Khamis, 14 April 2011

Bayaran pasport terhad ke Brunei diturunkan kepada RM50


LIMBANG 14 April – Kadar bayaran Pasport Terhad ke Brunei (PTB) bagi penduduk Sarawak dan Sabah akan dikurangkan kepada RM50 daripada RM150 berkuatkuasa 1 Mei ini, demikian diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa semua warga kerja Jabatan Imigresen akan menikmati pasport secara percuma.

Berucap merasmikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tedungan bernilai RM37.5 juta, beliau berkata bahawa mulai 1 Ogos tahun ini Malaysia dan Brunei akan melaksanakan projek perintis Frequent Travellers Facility (FTF) yang akan dilaksanakan di Sungai Tujoh di Miri, Tedungan dan Pandaruan di Limbang yang akan memberi manfaat kepada mereka yang sering berulang-alik antara kedua-dua negara.

"Apabila dilaksanakan, kemudahan ini akan hanya memerlukan endorsement cop (pengesahan) sekali bagi setiap tempoh 30 hari kemasukan berbanding kini, endorsement cop perlu dibuat setiap kali melalui pintu masuk dan keluar.

"Ini bermakna bukan sahaja proses keluar masuk akan dapat disegerakan, malah akan menjimatkan ruang muka surat di pasport yang perlu dicop, dan rakyat kedua-dua buah negara yang kerap keluar masuk tidak perlu untuk kerap menukar pasport mereka kerana kehabisan ruangan sebagaimana kini,” katanya.

Najib berkata kemudahan pasport percuma kepada 10,400 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen seluruh negara adalah sebagai menghargai tugas yang mereka jalankan dengan cemerlang.

“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang akan diberikan oleh kerajaan sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap kecemerlangan Jabatan Imigresen,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, pembinaan kompleks ICQS Tedungan bermula pada 2006 dan siap pada 2009.

"Pada tahun 2010 seramai 2,097,796 orang telah melalui kompleks ini,” katanya.

Kompleks itu merupakan projek Kementerian Dalam Negeri yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk negeri Sarawak, kata Hishammuddin.

Selain kompleks ICQS Tedungan, terdapat tiga lagi kompleks yang serupa telah siap dibina dalam RMK-9 di Sarawak iaitu Kompleks ICQS Pandaruan di Limbang dan ICQS Sungai Tujoh di Miri serta ICQS Biawak di Lundu.

Hishammuddin berkata, bahawa dalam Rancangan Malaysia Ke-10 bagi Fasa 1 iaitu tahun 2011 hingga 2012, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM59.6 juta melibatkan pelaksanaan 11 projek di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk Sarawak. - Bernama

0 comments: