Bangga dengan ‘aset’ yang dikumpul sejak awal tahun lalu. |
Dia terpesona dengan kehebatan Kamen Rider Den-O akhir tahun lalu. Tatkala menonton klip video pembuka animasi sewaktu melayari internet di sebuah kafe siber. Lantas mencetuskan keinginan untuk mendalami watak berkenaan.
Apa saja berkaitan program yang juga dikenali dengan nama Masked Rider Den-O itu dicari. Mohd. Asraff Mohd. Shariff juga tak lepaskan kesempatan untuk meninjau kedai permainan yang menjual barangan itu bagi mendapatkan gambaran jenis item tersebut.
Semuanya disebabkan hatinya cukup meronta untuk memiliki mainan dari jenama animasi itu. Akhirnya, lelaki berusia 25 tahun ini secara rasminya memiliki sebuah patung SHF Kamen Rider pada awal Januari lalu.
Patung dari rangkaian aksi Kamen Rider Den-O itu dipilih kerana keunikan dari segi perincian dan warna. Ia cukup menarik berbanding SHS Kamen Rider yang disifatkan agak kaku di matanya.
“Saya suka SHF Kamen Rider sebab watak ini ada lagak yang mengkagumkan. Kalau dia keluar dalam setiap episod, aksinya pasti buat saya teruja,” kata lelaki yang juga dikenali dengan panggilan Nega Rider ini.
Apa yang lebih membuatkan Mohd. Asraff lebih terpegun dengan SHF Kamen Rider kerana aspek fizikalnya menyerupai manusia. Cara dia ‘menyelesaikan masalah’ dalam satu-satu situasi juga kadangkala boleh diterima akal.
Saat yang paling disukai Mohd. Asraff sewaktu aksi pegun watak berkenaan pada setiap episod. Perihal tersebut benar-benar menarik tumpuannya.
Justeru, anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan memutuskan untuk mengasingkan sejumlah wang gajinya untuk memiliki patung aksi Kamen Rider Den-O.
Siri pengumpulan tersebut berterusan sehingga ke hari ini. Sehingga hari ini, dia sudah memiliki lebih 50 buah patung kecil berkenaan. ‘Harta karun’ Mohd. Asraff itu juga tak mampu untuk memenuhi ruangan pameran kabinet kaca di rumahnya.
Ditanya sampai bila anak sulung dari enam beradik ini akan meneruskan minatnya itu, pengumpul barangan Transformers ini memberitahu dia tidak punya hajat ke arah itu.
Katanya, dia akan lakukan apa saja untuk melengkapkan siri patung Kamen Rider Den-O. Termasuk mengadakan sistem tukar sama suka dengan pengumpul Transformers lain demi memastikan koleksinya lengkap.
Selain itu, pemandu teksi ini juga sanggup mengikat perut untuk membeli patung berkenaan.
Prinsip hidupnya mudah. Mengumpul Kamen Rider Den-O bermakna dia sudah membuat pelaburan untuk masa depan. Itu saja cara menabung sebab dia memang jenis yang sukar menyimpan wang gaji.
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto ZAKARIA IDRIS
Foto ZAKARIA IDRIS
0 comments:
Catat Ulasan