Rabu, 27 April 2011

Industri tempatan berpeluang tingkat nilai eksport ke Jepun


KUALA LUMPUR 26 April – Beberapa industri tempatan terutama kayu-kayan dan petrokimia berpeluang meningkatkan jumlah eksport ke Jepun apabila negara itu merancang membangunkan semula wilayah yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada bulan lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan Jepun memperuntukkan bajet tambahan sebanyak RM147 bilion untuk membangunkan semula wilayah terjejas bencana itu.
“Ia termasuk menyasarkan untuk menyiapkan kira-kira 60,000 buah rumah sementara di kawasan itu pada Jun ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, industri petrokimia juga akan memperoleh manfaat jangka pendek apabila beberapa kilang petrokimia Jepun terpaksa ditutup atau beroperasi dengan kapasiti yang rendah.
Mukhriz berkata, Jepun merupakan rakan perdagangan terpenting di rantau Asia di mana perdagangan Malaysia ke negara itu telah mencatatkan purata peningkatan tahunan 3.2 peratus dari 2006 hingga 2010.
Tahun lalu, Jepun merupakan rakan dagangan dan destinasi eksport ketiga terbesar serta import terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua negara berjumlah RM132.8 bilion meningkat 23.3 peratus berbanding RM107.7 bilion pada 2009.
“Pada 2010, eksport Malaysia ke Jepun mencecah RM66.3 bilion manakala import bernilai RM66.5 bilion. Bagi tempoh Januari hingga Februari lalu pula eksport Malaysia ke Jepun adalah RM12.3 bilion manakala import RM10.3 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. 
akhbar

0 comments: