Jumaat, 15 April 2011

Lima rakan nahas kereta bertembung lori tangki


Mangsa keluar bersiar-siar hilangkan trauma asrama diceroboh

Oleh Azman Mahmood dan Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my

JERTIH: Tindakan lima rakan karib bersiar-siar melepaskan trauma selepas bilik asrama mereka diceroboh bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka terbunuh selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 104 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Gerai, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kemalangan jam 6 pagi itu, kelima-lima pelajar jurusan kejururawatan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Cawangan Bachok, Kelantan, itu yang menaiki sebuah kereta dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke kampus mereka selepas keluar bersiar-siar di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Mangsa yang terbunuh ialah Noor Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor; Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru Atas Tol, Kuala Terengganu, dan Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, dari Taman Selamat Tanah Merah, Kelantan.

Sementara dua pelajar yang cedera parah ialah Bazilah Abdullah, 19, dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19, masing-masing berasal dari Kota Bharu dan Tanah Merah, Kelantan, manakala pemandu lori, Khairi Ayub, 43, dari Kampung Alor Keladi, Jertih, di sini hanya cedera ringan.

Dua daripada tiga mangsa yang terbunuh, Noor Diana yang juga pemandu kereta Perodua Viva dan Zur Irah mati di tempat kejadian manakala Nurul Shahidah, mati di Hospital Besut.

Dua lagi rakan mereka yang cedera parah di kepala, Bazilah dan Nur Adilah dirawat di Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu.
Rakan karib Noor Diana, Noor Ashikin Nasri, 19, berkata beliau juga diajak ke Kuala Terengganu, tetapi menolaknya kerana letih.

Katanya, semua rakannya bertolak jam 9 malam ke Kuala Terengganu malam kelmarin untuk makan angin dan menenangkan perasaan selepas terkejut dengan peristiwa asrama pelajar wanita diceroboh seorang lelaki pada waktu Subuh, Selasa lalu.

“Mereka trauma selepas melihat seorang lelaki bertopeng menceroboh masuk ke dalam asrama itu dengan memegang sebilah pisau menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menenangkan fikiran di Kuala Terengganu,” katanya ditemui di Hospital Besut, semalam.

Katanya, mangsa dipercayai ke Kuala Terengganu dengan meminjam kereta seorang rakan lain dan tidak tidur ketika berada di bandar raya itu sebaliknya beredar pulang selepas beberapa jam bersiar-siar di situ.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Nor Zainy Mohd Noor, berkata Nurul Shahidah yang tercampak keluar dari kereta meninggal di Hospital Besut kira-kira jam 7 pagi manakala Noor Diana dan Zur Irah maut di tempat kejadian.

3 comments:

ejulz berkata... Reply To This Comment

alfatihah.. semoga roh mereka diletakkan bersama2 org yg beriman.. amin

KatekateKite berkata... Reply To This Comment

sedihnye..... T_T

innalillah.........

♥namapenuh.blogspot.com♥ berkata... Reply To This Comment

ejulz.>al-fatihah.

Katekatekite.> :( innalillah...