Rabu, 8 Jun 2011

Nira kelapa Langkawi pilihan Din


Antara manisan kelapa dihasilkan oleh perusahaan DBH Jaya Enterprise yang sangat enak dimakan bersama ubi kayu rebus.
DIPERCAYAI mampu menyejukkan badan, mencuci buah pinggang, membantu menstabilkan darah serta membantu meredakan penyakit keputihan bagi golongan hawa itu antara khasiat nira kelapa bagi masyarakat Melayu dahulu.
Kini, minuman berkhasiat itu kembali dipopularkan oleh seorang pengusaha produk Manisan Kelapa Pandan di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Dikenali sebagai Din Hashim, dia pada mulanya hanya berminat menanam kelapa pandan untuk pengeluaran air minuman sahaja.
‘‘Saya mula menanam kelapa pandan pada tahun 2004 sebanyak 350 pokok namun yang digunakan untuk menghasilkan nira hanya 100 pokok sahaja.
‘‘Malah perniagaan awal saya adalah menjual kelapa muda untuk diminum berikutan ia mempunyai nilai pasaran yang tinggi di Langkawi,” ujarnya.
Jelas Din, di Langkawi air kelapa muda daripada kelapa pandan ini amat popular di kalangan pelancong.
‘‘Suatu hari, beberapa sahabat saya mencadangkan saya mencuba untuk menghasilkan nira untuk minuman sendiri.
“Pada peringkat awal agak sukar kerana saya tidak memiliki kemahiran untuk memungut nira tetapi saya banyak bertanya kepada orang kampung yang lebih pandai,” katanya.
Setelah merasai sendiri keenakan nira, timbul idea untuk beralih arah daripada mengeluarkan kelapa muda kepada nira dan manisan kelapa.
Kata Din lagi, nira kelapa yang dipungut daripada kelapa pandan berbeza daripada kelapa biasa berikutan bau serta rasa nira tersebut yang lebih enak.
Produk manisan dan nira kelapa yang diusahakan Din kini dipasarkan di sekitar Langkawi sahaja berikutan produk tersebut masih baru jika dibandingkan dengan nira nipah.
Biarpun begitu, sambutan yang diterimanya amat menggalakkan sehinggakan nira kelapa tersebut berjaya menembusi pasaran Pulau Pinang.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, pastinya ada kepayahan serta cabaran yang tersendiri.
Ujar Din, mengambil atau memungut nira kelapa bukanlah semudah memungut kelapa muda.
‘‘Ia perlu dilakukan berhati-hati dan mengambil masa, malah pemungut juga perlu memiliki kemahiran yang tertentu.
“Malah, nira kelapa mengambil masa yang panjang untuk keluar dan perlu ditadah dan dipungut setiap hari,” katanya.
Jelasnya, pengeluaran nira kelapa melibatkan beberapa peringkat.
Menurut Din, penghasilan nira juga bergantung kepada keadaan cuaca, tidak boleh terlalu lembap mahupun terlalu panas.
Untuk menghasilkan manisan kelapa pula, nira yang dipungut perlu dipanaskan selama enam hingga tujuh jam sehingga kandungan air di dalam nira berkurangan dan ia menjadi pekat.
Manisan yang dihasilkan akan berwarna gelap ke perangan dan enak dimakan bersama ubi kayu rebus.
Selain itu, nira juga boleh dimasak lebih lama untuk dijadikan gula kabung pengganti kepada gula pasir.
Cabaran utama perusahaan manisan kelapa beliau kini adalah masalah kekurangan pekerja, hal demikian kerana kerja-kerja memungut, membersih, menapis serta memproses nira tersebut perlu dilakukan setiap hari.
“Kini saya hanya mempunyai dua orang pekerja sahaja manakala selebihnya dibantu oleh keluarga.
“Jika dapat ditambah pekerja, mungkin kerja-kerja tersebut dapat dilakukan dengan lebih pantas dan produk tersebut dapat dikeluarkan dengan lebih banyak,” katanya.
Ketika diajukan soalan apakah perancangan dimasa akan datang, beliau berkata, jika tiada aral melintang perusahaan tersebut akan dikembangkan lagi.
Malah, katanya, beliau dalam proses menghasilkan cuka daripada nira kelapa.
“Menurut orang yang lebih pandai, cuka kelapa ini dipercayai boleh digunakan untuk mengubati penyakit gout,” ujarnya.
Justeru, mempelbagaikan produk dilihat dapat menambah pendapatan beliau di dalam sektor perusahaan tersebut.
Perusahaan beliau juga mendapat perhatian Jabatan Pertanian Langkawi apabila agensi tersebut turut menyumbangkan bantuan dari segi peralatan seperti mesin dan bengkel untuk memproses nira.
Kini, apa yang perlu bagi memastikan produk beliau dikenali ramai adalah usaha mempromosi secara berterusan.
Malah ujarnya, cara pembungkusan yang menarik juga perlu dititikberatkan agar produknya dapat menarik minat pembeli untuk merasai seterusnya menjadi pengguna setia manisan kelapa.
Kini, pendapatan kasar beliau mampu mencecah ribuan ringgit sebulan dan ia pastinya mampu mengubah kehidupan sederhana beliau selama ini kepada yang lebih baik.
Bagi yang berminat untuk mendapat produk manisan kelapa ini boleh menghubungi Din di talian 012-4751306 atau terus ke gerai beliau dialamat Bukit Hantu, Padang Gaong, Mk. Ulu Melaka, Langkawi Kedah.

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Gambar RAZAK LATIF

0 comments: