rancangan untuk menentang Israel.
"Saya yakin anda menyedari aplikasi seperti ini mempunyai kemampuan untuk menyatukan rakyat (Palestin) dengan tujuan yang mungkin membahayakan (Israel), " jelasnya dalam surat tersebut. - REUTERS

Serangan laman web: Penggodam remaja Britain ditahan


LONDON 22 Jun - Polis Britain menahan seorang remaja berusia 19 tahun kerana disyaki terbabit dengan kumpulan penggodam Lulz Security yang menceroboh laman web Agensi Perisikan Pusat (CIA), Senat Amerika Sayrikat (AS), Sony dan lain-lain.
Remaja yang dikenali sebagai Ryan Cleary, telah ditahan dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI ) pada malam Isnin lalu di sebuah rumah pekan Wickford di Essex, tenggara England, atas tuduhan penipuan dan penyalahgunaan komputer.
Dia kini disoal siasat di balai polis di London.
Sumber polis berkata, penahanan mempunyai kaitan dengan serangan Lulz Security dan dipercayai menjadi penahanan yang penting. - AFP

Selasa, 21 Jun 2011

It's All About Nana, MRB & lil Althea: Hello!!! Althea dah 8 bulan hari ni!


It's All About Nana, MRB & lil Althea: Hello!!! Althea dah 8 bulan hari ni!: "Assalamualaikum semua! Yesss ! Ade pun masa nak update blog.. :) Last week super bz .. Alhamdulillah.. Tak komplen pun.. Dalam seminggu ka..."

Isnin, 20 Jun 2011

Pengumuman Pelakon Teater 'Badai Semalam'
























Telah berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 19 Mei 2011. - Foto THE STAR Oleh MUHAMMAD AKIF