Ahad, 5 Jun 2011

Angin baru Karl Shafek


Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
BUKAN mudah untuk sampai ke tahap ini. Banyak rintangan yang harus dilalui oleh lelaki ini biarpun pada dasarnya ramai melihat limpahan populariti menyalut tubuhnya sejak mula terlibat dalam bidang pengacaraan.
Bukan soal populariti yang menjadi pertikaian, tetapi soal kemampuan seseorang pengacara itu menjadi hal yang terbesar sama ada dapat menarik perhatian penonton atau tidak. Ramai yang bersetuju isu populariti begitu penting bagi seseorang pengacara.
Cuma kalau hanya segelintir nama-nama sahaja yang diberi peluang besar, bosan juga. Bukan menidakkan daya penarik pengacara yang sudah popular, cuma ruang dan peluang juga harus dibuka pada mereka yang masih baru ini.
Cukup bersetuju dengan hal itu, pengacara Hip TV yang cukup ramah ini ada alasan tersendiri. Bagi Karl Shafek Ibrahim seseorang pengacara itu perlu popular tetapi tidak di sebalik semua itu, mereka juga perlukan pengalaman dan bekalan ilmu.
“Sukar sebenarnya untuk mentafsir apa juga kemahuan penonton. Sebab itu seseorang pengacara perlu popular, berpengalaman dan berilmu untuk mengemudi sesebuah rancangan.
“Biarpun saya masih baru dalam bidang ini, saya yakin pengalaman yang ada sedikit sebanyak membantu saya untuk mengemudi sesebuah rancangan itu.
“Bila melihatkan maklum balas daripada peminat, saya tahu ramai yang suka dengan cara penyampaian saya. Mengemudi Hip TV merupakan pengalaman yang cukup berbeza.
“Ia bukan rancangan gosip tetapi lebih kepada infotainment. Jadi lenggoknya kena lain dan sedikit sopan. Tapi tidak juga serius dan lebih santai,” kata pemuda berusia 31 tahun ini lagi.
Selain mengacara Hip TV, wajah Shafek juga pernah menghiasi beberapa rancangan lain. Diberi peranan sebagai pengacara bermula tahun 2004, nama Shafek semakin mekar bila bersama rancangan Chop! untuk TV9.
Tahun ini kerjaya lelaki asal Pekan, Pahang ini kembali hangat bila bergandingan bersama Fizo Omar untuk rancangan 3 Hari 2 Malam. Mengembara ke serata Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, membuatkan dia teruja.
Bagi Shafek pengalaman mengembara ke tempat orang cukup membuka matanya. Banyak sungguh pengalaman baru yang dikumpul bersama teman baiknya itu apatah lagi mereka bebas melontarkan idea untuk memberi kelainan.
“Hip TV dan rancangan 3 Hari 2 Malam merupakan dua sisi yang berbeza. Sebab itu sebagai pengacara kita perlu memberi kelainan agar dapat menarik minat penonton untuk melekat di depan tv.
“Saya juga tak mahu orang kata saya sama dalam kedua-dua rancangan. Bila orang kata kita masih dalam sisi yang sama, itu tak berapa nak bagus dan saya perlu belajar banyak perkara lagi,” kata Shafek yang akan muncul sebagai pengacara Teh Tarik F&N tidak lama lagi.
Menjadi ikutan ramai peminat sedikit sebanyak membuktikan yang kehadiran dirinya diterima ramai. Bukan tidak percaya pada penerimaan yang diberikan tetapi bagi Shafek masih banyak perkara yang belum diterokainya.
Melihat Ally Iskandar dan Aznil Haji Nawawi sebagai contoh ikutan, dia yakin satu masa nanti dia juga mampu mencipta fenomena seperti mana yang pernah dilalui oleh dia ikon tersebut.
“Sejujurnya saya juga banyak menonton rancangan luar negara untuk dijadikan panduan. Banyak pengacara luar bagus-bagus yang mencetuskan minat satu dunia. Barangkali ada perkara baik boleh saya kutip untuk diri sendiri.
“Kalau kita syok sendiri sampai bila-bila tak ke mana. Sebaiknya baik saya tambah apa yang kurang. Ini semua untuk kebaikan saya juga,” katanya dalam nada yang cukup merendah diri.
Bagi peminat jejaka ini, anda boleh melayari www.facebook.com/Karl Shafek Ibrahim untuk maklumat lanjut.

0 comments: