Rabu, 8 Jun 2011

Mahu jadi Naruto


AZAM Husni antara kanak-kanak bertuah. Dia sering dihadiahkan mainan daripada bapanya, Mustafa'l Adnan Mat Saman. Kebanyakan barangan terdiri daripada robot, kereta dan patung askar. Namun, mainan paling disayangi adalah rangkaian barangan dari rancangan epik di ruangan angkasa lepas, Star Wars.
Rasa teruja selepas menonton program televisyen berkenaan membuahkan minat untuk memiliki salah satu patung dari watak berkenaan. Rengekan Azam akhirnya membuahkan hasil.
Bermula dari situlah lelaki berusia 40 tahun ini memulakan siri pengumpulan. Apa saja watak kartun di televisyen akan mendapat perhatiannya.
Bagaimanapun, minat Azam beralih kepada barangan siri manga Jepun, Naruto sejak tujuh lalu. Minatnya bercambah tatkala menonton salah satu siri daripada ratusan program animasi berkenaan.
"Saya terpikat dengan Naruto selepas 'layan' satu episod animasi. Dia punya cara tersendiri menyelesaikan satu masalah. Aksi yang dipaparkan juga buat saya betul-betul teruja," katanya dalam pertemuan baru-baru ini.
Bapa kepada lima orang anak ini tidak membuang masa terus memburu permainan Naruto pula. Ke merata tempat di seluruh Semenanjung Malaysia, dia terus mencari watak animasi berkenaan.
Apa saja bentuk barangan seperti patung kecil mewakili watak-watak dalam program berkenaan ingin saja dimiliki.
Tidak ketinggalan juga gambar-gambar lukisan tangan, cakera video digital (DVD) dan siri komik pelbagai bahasa dan versi.
Kesemuanya dikumpul secara berdikit sehingga ruangan bilik di kediamannya di Hulu Langat, Selangor cukup padat. Apabila semua 'harta benda' permainan termasuk Naruto dikumpulkan di situ.
Malah, Azam turut menempah pakaian coplay dan membeli rambut palsu serta senjata persis watak utama itu. Semuanya dilakukan sebagai bukti dia peminat tegar animasi berkenaan.
Mengulas tentang perkara utama yang menyebabkan Azam minat terhadap Naruto, dia mengatakan bahawa watak lelaki berkenaan cukup bijak untuk menyelesaikan masalah.
Kebanyakan resolusi permasalahan yang diketengahkan pada setiap siri rancangan berkenaan digunakan sebagai panduan dalam rutin hariannya.
Ditanya sampai bila Azam akan merasa puas hati dengan koleksi Naruto miliknya, anak ketiga dari empat beradik ini segera menggelengkan kepala.
Katanya, dia tak akan berhenti dari menjadi pemburu mainan. Biarpun ada yang mengatakan itu adalah tindakan sia-sia.
Namun Azam tidak akan mengakhirkan siri pemburuan kerana dia tahu hobinya itu bakal memberi manfaat tersendiri kepadanya.

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

0 comments: