MERAIKAN ulangtahun ke-16 pembabitan dalam bidang seni bersama mereka yang banyak membantu dirinya. |
Malam minggu yang lalu, melalui majlis Jom Kopi-Kopi Bersama Haiza, dia membuktikan kewujudannya dalam arena muzik tanah air bukan sekadar tempelan. Dalam majlis meraikan dirinya itu, air mata anak kelahiran Benut, Pontian, Johor ini tumpah.
Dalam emosi yang bercampur-baur, Haiza tidak dapat menahan sebak bila menyanyikan lagu Kasih Ibu. Membawa kedua ibu-bapanya naik ke pentas, ternyata emosi pilu menguasai ruang dalam dewan tersebut.
Sudah tentu kedua-dua insan tersebut merupakan orang yang paling banyak memberi dorongan kepada Haiza untuk duduk sampai ke tahap ini.
Dua jam larut dalam emosi, ternyata bakat yang ada dalam diri Haiza bukan calang-calang. Dia boleh menyanyikan apa sahaja lagu dan hampir 200 peminat setianya terbuai dengan alunan lagu asli, joget Melayu dan zapin yang dipersembahkan.
Paling istimewa apabila Haiza menyanyikan lagu Di Sebalik Sejuta Wajah yang dipopularkan oleh Shima satu ketika dahulu. Inilah kali kedua dia menyanyikan lagu tersebut setelah gagal dalam percubaannya pada tahun 1994 dulu.
“Haiza masih ingat ketika ada uji bakat untuk jadi penyanyi di Sound Studio Komtar, Johor Bahru pada tahun tu. Haiza nyanyi lagu ni dan bila sampai kepada korus, suara Haiza tak sampai. Memang rasa malu sebab gagal dan sampai hari ini Haiza tak pernah nyanyi lagi.
“Malam ini, Haiza sampaikan semula lagu yang pernah buat Haiza kecewa dan syukurlah semuanya berjaya. Memang lagu ini cukup istimewa buat saya,” kata Haiza ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Tapi apa yang menimbulkan tanda tanya bila kelibat suaminya tidak kelihatan. Sedangkan pada saat-saat begini seharusnya dia berkongsi rasa dengan orang yang cukup banyak memberikan semangat kepadanya.
“Memang Haiza sedih sebab Hanapfe tak bersama. Tapi apa nak buat, atas urusan kerja dia terpaksa ke India. Sepatutnya dia ada sekali. Kita hanya merancang dan tuhan yang menentukan.
“Dan kehadiran ramai peminat Haiza dan artis-artis yang lain turun memberikan semangat dan galakan kepada Haiza secara peribadinya,” ujarnya lagi.
Menyifatkan perjalanan selama 16 tahun itu cukup mendewasakan, dia tahu dalam tempoh itu sudah bermacam-macam orang yang ditemui. Daripada yang cukup ikhlas sehinggalah yang bermuka-muka, semuanya dirasai.
Tidak perlu mengukur kejayaan melalui anugerah yang diterima, bagi Haiza pengalaman yang dikutip selama ini cukup bermakna dan tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.
Majlis yang dianjurkan oleh MyOwn Entertaiment turut mendapat sentuhan Szemi Artistic & Gallery itu akan diadakan di kampung halaman penyanyi ini pada 16 Julai depan.
Bagi mereka yang berminat untuk turut serta boleh menghubungi talian 017-800462 atau datang terus ke Restoran Zainab Larut Malam di Bazaar Mara Benut, Pontian.
Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
0 comments:
Catat Ulasan