Rabu, 27 April 2011

Fenomena Maharaja Lawak


DI kala kebanyakan program realiti televisyen (TV) berteraskan nyanyian semakin kurang mendapat perhatian, pertandingan lawak jenaka seperti Maharaja Lawak pula yang terus bertahan dan popular di hati para penonton ketika ini.
Ramai peminat yang mungkin bosan dengan program realiti TV nyanyian yang sekadar menampilkan kejutan-kejutan yang sudah boleh diduga, selain bakat-bakat pesertanya yang dikatakan cuma bertaraf penyanyi karaoke sahaja.
Maharaja Lawak yang merupakan lanjutan daripada rancangan Raja Lawak yang telah muncul menerusi saluran Astro Prima sejak lima tahun lalu di mana ia semakin mendapat sambutan menggalakkan para peminat sejak kebelakangan ini.
Rancangan itu misalnya, mencetuskan fenomena apabila bilangan penonton yang menyaksikannya semakin meningkat bukan sahaja melalui kaca TV tetapi juga sewaktu ia bersiaran secara langsung di Studio Finas, Hulu Klang, Selangor.
Setiap minggu, Studio Finas diserbu lebih 500 peminat yang ingin menyaksikan siaran langsung Maharaja Lawak sehingga menimbulkan suasana kecoh kerana studio itu hanya mampu menampung sekitar 300 penonton sahaja pada satu-satu masa.
Seawal pukul 3 petang setiap Jumaat pintu masuk di Finas itu dikerumuni para peminat lawak jenaka yang ingin menonton Maharaja Lawak dari dekat biarpun siaran langsung pertandingan itu hanya bermula pada pukul 10 malam.
Malah, ekoran sambutan di luar dugaan itu, Astro turut memindahkan siaran Maharaja Lawak daripada Astro Prima ke Astro Warna di mana ia memaksa para penonton melanggan pakej baru itu bagi menyaksikan pertandingan tersebut.
Itu adalah penangan pertandingan Maharaja Lawak yang membariskan juara-juara Raja Lawak termasuklah Yus, Nabil, Sepah, Kecik dan Man serta finalis lain yang sudah terbukti mempunyai gaya lawak dan pengikut masing-masing.
Perkembangan itu menunjukkan pertandingan lawak jenaka lebih mudah menarik perhatian para penonton berbanding nyanyian kerana ramai yang mungkin boleh menyanyi, tetapi untuk membuat orang ketawa ia bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan.
Apatah lagi, baik Raja Lawak mahupun Maharaja Lawak telah menunjukkan peningkatan potensi, bakat dan idea lawak jenaka yang dipersembahkan oleh para pesertanya ke suatu aras yang boleh dibanggakan sejak akhir-akhir ini.
Gaya lawak-lawak bodoh atau slapstik semakin kurang digunapakai oleh pelawak generasi muda dalam Maharaja Lawak, malah pada masa sama mereka juga menunjukkan kreativiti dan pengisian bahan-bahan lawak yang lebih cerdik.
Elemen kritikan dan penerapan perkembangan isu-isu semasa yang digarap oleh para peserta Maharaja Lawak secara tidak langsung menyuntik kesedaran para penonton dalam pada mereka ketawa menonton program tersebut.
Dalam hal ini, Astro haruslah lebih bijak mengambil kesempatan daripada fenomena yang sedang berlaku itu bukan sahaja bagi melonjakkan lagi bilangan para penonton, tetapi juga dalam usaha mengeksploitasi para peserta Maharaja Lawak.
Sepatutnya, Astro menyediakan ruang lebih luas supaya lebih ramai penonton dapat menyaksikannya pada setiap kali siaran langsung pertandingan itu diadakan, misalnya di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sayangnya, apa yang berlaku sekarang ini mengecewakan para penonton kerana ramai yang tidak melanggan Astro Warna tidak berpeluang menonton Maharaja Lawak selain ruang di Studio Finas yang terhad.
Pada masa sama, promosi lebih banyak harus diadakan bagi mempromosikan Maharaja Lawak di samping tidak melupakan begitu sahaja para peserta Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima selepas pertandingan itu berakhir.
Ini kerana, ramai di antara mereka yang amat berbakat biarpun tersingkir kerana kurang mendapat undian yang 100 peratus ditentukan oleh khidmat pesanan ringkat (SMS) para penonton di kaca TV.
Semua itu boleh menarik perhatian para penonton yang kini semakin tertarik dengan pertandingan lawak jenaka di mana pada masa sama ia mampu meningkatkan lagi kualiti dan bilangan pelawak dalam dunia hiburan tempatan.
Jika Astro tidak melakukan sesuatu bagi memanfaatkan Maharaja Lawak tetapi lebih sibuk mengambil kesempatan meraih kutipan daripada bayaran langganan, fenomena itu tidak membantu perkembangan lawak jenaka di negara ini.
Apatah lagi, lawak jenaka memerlukan idea persembahan yang sesuai dengan pemikiran semasa, sama ada ia mampu menjadikan para penonton semakin cerdik atau sekadar memperbodoh-bodohkan mereka sahaja.
akhbar

0 comments: