Ahad, 5 Jun 2011

Faiz belum sedia ke Kuala Lumpur


SEKITAR tiga tahun lalu Syed Faiz Zulfadli mencuba nasib menyertai satu pertandingan pencarian bakat baru untuk peragaan di tempatnya, Pulau Pinang. Walaupun tidak mendapat gelaran, dia mula mendapat peluang dalam peragaan.
Bukanlah peragaan berskala besar sebaliknya lebih ke arah memperaga untuk butik pengantin di sekitar Pulau Pinang sahaja. Bila sudah menimba sedikit pengalaman, Faiz semakin berminat.
Sebab itulah Faiz menyertai sebuah agensi peragaan. Di bawah agensi itu dia belajar pasal teknik peragaan dan sesi keterampilan diri dan dia semakin serius dalam bidang peragaan.
“Saya jadikan kerja sambilan sahaja sebab saya ada kerja tetap. Kebetulan kerja saya tidak terganggu dengan pembabitan saya dalam peragaan,” kata Faiz yang bekerja di sebuah bank.
Tahun ini dia turut menyertai beberapa pertandingan serupa untuk mengenengahkan diri. Antaranya Vogue For Virtue yang diadakan di pusat membeli-belah Queensbay Mall, baru-baru ini. Satu lagi pertandingan yang disertainya ialah Mr. Manhunt Megamall juga di Pulau Pinang.
“Dalam kedua-dua pertandingan itu saya layak ke final. Muka saya ini semakin dikenali sebab kerap menyertai pertandingan di Pulau Pinang ini,” katanya kepada Pancaindera.
Malah sebuah pertandingan pencarian bakat baru di Kuala Lumpur juga turut disertainya. Dia akan datang ke Kuala Lumpur untuk sesi saringan. Selepas itu pihak penganjur akan membuka peluang kepada peminat untuk membuat undian.
Sebanyak 50 peratus undian akan dicampur dengan markah juri bagi menentukan pemenang. Dia mahu mencari pengalaman di Kuala Lumpur pula.
“Saya juga mengharapkan pendedahan yang sama bila menyertai Pencarian Kacak Bergaya ni. Saya harap akan dapat mengembangkan kerjaya ini ke peringkat yang lebih tinggi,” kata anak muda berdarah kacukan Melayu, Arab dan Pakistan itu.
Walaupun tahu peluang peragaan lebih luas di Kuala Lumpur, namun Faiz belum bersedia untuk berpindah. Apatah lagi dia mempunyai kerja tetap di Pulau Pinang.
“Saya tak pernah keluar bekerja di luar Pulau Pinang. Bukannya tak suka, tapi komitmen saya banyak di sini,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Walaupun datang dari Pulau Pinang, Faiz kurang menggemari nasi kandar, sebaliknya memilih masakan Melayu sebagai menu utama.
Selain menyemak emel dan berkomunikasi melalui laman sosial, Faiz sebenarnya memanfaatkan internet untuk menambahkan pengetahuan, khususnya yang berkaitan dengan kerjayanya di bank.
“Kita juga kena tahu apa yang pihak bank lain tawarkan kerana kita mahu memberi manfaat terbaik kepada pelanggan,” jelasnya.

Oleh ROSLI MANAH

0 comments: