Khamis, 30 Jun 2011

Masjid Negara dekati anak yatim


Ehsan Mohd. Hosni (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin.

DARIPADA Abu Umamah, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan, dan barang siapa berbuat baik kepada anak yatim perempuan atau laki-laki yang dia asuh, adalah aku bersama dia di Syurga seperti ini, beliau mensejajarkan dua jari-nya."
Demikianlah, ajaran Islam yang memberi kedudukan yang tinggi kepada anak-anak yatim dengan memerintahkan kaum Muslimin berbuat baik dan memuliakan mereka.
Malah dengan berbuat baik itu, mereka bakal beroleh balasan pahala yang besar.
Bertitik-tolak daripada hadis yang menyentuh akan saranan berlaku baik terhadap anak-anak yatim maka pada 22 Jun lalu, terlaksanalah program Lawatan dan Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor anjuran Masjid Negara.
Program yang bermula pukul 11 pagi Rabu itu adalah salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara. Ia merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di rumah anak-anak yatim terpilih dari sekitar Lembah Klang.
Program itu dihadiri oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah dan Ibadah Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni yang mewakili Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad. Turut serta, 20 pegawai serta kakitangan Masjid Negara.
Setibanya di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin itu, mereka disambut oleh Pengurus merangkap Pengerusinya, Nor Haniza Shahbaki.
Pada pengisian program itu, sumbangan berupa hamper, barang keperluan dan wang tunai diserahkan kepada kira-kira 100 anak-anak yatim dan asnaf yang berumur antara setahun sehingga 17 tahun.
Rumah ini ditubuhkan pada Januari 2010. Ia beroperasi di Lot 839, Jalan Aman, Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Penubuhan rumah kebajikan ini dibuat atas dasar tanggungjawab sosial untuk melihat generasi yang lahir dalam kalangan anak-anak yatim dan asnaf lebih terbina sahsiah serta keperibadian dan mempunyai asas pendidikan yang kukuh.
Selain itu, rumah ini diusaha dan diuruskan oleh Molyana Mahmud dan beberapa tenaga sokongan serta sukarelawan.
Berbalik kepada objektif utamanya, program ini bertujuan mengeratkan hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan petugas dan anak-anak yatim di rumah tersebut, di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat.
Semoga dengan ziarah dan sumbangan yang kecil ini, ia dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada anak-anak yatim di situ.
Selain itu, program ini juga diharap dapat mendidik dan mendekatkan lagi kakitangan Masjid Negara dengan masyarakat luar di mana ia berperanan dan dianggap sebagai memenuhi tanggungjawab sosial.
Bagi pihak Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin ini pula, sebagai sebuah organisasi yang bergerak secara sukarela, pengurusan rumah ini mempunyai keterbatasan untuk mengatur kegiatan menjana kewangan.
Namun, keperluan untuk menggiatkan aktiviti kepada penghuni harus dilaksanakan secara berterusan.
Justeru itu, keprihatinan masyarakat, institusi dan organisasi korporat amatlah diharapkan untuk membantu ke arah merealisasikan harapan tersebut.
Bagi pihak Masjid Negara, diharap program begini sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai.
"Ia demi kelangsungan aktiviti pengimarahan masjid sebagai institusi merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia, khasnya dan di dunia, amnya," katanya.

0 comments: