Jumaat, 5 Ogos 2011

Imam Muda Muncul Dengan Album 'Memecah Tradisi'



PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, KRU Studios dengan kerjasama Astro Oasis mengambil langkah baru dengan menerbitkan album kompilasi Imam Muda berjudul Memecah Tradisi.
Kompilasi album tersebut dibuat susulan daripada sambutan dan respons baik yang diterima terhadap rancangan realiti Imam Muda, sebuah program siri pencarian remaja lelaki Islam.
Album yang terdiri daripada lapan buah lagu itu mempertaruhkan dua buah lagu baru ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim iaitu Pejuang Agama, yang dinyanyikan oleh peserta Imam Muda musim pertama dan Ujian Hidup (Imam Muda musim kedua).
Istimewanya album ini turut memuatkan sebuah lagu bonus yang merupakan lagu tema rancangan realiti Imam Muda, Hambamu, yang dinyanyikan oleh dua penyanyi popular iaitu Mawi dan Akhil Hayy.
Selain itu terdapat Zikir dan Selawat Ke Atas Nabi S.A.W dan buat penggemar muzik instrumental, Memecah Tradisi turut menampilkan lagu-lagu bonus instrumental seperti Pejuang Agama, Ujian Hidup dan HambaMu.
Rancangan yang diterbitkan oleh Astro dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mencari pelapis imam dan melahirkan pemuda berwibawa, berintegriti dan berkredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai imam malah sebagai pemimpin yang versatil dan relevan kepada komuniti.
Album Imam Muda Memecah Tradisi kini di pasaran dan boleh didapati di rangkaian pusat beli belah Giant, Rock Corner dan Speedy yang berhampiran dengan harga RM19.90 atau anda boleh melayari ke Facebook United Studios untuk membuat pembelian secara online.

0 comments: