Rabu, 27 April 2011

Lagi filem seram ke pawagam


BULAN ini sahaja, sudah tiga filem bergenrekan seram ditayangkan di pawagam tempatan iaitu Dilarang Masuk pada 7 April lalu diikuti Senjakala (14 April) dan Penunggu Istana (21 April).
Terbaru, filem yang mendapat sentuhan dua pengarah muda, Pierre Andre dan Woo Ming Jin berjudul Seru bakal menemui penonton esok, 28 April.
Bagaimanapun, filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn. Bhd. itu mempertaruhkan sesuatu yang amat berbeza berbanding filem seram lain apabila memperkenalkan teknik pengendalian kamera secara hand held (tanpa tripod) sepenuhnya menerusi shot-shot yang dipaparkan.
Pada sesi pratonton filem berkenaan di pawagam TGV Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju baru-baru ini, Ming Jin menjelaskan, teknik hand held yang menghasilkan shot berbentuk slasher itu sudah lama diperkenalkan di negara-negara luar.
Katanya, dengan mempraktikkan teknik tersebut, ia sekaligus memberi kelainan terhadap filem Seru serta dijangka mampu menarik pencinta genre seram untuk menontonnya di pawagam.
"Ia adalah satu pendekatan baru yang kami gunakan untuk menyuntik elemen baru terhadap filem Seru supaya penonton tidak berasa bosan.
"Selaku pengarah, kami membuat kajian terhadap cita rasa penonton. Jadi, kami dapati, selera penonton selalu berubah-ubah.
"Oleh itu, kami yakin strategi kami ini akan berjaya membuatkan penonton memberi respons yang baik," ujar Ming Jin yang turut berkolaborasi bersama Pierre dalam menghasilkan lakon layar filem berkenaan.
Tambah pengarah filem Salon itu, peluang untuk mengarah sebuah filem bersama Pierre sungguh bermakna kerana anak bujang Khatijah Tan itu penuh dengan idea-idea menarik.
Dalam pada itu, pengarah muda Pierre memberitahu, filem Hollywood, Quarantine dijadikan bahan rujukan untuk mengarahkan filem Seru memandangkan filem berkenaan turut menggunakan konsep slasher.
"Idea untuk mengarahkan filem ini muncul apabila saya dan Ming Jin duduk bersama bagi menggarap sebuah filem berbentuk slasher yang masih asing di negara kita.
"Setelah mendapat idea, saya tidak berfikir panjang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah apatah lagi Ming Jin boleh diibaratkan sebagai sifu dan idola saya dalam bidang pengarahan.
"Selepas mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak TUSB, barulah mereka bersetuju untuk menjadi penerbit filem ini," jelas Pierre yang turut membuat penampilan istimewa dalam filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM1.48 juta itu.
Selain itu, tambah Pierre, gandingannya dan Ming Jin menghimpunkan idea yang lebih kreatif.
"Ketika penggambaran, saya lebih memberi tekanan terhadap aspek lakonan manakala Ming Jin lebih menitikberatkan aspek teknikal.
"Saya juga serasi bekerjasama dengannya dan bersedia untuk bergandingan sekali lagi jika diberi peluang," kata pengarah berusia 26 tahun itu.
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
akhbar

0 comments: