Rabu, 27 April 2011

Guru hilang berjoging di Bukit Larut ditemui mati


NOORAZIEAH Zulkifli gagal mengawal emosi setelah mayat suaminya ditemui sehingga terpaksa ditenangkan saudara-mara dan anggota penyelamat di Bukit Larut, Taiping, semalam.
TAIPING 26 April - Seorang guru yang dilaporkan hilang semasa keluar berjoging seorang diri di Bukit Larut di sini, kelmarin, ditemui mati di sebuah gaung sedalam kira-kira 10 meter di kawasan bukit itu hari ini.
Mayat Abdullah Zubair Ismail, 27, dijumpai dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira lima kilometer dari kaki bukit itu, pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Diah berkata, siasatan awal polis percaya guru Sekolah Menengah King Edward VII di sini itu tergelincir semasa mendaki laluan curam dan licin di dalam hutan Bukit Larut.
"Sebaik sahaja ditemui oleh anggota penyelamat, mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Taiping untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Taiping, di sini hari ini.
Abdullah dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi, kelmarin.
Isterinya, Noorazieah Zulkifli, 26, yang juga seorang guru memberitahu, kali terakhir dia bertemu Abdullah semasa suaminya menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor, pada 18 April lalu.
Guru pelatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burung, Tanjung Karang itu, berkata, Abdullah ada menyatakan hasrat untuk berjoging di Bukit Larut semasa menghubunginya pada malam Sabtu lalu.
"Saya tidak menggalakkan dia berjoging di Bukit Larut sebab tahu dia agak kepenatan. Semasa kali terakhir berhubung dengan dia pada pukul 8.30 pagi kelmarin, suami saya cakap mahu keluar sarapan.
"Saya tidak sangka dia tetap ke Bukit Larut sehingga diberitahu tentang kehilangannya pada pagi semalam," ujarnya.

0 comments: