Rabu, 8 Jun 2011

Jubah semakin digemari


PADANAN tudung moden dan tali pinggang mengimbangi penampilan wanita yang bergaya sopan.
HARI ini, dunia fesyen tidak hanya terhad kepada golongan tertentu, malah jika kita mengikuti perkembangan semasa, kita dapat lihat semakin banyak fesyen diketengahkan bagi gadis-gadis bertudung.
Kini bagi gadis bertudung, fesyen untuk mereka tidak ada batasan, asalkan ia bersesuaian dan masih menutup aurat.
Bukan itu sahaja, jika mereka bijak memilih, apa jua fesyen yang dipakai akan nampak bergaya dan sofistikated.
Begitu juga dengan jubah yang semakin menjadi pilihan mereka yang gemarkan fesyen longgar dan selesa.
Dapat dilihat hari ini, jubah semakin digemari untuk digayakan ke pejabat dan juga majlis-majlis rasmi.
Tetapi apa yang dapat dilihat, jubah kini bukan lagi dibuat daripada kain polos tidak bercorak, malah ia telah dimodenkan dengan hiasan-hiasan menarik dan tidak ketinggalan diubah sedikit reka bentuknya supaya setanding dengan fesyen-fesyen eksklusif.
Pengasas koleksi Butik Mama, Nor Ainna Ibrahim percaya, jubah kian mendapat sambutan dan mampu berada sama rata dengan jenama lain di pasaran.
''Gabungan dua jenis fabrik, iaitu polos dan bercorak bagi jubah moden menyuntik keindahan pada rekaan tersebut, sekali gus sesuai digayakan dalam apa jua majlis.
''Baju daripada kain polos menggunakan fabrik lembut dan nipis seperti sifon, krep dan sutera diperindahkan dengan menampilkan kelainan corak dan potongan lengan supaya tidak dikatakan fesyen kampungan atau tidak moden.
''Istimewanya kebanyakan busana muslimah dari Butik MaMa menggunakan material daripada kain lycra kerana ia lembut dan selesa dipakai, tidak kira siang mahupun malam. Selain itu, kain lycra tidak mudah berkedut dan paling penting apabila dibuat jubah, ia jatuh cantik!'' ujarnya ketika ditemui S2 di premisnya di Bangi, baru-baru ini.
Selain itu, padanan tudung moden dan tali pinggang juga mengimbangi penampilan khususnya wanita yang sering mengikut peredaran fesyen.
Jubah-jubah istimewa dilabel di bawah nama Bussaina Apparels, bersesuaian dengan penampilan mengikut syariat seorang muslimah.
Butik MaMa yang merupakan pusat sehenti menawarkan pelbagai koleksi busana muslimah seperti jubah lycra serta sifon dan harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

0 comments: