SYDNEY 2 Ogos - Australia akan membuat rakaman video menunjukkan pencari suaka politik yang tiba di negara ini dihantar balik ke Malaysia dan menyiarkan rakaman itu di laman YouTube dan Facebook dalam usaha untuk mencegah kemasukan 'orang hanyut' pada masa depan.
Seramai 54 orang hanyut yang bot mereka dipintas minggu lepas akan menjadi kumpulan pertama dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pencari suaka yang ditandatangani pada 25 Julai lalu.
Rakaman akan dibuat semasa mereka tiba di pusat tahanan Australia di Pulau Christmas, menaiki pesawat ke Malaysia dan tiba di kem-kem di Kuala Lumpur untuk diproses.
Video YouTube itu ditujukan terhadap pendatang dari Iran, Iraq, Afghan dan Sri Lanka untuk tidak menggalakkan mereka membantu ahli keluarga di negara asal menjadi orang hanyut, kata jurucakap jabatan imigresen, Sandi Logan, hari ini.
"Kita tidak mahu mereka membiayai perjalanan itu, kita tidak mahu mereka mencadangkan alternatif untuk datang ke Australia dengan menaiki sebuah bot usang bagi mengharungi pelayaran berisiko tinggi merentasi laut lepas di utara Australia," kata Logan.
Australia menggunakan dua saluran YouTube, 'notopeoplesmuggling' dan 'ImmiTv', dengan menyiarkan sehingga 10 klip dalam lapan bahasa, ujar Logan.
Kumpulan pertama orang hanyut yang tertakluk kepada perjanjian pertukaran pencari suaka itu dijangka menaiki penerbangan ke Malaysia lewat minggu ini atau awal minggu depan. - Reuters
0 comments:
Catat Ulasan