Khamis, 14 April 2011

Pelalian HPV untuk remaja


Dari kiri Naib Presiden dan Pengurus Besar GlaxoSmithKline Pharmaceutical, Malaysia, Singapura dan Brunei, Luis Arosemena, Dr. David Quek dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Lokman Hakim Sulaiman, melancarkan program Pelalian HPV MMA untuk Remaja di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

DI peringkat dunia, kanser serviks adalah kanser kedua yang banyak menyebabkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. Ia membunuh seorang kaum Hawa dalam tempoh setiap dua minit.

Manakala di Malaysia, kanser serviks menjadi kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita selepas payu dara dan kolorektum.

Statistik Kanser Malaysia pada 2006 menunjukkan, kanser serviks merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser paling kerap di kalangan wanita di negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser serviks pada setiap tahun.

Laporan yang dikeluarkan WHO, kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dan perubatan menegaskan, hanya kaedah pelalian dijangka mampu mengurangkan dengan ketara risiko seseorang wanita diserang kanser serviks.

Justeru, bagi membantu wanita terselamat dari kanser serviks, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kini menjalankan Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA.

Program yang diusahakan dengan kerjasama dan sokongan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) itu mensasarkan gadis seawal usia 14 hingga 19 tahun bagi melindungi wanita diserang penyakit berkenaan dari peringkat muda.

Ia adalah usaha lanjutan daripada kempen pelalian kebangsaan untuk menentang human papillomavirus (HPV) yang dianjurkan Kementerian Kesihatan bermula Julai 2010 di kalangan gadis berusia 13 tahun.

Presiden MMA, Dr. David Quek berkata, melalui Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA, gadis sasaran akan mendapat faedah daripada pelalian kanser serviks yang ditawarkan pada harga akses.

Jelasnya, daripada tiga dos pelalian yang diperlukan, peserta akan dikenakan dua pada bayaran sebanayk RM466 dan dos ketiga diberikan secara percuma bagi memastikan mereka mendapat pelalian lengkap.

"Pendaftaran bagi program ini terbuka kepada semua gadis berusia antara 14 hingga 19 tahun, sebelum hari jadi mereka yang ke-20.

"Setiap gadis yang ingin menyertai program ini perlu mendapatkan tandatangan ibu bapa atau penjaga mereka pada Borang Pendaftaran Penerima Vaksin sebelum 31 Disember 2011, sebelum layak menerima pelalian HPV dalam tempoh enam bulan.

"Kini, sebanyak 80 klinik sudah bersetuju menyertai program kami dan usahasama dengan klinik lain sedang dalam rundingan bagi memastikan ia diuar-uarkan seluas-luasnya," katanya.

Quek memberitahu, kanser serviks adalah penyakit yang boleh dikesan pada peringkat paling awal. Ia mampu dielak melalui pelalian.
Jadi, MMA menggalakkan semua gadis dalam peringkat usia 14 hingga 19 tahun untuk mendapatkan pelalian HPV.

"Kami menganjurkan Program Pelalian HPV untuk Remaja MMA itu dari 1 Mac lalu hingga 31 Disember 2011 di Wilayah Persekutuan dan ia akan dilanjutkan ke seluruh negara mulai 1 Jun 2011 hingga akhir tahun ini.

"Bagi maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman web persatuan berkenaan di www.mma.org.my atau menghubungi talian hotline, 1800 22 8688.

"Orang ramai boleh mengajukan soalan-soalan mengenai kanser serviks, diberikan penerangan lanjut mengenai isu berkaitan penyakit ini dari jururawat bertauliah dan mendapatkan senarai klinik yang menyertai program ini," ujarnya.

0 comments: