Khamis, 30 Jun 2011

Ijtihad Ibn al-Jazari


Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu Matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. - Gambar hiasan

PERKARA penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.
Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.
Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.
Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.
Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.
Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.
Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.
Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.
Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.
Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.
Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab'ah.
Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani(444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy(591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.
Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.
Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.
Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.
Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: "Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah".

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

0 comments: