Rabu, 27 April 2011

Tiga panglima TLDM terima gelaran Datuk Pahlawan


Raja Dr. Nazrin Shah menganugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari kepada Mohd. Reza Mohd. Sany di Kuala Kangsar, Perak, semalam.
KUALA KANGSAR 26 April – Tiga Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dianugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Mereka ialah Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Laksamana Pertama Zaaim Hasan; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Mohd. Reza Mohd. Sany dan bekas Ketua Staf Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar.
Zaaim sudah berkhidmat dengan TLDM selama 30 tahun manakala Mohd. Reza selama 31 tahun dan Mior Rosdi selama 34 tahun.
Selain itu, Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Che Ismail Md. Zain pula menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) manakala wartawan Utusan Malaysia, Ani Awang dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Perak, Noraini Ahmad menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Pada majlis penganugerahan hari ini, seramai 315 individu menerima darjah kebesaran serta pingat yang disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Mereka merupakan antara lebih 900 penerima darjah kebesaran serta pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-83 tahun ini.

1 comments:

Tanpa Nama berkata... Reply To This Comment

wow, ramai jugak ye tentera dapat dato'. gaji naik skit ke nnt? hehe