Isnin, 18 April 2011

Tomok nikah at my father birthday


SAAT ini mungkin lelaki ini orang yang paling gembira. Gembira apabila akan disatukan dengan wanita idaman, seterusnya bergelar suami pada bulan Julai nanti.
Tidak mahu terus larut dalam emosi yang cukup indah itu, debar hati semakin kencang apatah lagi tarikh 1 Julai semakin hampir.
Bagi Tomok inilah saat yang dinanti-nantikan olehnya sejak dahulu lagi. Hampir lapan tahun menyulam cinta bersama wanita yang bertakhta di hatinya itu, dia sedar banyak tanggungjawab yang perlu dipikul tatkala bergelar suami nanti.
Untung penyanyi ini apabila persiapan majlis kahwinnya itu sudah lebih separuh disiapkan. Semuanya sudah diatur oleh dia dan keluarga sejak awal tahun 2011.
Memilih gadis yang hanya dikenali dengan nama Ayu sebagai suri hatinya, Tomok sedar tidak mudah untuk dia mengemudi layar nanti memandangkan dia merupakan insan seni yang cukup dikenali.
Sudah resam anak seni, habis cerita akan dikorek untuk diketahui umum. Atas dasar itu sudah pasti Tomok perlu memilih calon isteri yang benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan yang mendatang.
“Memang saya berdebar dengan perkahwinan ini. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya melangkah ke satu fasa yang lebih mencabar memandangkan ini fitrah semula jadi manusia.
“Saya tidak mahu menyorok perkahwinan seperti orang lain. Bagi saya perkara yang baik seharusnya dikongsi bersama apatah lagi dengan peminat yang sudah setia menyokong kerjaya seni saya sejak kecil lagi.
“Ini masa yang benar-benar sesuai. Insya-Allah seboleh-bolehnya Tomok mahu peminat sama-sama mendoakan kebahagiaan saya nanti,” jelas Tomok yang kini mencecah usia 27 tahun.
Mengulas lanjut mengenai bakal isterinya itu, penyanyi Berlari memberitahu dia cukup bertuah kerana wanita tersebut benar-benar memahami dirinya sebagai anak seni yang tidak pernah lekang dengan kontroversi.
Sambil menyifatkan dia sebagai insan yang sangat memahami, kata Tomok dia cukup gembira memadangkan Ayu masih lagi setia dengan apa juga onak dan duri sepanjang perkenalan mereka.
“Bila sudah kenal lama, saya pasti dia cukup memahami saya. Jadi saya tidak fikir ada apa-apa masalah yang akan timbul selepas kami berkahwin disebabkan saya seorang artis.
“Sama juga halnya dengan hal populariti. Ada orang cukup takut untuk berkahwin. Ada yang kata kalau berkahwin dalam usia yang masih muda populariti akan hilang dan peminat akan lari.
“Saya tak rasa kata-kata itu benar. Peminat sudah pandai menilai dan tidak timbul soal lari memandangkan orang sekarang lebih melihat pada produk yang kita keluarkan.
“Kalau lagu atau apa sahaja produk baik, peminat akan tetap suka. Tak perlulah saya takut dengan hal-hal yang tak pasti memandangkan hidup kita perlu diteruskan.
“Sebab itu saya sangat mengharapkan agar jodoh ini berkekalan sampai akhir hayat. Ini yang pertama dan ini yang terakhir” katanya lagi.
Bagi peminat yang ingin berinteraksi bersama Tomok, boleh mengikuti penyanyi itu di www.twitter.com/tomok_nb_oiam.

0 comments: