RAMAI di kalangan wanita yang berminat dan menyimpan keinginan untuk berniaga sendiri tetapi tidak pasti perniagaan yang ingin diceburi.
Kebuntuan itu mungkin dapat dileraikan apabila mereka berpeluang untuk mengunjungi pusat-pusat borong terbesar terutama di China dan Vietnam.
Kunjungan ke tempat-tempat seperti ini mungkin mampu membuka mata terhadap potensi perniagaan yang boleh diceburi.
Ini diakui sendiri oleh Pengarah Anzac Consultancy, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, yang giat menjalankan program memborong dari kedua-dua negara tersebut.
Dengan menyasarkan individu yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan khususnya wanita, anak muda ini berkongsi berpengalaman dan pengetahuan tentang urus niaga borong termasuk membawa mereka ke pusat-pusat borong terbesar.
Terbaru beliau telah membawa sekumpulan peniaga kecil ke pusat-pusat borong di bandar Ho Chi Minh di Vietnam.
Bandar yang dulunya dikenali sebagai Saigon ini pernah menjadi pusat utama bagi askar Amerika Syarikat sewaktu perang Vietnam dulu dan kini menjadi pusat beli-belah untuk pemborong dari Malaysia.
Menurut Shahabudeen, tarikan utama di bandar ini adalah pakaian-pakaian siap seperti baju kurung dengan manik-manik yang bergemerlapan, telekung dengan ukiran bunga-bunga yang cantik, tudung bawal dan kain-kain ela yang murah.
"Semua barangan ini boleh dibeli untuk kegunaan sendiri mahupun untuk perniagaan.
"Barangan yang dibeli secara borong ini boleh dijual dengan harga dua atau tiga kali ganda mengikut harga pasaran di Malaysia," katanya.
Menurutnya, lokasi borong utama adalah pasar Ben Tanh yang menempatkan hampir 3,000 kedai yang menjual pelbagai jenis barangan.
Bahkan tempat ini merupakan tarikan utama pelancong-pelancong dari seluruh dunia.
Di sini terdapat pelbagai jenis barangan seperti kraf tangan, baju T, kemeja, beg tangan, kain sutera dan aksesori wanita.
Selain dari itu terdapat juga barangan yang lebih kelakian seperti pakaian-pakaian sukan, kasut sukan, raket badminton dan beg-beg kembara.
"Mungkin disebabkan terlalu ramai orang Malaysia yang ke sini, peniaga-peniaga di sini sudah mahir berbahasa Melayu.
"Mana-mana kita pergi kita akan disambut dengan ucapan 'Selamat datang abang-abang, kakak-kakak'. Selain itu mereka juga mengetahui dengan terperinci kehendak dan cita rasa rakyat Malaysia," katanya.
Pada hari kedua pula, rombongan akan dibawa melawat satu lagi pusat borong utama iaitu pasar Ben Lay atau lebih dikenali sebagai China Town.
Di sini menurut Shahabudeen banyak terdapat barangan kanak-kanak, kasut, kain ela, serta beribu pilihan pakaian bayi dalam pelbagai warna dan rupa bentuk.
"Mereka yang masuk ke sini pasti akan rambang mata dengan pilihan-pilihan yang ditawarkan.
"Tetapi tidak seperti di Ben Tanh, peniaga di sini jarang mahu menjual secara runcit.
"Mereka kebanyakan hanya melayan pelanggan yang mahu membeli secara borong atau pukal.
"Namun barangan di sini lebih murah dan sesuai untuk mereka yang ingin memborong secara pukal," katanya.
Selain dua tempat tersebut, rombongan juga dibawa ke tiga pasar raya besar di bandar itu iaitu Plaza Diamond, Saigon Tax Trade Center dan Parkson Department Store serta tempat membeli-belah lain di Vietnam iaitu pusat memborong An Dong, Binh Tay di Cho Lon dan sebagainya.
Selain daripada memborong, menurut Shahabudeen, bandar Ho Chi Minh juga sangat terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri.
Terdapat banyak peninggalan sejarah seperti kereta kebal, jet pejuang, bom dan pelbagai senjata lain yang dipamerkan di muzium di sini.
Bagi yang berminat untuk mengikut lawatan memborong ke Vietnam tarikh terdekat ialah pada 8 hingga 10 Julai ini.
Untuk Keterangan lanjut boleh hubungi 017-2517515 (Nurul) atau layari laman web http://www.kbc.my/.
Tips semasa membeli-belah di Vietnam
- Jika anda nampak barangan tidak mempunyai tanda harga, maknanya harga itu boleh dirunding.
- Semasa berunding harga dengan peniaga di sana pula, pastikan anda minta sehingga tiga kali murah dari harga sebenar.
- Jika anda dapati rundingan harga kurang berjaya, anda cuba pergi dari kedai tersebut dan anda akan terperanjat, peniaga kedai rundingan tadi akan memanggil anda semula bersetuju dengan harga yang dirundingkan tadi.
kredit: akhbar online
0 comments:
Catat Ulasan