Isnin, 25 April 2011

Umrah makin popular


Jemaah umrah menziarahi makam golongan syuhada yang gugur di medan perang ketika mempertahankan Islam di Bukit Uhud.
KEADAAN ekonomi dunia Islam yang semakin baik memberi peluang kepada umat Islam mengerjakan haji dan umrah setiap tahun.
Walaupun kos mengerjakan haji dan umrah agak tinggi, umat Islam termasuk di Malaysia terus berlumba-lumba untuk ke tanah suci Mekah dan Madinah menunaikan ibadah haji dan umrah.
Mereka percaya menunaikan ibadah berkenaan tidak merugikan malah Allah membalasnya dengan menambah rezeki masing-masing.
Berdasarkan keyakinan inilah mendorong ramai jemaah umrah negara ini sanggup berkorban harta dan masa demi menyahut seruan Allah di Masjidil Haram sebagai tanda pengabdian mereka terhadap Pencipta Yang Maha Esa.
Masjidil Haram mempunyai kelebihan dan unik berbanding mana-mana tempat di dunia. Kemuliaan ini kerana ia terletak di bumi Makkah yang terdapat binaan Kaabah di dalamnya dan banyak dalil daripada al-Quran yang menyebut hubungkait antara Kaabah, Masjidil Haram serta Mekah secara umum.
Perkataan Masjidil Haram disebut sebanyak 15 kali dalam al-Quran yang menunjukkan kelebihan dan kemuliaan Masjidil Haram serta Mekah keseluruhannya.
Sehubungan itu ratusan ribu umat Islam membanjiri Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah pada setiap solat Jumaat terutama musim haji dan umrah.
Di samping menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di Masjidil Haram, pengunjung turut melaksanakan ibadah umrah.
Selain pengunjung daripada seluruh dunia, rakyat tempatan terutamanya dari Riyadh dan Kuwait membajiri Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sekali gus menunaikan ibadah Umrah.
Penulis bersama 44 jemaah Malaysia yang menunaikan umrah dikendalikan TH Travel sempat meninjau keadaan di Madinah dan Mekah di sepanjang 14 hari, baru-baru ini.
Keadaan cuaca yang tidak begitu panas amat selesa kepada jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melaksanakan ibadah.
Ketika tiba di Madinah penulis bersama jemaah lain sempat solat lima waktu di Madinah selama tiga hari di samping melakukan solat sunat di Raudah yang dikatakan salah satu taman di syurga dan tempat doa yang paling mustajab.
Selepas itu jemaah menziarahi makam Rasulullah selain makam Khalifah Islam Pertama, Saidina Abu Bakar Al Sidek dan Khalifah Kedua, Umar Al-Khattab.
Sebelum berangkat ke Mekah pada pukul 3 petang hari keempat (24 Mac 2011), jemaah dibawa melawat ladang unta dan pasar kurma.
Di Bir Ali jemaah memakai ihram dan berniat umrah sebelum meneruskan perjalanan enam jam menuju Mekah.
Sepanjang jalan jemaah mengambil kesempatan tidur dan berehat sehingga sampai ke Kota Mekah pada pukul 9 malam.
Selepas menyimpan beg pakaian di hotel yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Masjidil Haram, jemaah bersama-sama melaksanakan ibadah tawaf dan saie yang menjadi syarat wajib untuk ibadah umrah.
Seorang jemaah, Siti Zabidah Setia, 52, berkata, beliau bersama suami mengambil masa kira-kira dua jam mengelilingi Kaabah dan saie.
“Kami menyelesaikan ibadah ini pada kira-kira pukul 2 pagi dan pulang ke hotel penginapan untuk berehat dan tidur sementara menunggu waktu solat subuh,” katanya.
Humaidi Hasan, 47, yang menunaikan haji pada tahun 2003 juga puas hati mengikuti rombongan umrah itu.
Katanya, bersama-sama dengan jemaah lebih muda usianya beliau berkesempatan masuk ke Gua Hira’ tempat Rasulullah mula-mula menerima wahyu Allah melalui Malaikat Jibril.
“Kami juga sempat mendaki bukit menuju Gua Tsur dengan menimba pengalaman yang tidak mudah dilupakan sepanjang hayat,” katanya.
Selain itu, para jemaah turut melawat Bukit Rahmah yang dikatakan tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah dari syurga beratus tahun lamanya.
Sementara itu, Ketua Rombongan TH Travel, Akmar Abdul Rahim berkata, selain kemudahan kapal terbang dan penginapan, anak syarikat Lembaga Tabung Haji (LTH) turut menyediakan makan dan minum jemaah di premis hotel sama ada di Madinah mahupun Mekah.
Katanya, pelaksanaan ibadah umrah kali ini berjalan lancar walaupun ada beberapa cabaran yang terpaksa dilalui jemaah.
“Kebanyakan jemaah gembira kerana dapat menjalankan ibadah umrah dengan jayanya di samping berdepan pelbagai dugaan Allah,” katanya.
Oleh AZMI ABDUL MALEK
sumber

0 comments: