Ahad, 5 Jun 2011

Karak cetek agama


AGAMA Islam begitu sinonim dengan masyarakat Melayu di Malaysia, namun jika diperhatikan ketika ini golongan remaja hanya beragama pada nama dan bukan kepada amalannya.
Solat lima waktu sehari semalam yang menjadi tiang agama Islam sejak berkurun lamanya semakin hari semakin diabaikan oleh golongan ini dek hanyut dalam dunia yang penuh hiburan dan keseronokan.
Rukun Iman kelima, iaitu percaya dan beriman kepada kitab yakni al-Quran adalah sebagai panduan hidup umat Islam di seluruh dunia saban hari semakin dilupakan apatah lagi untuk membacanya.
Filem terbaru terbitan KRU Studios yang mula ditayangkan awal minggu lalu, Karak menyelit unsur-unsur keagamaan di mana para remaja ketika ini mengambil remeh tentang perkara dan unsur tersebut.
Pengarahnya, Yusry Abdul Halim mengadunkan elemen keagamaan dalam filem arahannya ini dilihat satu medium bagi mengajar dan memberikan peringatan di samping sebagai hiburan para penonton.
Beberapa babak dalam filem genre seram yang diketengahkan oleh Yusry walaupun dilihat biasa namun perkara tersebut bila difikirkan secara mendalam sebenarnya adalah perkara yang paling penting yang sepatutnya diamalkan oleh kita sebagai umat Islam.
Unsur keagamaan yang paling ketara dalam filem ini adalah apabila pengarah menyelit babak pembacaan ayat Kursi oleh pelakon tanpa mengetahui maksud ayat suci tersebut.
Apa yang menarik di sini bukan pemahaman terhadap ayat suci tersebut menjadi isu tetapi penggunaan ayat itu yang digunakan pelakon hanya ketika mengalami kesukaran dan kesulitan.
Apa yang mahu dipaparkan pengarah adalah mengenai adat manusia yang akan hanya ingat serta mahu meminta pertolongan daripada yang Esa ketika mengalami kesusahan dan kesukaran.
Selain itu pengarah juga turut menampilkan satu naskah kitab suci al-Quran yang dilihat bagus dan cantik di luarannya namun setelah dibuka kesemua tulisannya dilihat kosong.
Perkara ini secara kasarnya melambangkan tentang kosongnya jiwa remaja, kalau dilihat dari segi luaran memang golongan remaja ketika ini begitu cantik serta bergaya namun pada hakikatnya ilmu keagamaan mereka terlalu cetek.
Sosio politik
Filem Karak ini mengisahkan sebuah cerita lagenda dan kisah seram yang terjadi di sepanjang lebuh raya Karak dan merupakan filem seram cubaan pertama terbitan KRU Studio.
Empat orang pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan setelah menghabiskan masa malam mereka di Kuala Lumpur. Semasa perjalanan pulang, mereka terperangkap di dalam kesesakan jalan raya di sepanjang lebuh raya Karak.
Lebuh raya Karak adalah laluan paling popular bagi pengguna yang berada di sebelah pantai timur tanah air, jika diperhatikan secara terperinci, pelbagai kisah seram yang berlaku dalam keseluruhan filem ini sebenarnya dapat ditangani.
Seperti sedia maklum, pelbagai kisah seram dan kisah yang sebenarnya telah dialami oleh para pengguna kemudahan lebuh raya tersebut sebelum ini, filem ini juga turut terhasil daripada sumber-sumber lisan yang sebenar berkenaan perkara-perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan di lebuh raya Karak.
Dalam filem ini, empat watak utama, Nik, Zura, Jack dan Ida terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang memaksa mereka melalui laluan alternatif lain.
Jika dilihat di sini, sepanjang perjalanan jalan alternatif tersebut, kemudahan-kemudahan seperti lampu jalan amat teruk, ketiadaan lampu jalan dan suasana yang menyeramkan adalah punca utama kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.
Walaupun jalan tersebut merupakan jalan pilihan kedua para pengguna, namun pihak berwajib perlulah membuat pemantauan yang sebaik mungkin bagi mengelak kejadian yang sama berulang.
Pujian perlu diberikan terhadap krew-krew serta pelakon filem ini kerana telah berjaya membawa mood penonton ke alam sebenar kejadian-kejadian yang pernah menimpa para pengguna laluan ‘puaka’ pantai timur itu.
Kalau anda mahukan kelainan, Karak merupakan alternatif terbaik untuk ditonton.

1 comments:

Tanpa Nama berkata... Reply To This Comment

terima kasih kerana berjaya mengeluarkan artikel mengenai filem karak ini. sudah lama saya mencari artikel mengenai filem ini kerana sebaik sahaja cerita bermula, saya telah perasan sesuatu yang tak kena pada filem yang bakal sy tengok. kalau penulis boleh lihat, pada pengenalan cerita, setiap tulisan yang mempunyai huruf T akan ada kesan darah mengalir dan akan wujud tanda salib pada huruf tersebut. lagi satu, pada pengakhiran cerita pula, shahir ada membuat lambang tangan iaitu sama dengan lambang penganut freemansion. so, sy harap penulis ataupun sesiapa yang terbaca komen sy ni boleh la sama-sama kita tgk dan huraikan apakah maksud di sebalik semua ini. seperti yang kita tau, freemansion ni dah semakin menular di malaysia malah tema muzik2 baru2 inipun banyak berunsurkan freemansion...