Khamis, 16 Jun 2011

Keluarga besar Mahligai Qaseh


Norlina Alawi bersama Roslan Zakaria dan keluarga besar KBNAB pada majlis perasmian Butik Norlina, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Saban hari jumlah penghidap HIV/AIDS di negara ini terus meningkat. Kalau dilihat kepada jumlah angkanya memang amat membimbangkan, seperti mana gerunnya orang ramai terhadap penyakit itu.
Lebih menyedihkan apabila penghidap HIV/AIDS itu juga telah melibatkan golongan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Bagi menyelamatkan kanak-kanak ini, sesungguhnya setiap anggota masyarakat tidak boleh memandang sepi terhadap masalah ini sebaliknya harus bersama untuk bertanggungjawab membantu mereka.
Ini kerana anak-anak ini bukan dilahirkan untuk disisih, dicerca atau dipandang hina oleh masyarakat sekalipun mereka adalah pembawa dan penghidap HIV/AIDS
Kanak-kanak HIV/AIDSjuga perlu hidup seperti kanak-kanak yang lain.
Dengan adanya insan seperti Norlina Alawi, 40, yang sanggup mengabdikan seluruh kehidupannya untuk memelihara anak-anak ini sejak 2001 memang sukar dicari.
Norlina yang merupakan ibu kepada tujuh anak dan isteri kepada Roslan Zakaria memang cekal kerana sehingga kini memelihara lebih 40 anak angkat.
Kisahnya bermula selepas memberikan perlindungan kepada seorang wanita berusia 23 tahun yang cacat pendengaran telah disahkan menghidap HIV semasa mengandung anak luar nikah dengan teman lelakinya seorang penagih dadah.
Norlina kemudian mengambil anak itu bukan sahaja sebagai anak angkat malah anak susuannya.
Semenjak itu beliau mula memberikan perlindungan terhadap kanak-kanak HIV/AIDS yang terabai dari keluarga sendiri serta kematian ahli keluarga sehinggalah tertubuhnya Pusat Perlindungan Persatuan Kebajikan Anak pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (PERNIM).
"Saya juga tidak mahu anak-anak terus mendapat malu kerana diejek dan ditohmah sebagai peminta sedekah dan sebagainya lagi,'' begitulah luahan dalam nada sebak Norlina pengasas PERNIM.
PERNIM kini dikenali sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB).
Baru-baru ini KBNAB membuka Butik Norlina yang juga menjadi Pusat Perkongsian Konsep Mahligai Qaseh yang mana perasmiannya dilakukan oleh Isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Puan Sri Norhashimah Hashim.
"Butik ini juga dibuka bagi melatih anak-anak berdikari demi untuk bersama-sama menyara keluarga yang besar ini,'' katanya dalam ucapan pembukaan butik itu di G11, Aras 2, Pusat Membeli-Belah Pandan Kapital, Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Katanya, butik kedua itu selepas yang pertama di Wisma Jakel, Jalan Tunku Abdul Rahman, perniagaan katering dan pendapatan suaminya disalurkan sepenuhnya untuk keperluan KBNAB.
Norlina berkata, sehingga kini keperluan kewangan keluarga itu semakin besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit yang meliputi keperluan persekolahan seperti tambang bas sekolah, belanja sekolah, perbelanjaan harian, yuran, perubatan, sewa rumah, perbelanjaan pejabat, bil eletrik, bil telefon, bil air, pengasuh dan juga makanan.
"Melalui perniagaan ini juga diharap akan dapat menampung keperluan harian dan juga mengelak dari bergantung harap kepada orang lain semata-mata,'' katanya.
Beliau berharap akan dapat mengembangkan lagi perniagaannya supaya dapat membimbing anak-anak KBNAB di kemudian hari.
Butik ini bukan sahaja menjual pakaian busana muslimah seperti jubah malah juga tudung yang menggunakan fabrik broked lycra dan cotton yang diimport khas.
Selain itu butik ini juga menjual produk jus, sabun dan wangian dari German yang mengandungi pelbagai jenis bunga tanpa alkohol dan boleh dibawa sembahyang.

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar SHEFRY MONIZ

1 comments: