Jumaat, 29 April 2011

Sihat mulut, sihat badan


Pemeriksaan secara berkala penting untuk kesihatan gigi. - Gambar hiasan
PEPATAH Cina ada menyebut, mulut itu pintu masuk kepada kesihatan tubuh badan kerana semua penyakit datangnya dari mulut. Manakala semua masalah datangnya daripada pertuturan.
Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi, kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Dr. How Kim Chuan.
Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar.
Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang sentiasa terbentuk di gigi.
Antara simptom sakit periodontal ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan poket-poket periodontal, gigi longgar dan nafas berbau.
Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai kesakitan, kata Dr. Kim Chuan.
Mujurlah tanda-tanda keradangan itu dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan, motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya.
Ujarnya, terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan.
"Para penyelidik mendapati periodontitis (keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal, mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria.
" Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk.
"Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula dalam tubuh badan," terang Dr. Kim Chuan.
Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat dan strok.
Beliau menerangkan, plak gigi mungkin berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan mengehadkan aliran darah.
Penghasilan arteriosklerosis itu diburukkan lagi dengan mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung dan arteri otak yang menyebabkan strok.
Beliau menerangkan, penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang baik boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia jenis aspirasi.
Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing seperti makanan atau cecair yang menyebabkan iritasi kepada paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah, keradangan dan sakit pneumonia.
Bakteria di mulut ekoran kaviti dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr. Kim Chuan. - Bernama

0 comments: